Rang Undang-Undang Kebebasan Maklumat Diteliti Sebelum Perlaksanaan

Oleh Norasikin Samsi

SHAH ALAM 28 Sept - Rang Undang-Undang Kebebasan Maklumat 2010 yang dibentangkan oleh Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat Selangor dan bakal diluluskan pada bacaan kali ketiga dalam sidang Dewan Negeri Selangor Mac depan perlu melalui proses penilitian dan penambahbaikan sebelum ia dilaksanakan.

Pengerusi Jawatankuasa Rang Undang-Undang Kebebasan Maklumat Negeri Selangor, Saari Sungib berkata langkah itu bagi memastikan pelaksanaannya benar-benar bertujuan menggalakkan akses kepada maklumat yang dipegang oleh badan awam dan badan persendirian yang mempunyai kepentingan awam.

Justeru, katanya perbincangan bersama dalam Sesi Maklum Balas Awam Mengenai Rang Undang-Undang Kebebasan Maklumat yang diadakan semalam bertujuan untuk mengumpul maklumat, mendapatkan pandangan dan maklumbalas daripada pelbagai agensi, badan-badan bukan kerajaan (NGO) mahupun individu-individu berhubung rang undang-undang tersebut.

"Apa yang kita perolehi pada hari kedua pendengaran terbuka ini, semangatnya memang tinggi malah rata-rata daripada tujuh NGO yang hadir daripada 13 yang kita jemput pada hari ini merakamkan penghargaan dan tahniah di atas usaha kerajaan negeri mewujudkan akata ini.

"Namun, dalam respon pihak terbabit, nampak terlalu banyak sekatan yang menjadi penghalang kepada konteks kebebasan maklumat itu sendiri. Apabila rang undang-undang ini diluluskan, sepatutnya yang lebih tertonjol dan menonjol itu adalah hak rakyat terhadap maklumat sebagai hak asasi bukan sekatan-sekatan.

"Memang kita perlu satu sekatan bagi memastikan mana-mana rang undang-undang itu tidak disalahgunakan oleh mana-mana pihak tetapi jangan sampai digambarkan sebagai satu sekatan yang akhirnya diberi pandangan ramai sebagai gimik politik.

"Sedangkan hasrat kerajaan negeri bukannya begitu sebaliknya kita (kerajaan negeri) memang komited untuk mengadakan rang undang-undang yang boleh diberikan ketelusan kepada kerajaan," katanya kepada Suara Keadilan selepas mempengerusikan sesi maklum balas itu yang diadakan di Dewan Annex, di sini pagi semalam.

Hari pertama bagi sesi maklum balas awam tersebut telah diadakan pada Ogos lalu yang dihadiri oleh enam badan swadaya (NGO) termasuk Majlis Peguam.

Pada hari ini, NGO yang hadir adalah Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim), Pertubuhan Jemaah Islamiah Malaysia, Persatuan Ulama Malaysia, Pertubuhan Ikram Malaysia, Majlis Permuafakatan Pendidikan Islam Selangor (Mappis), Transparency International dan Christina Chia Ng & Partners.

Sesi maklum balas awam ini akan bersambung hari ini dan berakhir pada Rabu ini dengan menampilkan pandangan daripada pelbagai lagi agensi berkaitan.

"Disebabkan banyak sangat sekatan dilihat oleh NGO termasuk Majlis Peguam, jadi kita akan menggunakan saluran daripada pakar undang-undang pada hari keempat nanti bagi mengambil kira bagaimana untuk memecahkan masalah itu.

"Yang penting kita nak dapat kelulusan dari pihak eksekutif, sokongan dari segi perundangan daripada pasukanundang-undang yang akan membantu jawatankuasa ini. Sekarang apa yang kita buat adalah mengumpulkan maklumat daripada NGO.

"Kita akan memperincikan rangka-rangka tersebut dan dari situ kita ada draf yang lebih tersusun berdasarkan input-input yang kita telah kumpulkan dan daripada situ, kita akan adakan satu sesi dengan memanggil pegawai undang-undang daripada agensi kerajaan, PBT (Pihak Berkuasa Tempatan) dan GLC (syarikat berkaitan kerajaan)

"Kemudian kita akan adakan pendapat awam yang akan dimasukkan dalam laman web kerajaan negeri bagi mendapatkan penjelasan daripada GLC, rakyat dan orang ramai dan selepas itu baru kita sediakan draf.

"Kita juga berhasrat sama ada mahu menyediakan draf itu melalui pasukan kita tersendiri ataupun melalui kamar penasihat undang-undang," ujar Saari lagi.

Tambah beliau, jawatankuasa itu juga meletakkan sasaran proses tersebut sehingga Disember ini dan seterusnya melakukan penilitian perincian itu pada Januari sementara pembentangan untuk bacaan kali ketiga akan dibuat pada sidang Dewan Undangan Negeri.

Jawatankuasa Rang Undang-Undang Kebebasan Maklumat itu ditubuhkan pada 17 Julai lalu dan dianggotai oleh enam panel.

Panel jawatankuasa yang hadir dalam pendengaran awam tadi adalah Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Subang Jaya Hannah Yeoh, Adun Seri Setia Nik Nazmi Nik Ahmad dan Adun Batu Caves Amirudin Shari.

Manakala dua Adun BN yang tidak pernah menghadiri mana-mana sesi ini adalah Adun Kuang, Abdul Shukor Idrus dan Adun Tanjung Sepat, Datuk Karim Mansur.

"Setakat ini mereka belum hadir, tetapi kita masih lagi menganggap mereka sebagai panel," kata Saari.

No comments

Powered by Blogger.