'Kedudukan istimewa' orang Melayu: Syor-syor Suruhunjaya Reid

Pada Sept 6 baru-baru ini, agensi berita nasional Bernama telah memetik tokoh sejarahwan Prof. Emeritus Khoo Kay Kim sebagai berkata, "Rakyat Malaysia dari mana-mana kaum yang mempersoal atau mempertikaikan Perkara 153 dalam perlembagaan negara yang mengiktiraf kedudukan dan hak istimewa orang Melayu dan Bumiputera adalah buta sejarah dan tidak memahami perlembagaan."

Mengikut Khoo, masyarakat kini "buta sejarah" kerana tidak mengetahui ataupun kurang arif tentang beberapa fakta sejarah (seperti di bawah):

(1) Kedudukan istimewa orang Melayu telah pun ditetapkan pada zaman penjajahan British apabila Persekutuan Tanah Melayu ditubuhkan pada Feb 1, 1948;

(2) Pengiktirafan tersebut adalah berasaskan sistem kerajaan yang wujud di Semenanjung Tanah Melayu sejak 1895, di mana sudah tertubuh sembilan kerajaan negeri yang kekal sampai ke hari ini;

(3) Perkara 'kedudukan istimewa' di dalam perlembagaan persekutuan 1957 merupakan kesinambungan daripada apa yang sedia ada sejak 1948;

(4) Kaum-kaum bukan-Melayu sendiri pada waktu iti bersetuju usul 'kedudukan istimewa' dimasukkan ke dalam perlembagaan persekutuan.

Memang benar perkara 'kedudukan istimewa' telah dimasukkan di dalam Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu 1948 sebab pada masa itu Pesuruhjaya Tinggi British dipertanggungjawabkan untuk menjaga kedudukan istimewa kaum Melayu serta kepentingan sah kaum-kaum lain. 1

Berkenaan pengiktirafan British terhadap asal usul kerajaan Tanah Melayu sejak 1895, harus juga diingati fakta sejarah bahawa pihak penjajah sendiri seolah-olah mengetepikan persefahaman ini apabila British memperkenalkan gagasan Malayan Union pada 1946.

Adakah British sengaja 'lupa'? Atau adakah mereka lebih mengutamakan objektif untuk mewujudkan satu kerakyataan bersama [common nationality] dalam negara ini yang bakal dimerdekakan?

Walau apapun sebab-musababnya, Malayan Union tidak mengambil kira tradisi sejarah tanahair (mulai tahun 1895) di samping mengenepikan 'fakta sejarah' kedaulatan kerajaan Tanah Melayu.

Namun begitu, pihak British akhirnya juga terpaksa membubarkan Malayan Union pada bulan Mei 1946 selepas penentangan hebat daripada kaum Melayu yang dipimpin oleh Dato Onn Jaafar dan Umno.

Adakah kaum-kaum lain menyetujuinya?

Berkenaan fakta sejarah bahawa kaum-kaum lain telah bersetuju untuk perkara kedudukan istimewa dimasukkan dalam perlembagaan, huraian Khoo adalah kurang lengkap dan dengan itu tidak memberikan gambaran yang menyeluruh.

Persetujuan yang dimaksudkan itu bukan sesuatu yang dicapai dengan mudah. Untuk memahami konteks persetujuan tersebut, kita perlu meneliti proses perundingan antara pemimpin-pemimpin masa itu.

Semasa perbincangan berlangsung dari tahun 1956 ke 1957 bagi usaha persiapan memorandum Parti Perikatan kepada Suruhanjaya Reid (kiri), perkara 'kedudukan istimewa' hangat dibahaskan oleh Umno, MCA dan MIC.

Walaupun kata sepakat akhirnya dicapai mengenai perlu adanya artikel atau perkara tersebut, parti-parti komponen Perikatan tidak bersetuju supaya 'kedudukan istimewa' itu kekal buat selama-lamanya. Sebaliknya mereka hanya bersetuju bahawa ianya akan wujud selama suatu tempoh masa terhad sahaja.

Akan tetapi bagi mengelakkan tekanan daripada puak-puak radikal yang membantah, para pemimpin Perikatan tidak memasukkan had tempoh masa 'kedudukan istimewa' itu di dalam memorandum mereka.

Sebaliknya, semasa pembentangan memorandum Perikatan kepada Suruhunjaya Reid, Tun Abdul Razak telah memaklumkan satu cadangan tambahan, iaitu provisi atau syarat untuk mengkaji semula perkara 'kedudukan istimewa' tersebut 15 tahun selepas Merdeka.

"On the question of the special position of the Malays, there is added a provision for review, and we suggest 15 years after the declaration of Independence." 2

Berdasarkan ketetapan ini, Suruhanjaya Reid telah memasukkan perkara 'kedudukan istimewa' sebagai "transitional provision" (yakni, suatu provisi transisi atau alihan) dalam draf Perlembagaan Persekutuan 1957.

Apabila Laporan Reid diterbitkan pada Feb 21, 1957, kaum Melayu dan kaum-kaum lain masing-masing menunjukkan reaksi yang berbeza.

