Isu semasa, tempatan jadi tumpuan di DUN Galas

KOTA BARU, 28 Sept – Penasihat jentera pilihan raya PAS Kelantan Datuk Wan Abdul Rahim Wan Abdullah berkata, isu semasa dan sentimen tempatan dijangka menjadi tumpuan pada pilihan raya kecil bagi kerusi Dewan Undangan Negeri Kelantan kawasan Galas yang bakal diadakan berikutan kematian wakil rakyat di situ Che Hashim Che Sulaima semalam.

Katanya kemenangan Pas pada pilihan raya umum sebelum inipun banyak bergantung kepada kedua-dua isu itu.

“Sebab itu, kita menganggap pilihan raya kecil kali ini adalah suatu medan ujian penting kepada Pas dan Barisan Nasional,” katanya di sini hari ini.

Che Hashim, 46, daripada PAS, meninggal dunia akibat sakit barah usus di Hospital Al-Islam Kampung Baru, Kuala Lumpur, semalam.

Pada pilihan raya umum ke-12 pada 2008, Che Hashim memperoleh 4,399 undi mengalahkan calon BN Mohd Saufi Deraman dengan majoriti 646 undi.

Kata beliau, sentimen setempat di Galas berdasarkan kepada komposisi pengundi kerana kawasan itu mempunyai ramai pengundi daripada kalangan Orang Asli.

Dalam pada iu, pengundi di DUN Galas, Kelantan tidak sepatutnya mengulangi kesilapan dengan memilih calon daripada parti pembangkang pada pilihan raya negeri kawasan itu yang akan diadakan.

Ahli Majlis Tertinggi Umno Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, sekiranya ada pertandingan inilah waktunya pengundi di kawasan itu memperbetulkan kesilapan yang pernah berlaku kerana memilih calon pembangkang.

Bercakap kepada pemberita selepas menghadiri majlis rumah terbuka Aidilfitri Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan di Putrajaya hari ini, beliau berkata ramai pengundi di DUN tersebut kecewa dengan kegagalan pembangkang memenuhi janji manis mereka seperti yang berlaku di Selangor dan Pulau Pinang.

Sekarang adalah waktu paling sesuai untuk pengundi di Gua Musang kembali menyokong Barisan Nasional (BN) seperti yang pernah mereka lakukan sebelum pilihan raya umum 2008, kata Ismail Sabri yang juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan.

No comments

Powered by Blogger.