Samy Vellu umum keputusan muktamad sara Januari 2011

KUALA LUMPUR, 30 Sept — Datuk Seri S. Samy Vellu yang menerajui MIC sejak tiga dekad lalu akan melepaskan jawatan presiden parti itu Januari depan.

Samy Vellu mengumumkan keputusannya untuk bersara sembilan bulan lebih awal selepas mempengerusikan mesyuarat jawatankuasa kerja pusat di sini hari ini.

“Hari ini, saya dengan rasmi mengumumkan keputusan saya untuk meletakkan jawatan dan menyerahkan tampuk kepimpinan kepada timbalan (Datuk G. Palanivel) saya mulai Januari tahun depan,” kata beliau.

Keputusan itu dimaklumkan kepada anggota jawatankuasa itu hari ini.

Sebelum ini, kumpulan antikepimpinannya mengadakan Kempen Anti Samy Vellu (GAS) mendesak beliau berundur menjelang Disember ini selepas Mei lalu Samy Vellu mengumumkan akan bersara September 2011.

Pada 18 Mei lalu, Samy Vellu mengumumkan rancangannya untuk melepaskan jawatan beliau selewat-lewatnya lapan atau sembilan bulan sebelum tempoh perkhidmatan beliau berakhir.

Mandat semasa sebagai presiden akan berakhir pada 21 Mei 2012.

Samy Vellu menjadi Presiden MIC sejak 1979, selama 11 penggal berturut-turut.

Beliau juga merupakan ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) yang paling lama menjadi ahli Kabinet BN sehinggalah beliau tewas semasa pilihanraya umum 2008.

Bagaimanapun keputusan tempoh hari tidak memuaskan sesetengah pihak dalam MIC, sekali gus membawa kepada tentangan termasuk kempen GAS.

Tentangan itu membawa kepada pemecatan empat anggota pemimpin termasuk dua anggota jawatankuasa kerja pusat oleh Samy Vellu menggunakan kuasanya sebagai presiden.

Turut dipecat ialah timbalan ketua Pemuda MIC V. Mugilan.

Beberapa perwakilan Perhimpunan Agung Tahunan MIC Julai lalu menggesa Samy Vellu meneruskan kepimpinannya sehingga Mei 2012.

Samy Vellu yang berusia 74 tahun, kelahiran Kluang, Johor, itu berkata timbalannya Senator Datuk G. Palanivel akan mengambil alih jawatan tersebut.

“Saya akan mengumumkan tarikh khusus kemudian,” katanya.

Menurut bekas Menteri Kerja Raya itu, peletakan jawatan tersebut mungkin berlaku sebelum atau selepas beliau menghadiri perhimpunan kesembilan Pravasi Bharatiya Divas di New Dehli, India, Januari depan.

Palanivel iaitu Timbalan Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi, yang duduk di sebelah Samy Vellu pada sidang akhbar itu, enggan mengulas sambil berkata beliau akan memberi komen pada satu tarikh kemudian.

No comments

Powered by Blogger.