Dua kelas warganegara

Beberapa golongan kaum Melayu tidak bersetuju dengan had tempoh masa 15 tahun. Manakala golongan tertentu kaum-kaum lain meluahkan kebimbangan mereka bahawa kedudukan istimewa yang dimuatkan dalam dokumen tersebut akan mewujud dua kategori warganegara. 3

Akhirnya, bersemuka dengan penentangan dan tekanan hangat daripada beberapa golongan di dalam dan di luar Parti Perikatan, pihak pemimpin bersetuju untuk mengeluarkan provisi had tempoh masa. Mereka mencapai persefahaman bahawa hak untuk mengkaji semula perkara kedudukan istimewa dari masa ke semasa diamanahkan kepada Yang Dipertuan Agong. 4

Justeru itu, gambaran bahawa wakil kaum-kaum lain telah bersetuju bahawa 'kedudukan istimewa' itu akan wujud sepanjang zaman tidak begitu tepat dari sudut fakta sejarah.

Kesemua pihak yang terlibat dalam proses perundingan juga amat peka bahawa perkara 'kedudukan istimewa' tidak sejajar dengan perkara hak kesamarataan [sila rujuk Artikel 8 perlembagaan persekutuan] yang juga dicadangkan dalam draf Perlembagaan.

Para penggubal serta pakar-pakar perundangan yang merangka perlembagaan kita memang sedar tentang kemusykilan ini.



Laporan Suruhanjaya Perlembagaan 1957



Our terms of reference require that provision should be made in the Constitution for the "safeguarding of the special position of the Malays and the legitimate interests of the other Communities". In addition, we are asked to provide for a common nationality for the whole of the Federation and to ensure that the Constitution shall guarantee a democratic form of Government. In considering these requirements it seemed to us that a common nationality was the basis upon which a unified Malayan nation was to be created and that under a democratic form of Government it was inherent that all the citizens of Malaya, irrespective of race, creed or culture, should enjoy certain fundamental rights including equality before the law. We found it difficult, therefore to reconcile the terms of reference if the protection of the special position of the Malays signified the granting of special privileges, permanently, to one community only and not to others. The difficulty of giving one community a permanent advantage over others was realized by the Alliance Party, representatives, led by the Chief Minister, submitted that - "in an independent Malaya all nationals should be accorded equal rights, privileges and opportunities and there must not be discrimination on grounds of race and creed…." The same view was expressed by their Highnesses in their memorandum, in which they said that they "look forward to a time not too remote when it will become possible to eliminate Communalism as a force in the political and economic life of the country".


Akan tetapi dalam niat murni dan mengejar kemerdekaan, kesemua pihak yang terlibat dalam perundingan terpaksa berkompromi perihal tuntutan masing masing. 5

Menuntut keadilan sosial

Prof. Khoo Kay Kim (kiri) juga dilaporkan telah menghujah: "Orang tak faham (Perlembagaan)... jahil, mereka tidak tahu apa yang boleh dilakukan dan apa yang tidak boleh dilakukan, tidak perlu ada perbincangan atau perbahasan mengenai perlembagaan kerana apa yang penting ikut saja undang-undang yang telah diguna pakai sejak dulu."

Mungkin betul rakyat jelata 'jahil' dari segi pemahaman kita. Akan tetapi adakah ini satu alasan yang mantap agar dikekang apa sekalipun perbincangan tentang perkara yang amat penting untuk keharmonian negara? Bukankah kita sekarang ini hidup di abad ke-21 dan tidak seharusnya menjadi Pak Turut lagi?

Berbanding dengan masyarakat tahun 50an, kita lebih matang dan mampu berbincang tentang pelaksanaan kuota bumiputera dengan lebih rasional dan secara terbuka.

Malahan mengikut persetujuan 1957, Yang Dipertuan Agong diberi kepercayaan untuk mengkaji semula perkara tersebut dari masa ke semasa. Ekoran itu, satu mekanisme khas bagi mengawasi pelaksanaannya supaya adil dan saksama berdasarkan keperluan masyarakat pasca-abad ke-20 sebenarnya boleh diwujudkan.

Ternyata bahawa kini masyarakat menuntut keadilan sosial dan mengkehendaki satu pendekatan di mana Perkara 153 akan dilaksanakan secara adil supaya golongan terpinggir dalam negara kita mendapat manfaat bantuan kerajaan dengan sepenuhnya.

Mungkin inilah masa untuk membincang pelaksanaan Perkara 153 dengan penuh kesefahaman bahawa kedudukan istimewa kaum Melayu dan pribumi Sabah dan Sarawak, serta "kepentingan-kepentingan sah kaum-kaum lain" (termasuk Orang Asal di Semenanjung) akan dipelihara dengan adil dan saksama.

Pelaksanaan Perkara 153 dengan menggunakan pendekatan berasaskan keperluan (needs-based) sudah pasti akan menyumbang ke arah memupuk semangat kerakyatan bersama (common nationality) yang dihasratkan sejak Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu 1948.

Dengan pendekatan ini, cita-cita Rukunegara untuk "Mencipta satu masyarakat yang adil di mana kemakmuran negara akan dapat dinikmati secara adil dan saksama" akan juga tercapai. Pendekatan ini juga adalah selaras dengan Gagasan 1Malaysia dan Model Ekonomi Baru yang menitikberatkan pertumbuhan ekonomi inklusif dan pengagihan kekayaan negara secara saksama.


1. Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu 1948, Perkara 19 (1) (d)
2. Fernando, J.M{2002) “ The Making of the Malayan Constitution”, MBRAS Monograph No.31, ms.127
3. Ibid; ms.147 4. Report of The Federation of Malaya Constitutional Commission, FAO, Rome, 1957; ms.18
5. Ibid; ms.71

[Sumber]

No comments

Powered by Blogger.