Polis Kelantan Sedia Hadapi PRK Galas

KOTA BAHARU, 28 Sept – Polis Kelantan sudah bersedia untuk menjaga ketenteraman awam dan berdepan dengan sebarang kemungkinan sekiranya Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan perlunya pilihan raya kecil (PRK) diadakan bagi mengisi kekosongan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas, Gua Musang, dalam masa terdekat ini.

Ketua Polis Kelantan Datuk Abdul Rahim Hanafi berkata, terserah kepada SPR bagi menentukan tarikh yang sesuai untuk mengadakan pilihan raya kecil itu dan anggota polis mencukupi bagi memastikan ia berjalan lancar.

“Semua kekuatan logistik dan tenaga anggota mencukupi, kontinjen Kelantan sentiasa bersiap sedia menghadapi pilihan raya bagi memastikan suasana aman, selamat,” katanya dipetik daripada Bernama sewaktu majlis Sambutan Hari Raya Kontinjen Kelantan bersama masyarakat di sini, semalam.

Pilihan raya kecil DUN Galas dijangka diadakan setelah Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) kawasan itu Che Hashim Sulaima, 46, meninggal dunia di Hospital Al-IslamKampung Baru, Kuala Lumpur, semalam.

Hashim yang menghidap barah usus menghembuskan nafas terakhir di sisi keluarga kira-kira pukul 4.30 petang semalam setelah dimasukkan ke hospital itu beberapa hari lepas.

Jenazah beliau dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Kuala Betis, Gua Musang, lewat malam tadi sebaik tiba dari Kuala Lumpur kira-kira pukul 11.30 malam.

Abdul Rahim berkata polis tidak ada masalah bagi menghadapi pilihan raya itu dan berharap kempen yang dijalankan oleh parti-parti terlibat dalam suasana aman dan harmoni.

No comments

Powered by Blogger.