MB Bakal Umum Pelan Tiga Tahun Untuk Selangor

Oleh : Hadri Yaziz

PETALING JAYA, 28 SEPT- Menteri Besar, Tan Sri Khalid Ibrahim menyeru rakyat Selangor bersama-sama dengan kerajaan negeri menerajui masa depan dengan memberi tumpuan ke atas pelan yang akan diumumkan tidak lama lagi.

Khalid berkata, beliau akan mengumumkan ‘Pelan Tiga Tahun Selangor’ yang sedang dirangka oleh Pakatan Rakyat bagi meneruskan agenda pentadbiran di negeri itu dalam tempoh terdekat.

Dalam teks ucapannya, Khalid menekankan pihaknya tidak mengambil ringan aspek kebertanggungjawaban awam, pentadbiran, bandar mampan dan pendekatan khusus kepada rakyat dalam melaksanakan sesuatu perubahan.

“Walaupun kita (Pakatan Rakyat) tidak mengawal polisi ekonomi negara namun kita tetap berusaha memperbaiki kehidupan rakyat dengan melancarkan program mikro-kredit yang lebih menguntungkan rakyat.

“Ini termasuk dana yang disumbangkan kepada Sekolah Agama Rakyat, guru-guru Kafa, sekolah Tamil dan Cina yang belum pernah dilakukan oleh kerajaan terdahulu,” katanya.

Khalid turut menyeru agar kerajaan Umno-Barisan Nasional(BN) lebih matang mengambil kira pandangan rakyat.

Tambah beliau, pembaharuan dasar kerajaan Pakatan Rakyat adalah bagi mengubah pola pemikiran masyarakat yang telah dikongkong oleh kerajaan terdahulu kepada konsep ketelusan dan keterbukaan.

“Anjakan pradigma tidak boleh berlaku dalam sekelip mata namun saya yakin dengan pendekatan baru kerajaan negeri sekarang, rakyat dapat memahami falsafah baru yang cuba diterapkan disebalik polisi dan program yang dilaksanakan.

“Tetapi saya menganggap sebagai kemenangan sekiranya berjaya meyakinkan penjawat awam dengan nilai pengaturcaraan berpusat yang dilaksanakan kerajaan Pakatan selama ini,” kata Khalid pada sidang media selepas melancarkan buku “The Road to Reform: Pakatan Rakyat in Selangor” di Petaling Jaya, malam tadi.

Antara kandungan yang dimuatkan dalam kandungan buku berkenaan ialah dasar-dasar utama dan pengaturcaraaan yang dilaksanakan oleh kerajaan Pakatan Rakyat termasuk melaksanakan polisi kebajikan masyarakat di bawah program “Merakyatkan Ekonomi Selangor” dan SELCAT.

Turut ditulis mengenai pengalaman dasar perubahan Selangor sejak mengambilalih kerajaan selepas Pilihan raya Mac 2008 selain empat aspek utama teras perubahan – politik, ekonomi, sosial dan budaya.

Khalid menegaskan kerajaan Pakatan Rakyat bukan untuk memenuhi setiap kemahuan rakyat sebaliknya visi transformasi dan pembaharuan ke arah kehidupan lebih berkualiti menjadi fokus utama.

No comments

Powered by Blogger.