Namewee lancar album, 50 orang diketuai Perkasa bakar poster

Gambar: Ketua Wira Perkasa, Arman Azha Abu Hanifah membakar poster Namewee di pekarangan Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor malam tadi.

KUALA LUMPUR, 28 Sept – Di luar pekarangan Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor di Jalan Maharajala di sini malam ini menjadi kecoh dengan kehadiran kira-kira 50 orang termasuk anggota Perkasa bagi membantah tindakan Namewee yang melancarkan albumnya yang dikatakan berunsur perkauman.

Mereka dilihat tiba ke pekarangan dewan itu kira-kira pukul 8.45 malam dengan beberapa dari mereka membawa sepanduk Perkasa dan gambar Namewee yang dibakar (gambar), sebelum melontarkan kata-kata kesat dan mencarut kepada Namawee atau nama sebenarnya Wee Meng Chee.

Kira-kira 100 anggota polis termasuk Pasukan Polis Simpanan (FRU) dari Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi dilihat mengawal kawasan itu sejak pukul 8 malam ini.

Ketua Wira Perkasa, Arman Azha Abu Hanifah yang mengetuai perhimpunan itu dilihat berunding dengan seorang anggota polis untuk memasuki dewan tersebut, namun dihalang polis dengan menutup pagar dewan itu.

Mereka kemudiannya meminta polis memanggil Namwee keluar dari dewan itu namun tidak diendahkan.

Arman Azhar yang ditemui pemberita berkata perhimpunan itu diadakan bagi membantah tindakan Namewee yang dianggap penghianat terhadap negara kerana menghasilkan klip-klip video dan album yang boleh mencetuskan kontroversi dan perkauman.

“Kami desak, minta dia (Namewee) minta maaf secara terbuka kepada keseluruhan rakyat Malaysia, bukan sahaja pada orang Melayu, atas perbuatan yang dia lakukan. Ternyata apa yang dia lakukan merosakkan muhibah kaum.”

Sementara itu Ketua Polis Daerah Dang Wangi ACP Zulkarnain Abdul Rahman berkata perhimpunan itu tidak melibatkan penahanan mana-mana pihak kerana mereka mengikut arahan polis supaya bersurai.

“Kita arahkan mereka bersurai dalam masa 40 minit, dan mereka akur,” katanya. – Bernama

No comments

Powered by Blogger.