Penganggur dihukum gantung bunuh model sambilan

ALOR SETAR 28 Sept. - Seorang penganggur hari ini dihukum gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi di sini setelah didapati bersalah membunuh seorang model sambilan pada Mei 2004.

Hakim Datuk Zamani A. Rahim semasa menjatuhkan hukuman itu berkata, pihak pembelaan telah gagal menimbulkan keraguan yang munasabah terhadap kes itu.

Ismawi Ishak, 25, dituduh membunuh Mohamad Azhary Mohamed Osman, 26, di rumah bernombor 180 Jalan Anggerik 1/7 Bandar Amanjaya, Sungai Petani antara pukul 12.01 pagi hingga 7.15 pagi pada 4 Mei 2004.

Semasa membela diri, tertuduh mendakwa dia telah menikam si mati akibat terkejut, panik dan marah kerana mangsa cuba meliwatnya ketika sedang tidur pada malam kejadian di rumah berkenaan.

Dalam penghakimannya Zamani berkata: "Semasa memberi keterangan membela diri tertuduh gagal membuktikan berlaku kemarahan yang melampau atau cubaan untuk membela diri.

"Oleh itu saya mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan yang munasabah terhadap kes ini," katanya.

Hasil bedah siasat mendapati terdapat 27 kesan kecederaan pada badan si mati termasuk dua kesan tikaman pisau rambo yang dalam pada dada mangsa.

Sebaik sahaja hukuman diputuskan, Ismawi yang berseluar hitam dan berkemeja-T putih terus menundukkan muka sehingga dibawa masuk ke lokap.

Tertuduh diwakili peguam C.P Ang manakala pendakwaan dijalankan oleh Ketua Unit Pendakwaan, Datuk Razali Che Ani. - Bernama

No comments

Powered by Blogger.