Kaedah politik Zaid Ibrahim

Oleh RAHMAN SHAARI

Bagi peninjau politik yang tiada kecenderungan untuk menyokong seseorang secara tidak menentu, kaedah berpolitik Datuk Zaid Ibrahim adalah menarik. Zaid mungkin sebaik Datuk Ibrahim Ali dalam hal tertentu, dan sebaik Dr Syed Husin Ali dalam hal lain. Zaid dan Ibrahim menjadi popular kerana tingkah politik yang terang-terang tidak menuntut rasa senang sesetengah pihak, namun diterima baik oleh pengikut. Syed Husin tidak begitu popular, terutama kerana beliau bertindak terlalu cermat, warisan daripada cara parti sosialis.

Rahsia kejayaan mereka, antara lain ialah keberanian. Bagi mereka berdua, pendapat orang lain elok didengar sahaja, bukan diikuti, apatah lagi dipatuhi. Bagi mereka juga, pendapat sendiri adalah terbaik, kerana mereka betul-betul boleh berfikir. Memanglah besar jumlah orang tidak menyetujui cara dan isi kandungan politik Ibrahim, tetapi adalah silap untuk mengatakan jumlah orang bersetuju adalah kecil.

Saya ingin menyentuh hal-hal di sekitar politik Zaid. Tokoh ini pernah menjadi menteri, tanda beliau dipercayai oleh Tun Abdullah Ahmad Badawi selaku Perdana Menteri Islam Hadhari. Kepercayaan Abdullah itu dipergunakannya sebaik-baiknya bagi menyatakan sikap dan kaedah politiknya yang asing dan aneh dalam perkiraan UMNO. Akhirnya, atas beberapa alasan telah dinyatakannya, dengan terang tetapi tidak semestinya dipercayai, beliau berhenti dan keluar dari UMNO. Tidak lama kemudian, menyertai Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Sepertimana Ezam anggap UMNO tidak bobrok, begitulah Zaid ketika itu memikirkan bahawa PKR tidak bobrok. Politik adalah begitu sahaja, tiada yang lain, sedikit pun tiada yang lain.

Dalam percakapan pada Hari Raya Aidilfitri di Perlis, saya ada nyatakan alasan utama Hukum Anjakan Makna ditubuhkan. Hukum tersebut akan membunuh segala konflik, kerana tujuan politik seseorang adalah sama, cuma kaedah mereka berbeza. Masih saya ingati, wanita aktif yang bernama Roselawati mengatakan Hukum Anjakan Makna tidak menarik, kerana dengan mengamalkan hukum ini, tiada lagi perkelahian.

Saya setuju dengan kata-kata Roselawati, kerana sekurang-kurangnya beliau dapat melihat bahawa Hukum Anjakan Makna memang berfungsi. Apabila kita bercakap tentang kebaikan sesuatu pihak tanpa mengatakan pihak lawannya buruk, maka hukum ini berlaku. Kita hendaklah bermula dengan melihat, Najib, Anwar, Muhyiddin, Azizah, Khairy, Azmin, dan lain-lain dalam deretan ini, mempunyai jalan fikiran yang berbeza, tetapi hasrat mereka sama: berpolitik.

Adalah sukar mendapatkan parti yang tidak bobrok, namun Zaid ketika itu memejam sebelah mata agar beliau dapat menerima dan diterima oleh PKR. Seperti terlihat jelas, beliau dipilih calon pilihan raya kecil. Zaid tentu amat senang dalam keadaan demikian, kerana pemilihan oleh PKR untuk beliau menjadi calon adalah tanda nyata bahawa beliau adalah wira.

Timbul isu karut dalam masa berkempen ketika itu – minum dan taubat – Zaid tahu cara hadapinya. Kekalahannya bukan kerana isu itu, tetapi hakikat politik Malaysia secara keseluruhannya.

Kecenderungan menjadi wira melekat pada diri seseorang sejak kecil. Filem-filem aksi, terutama filem-filem Hindustan, hampir seratus peratus melukiskan wira yang berani, dan sentiasa berjaya menentang musuh. Wira tidak akan dikatakan wira jika tidak muncul pengacau. Jika pengacau itu gagah dan penuh perancangan jahat, maka watak wira akan kian menyerlah. Wira selalunya hampir mati dibelasah penjahat, namun masih tetap cekal dan hebat.

Ketika makalah ini saya tulis Zaid sedang dihalang merebut jawatan Timbalan Presiden PKR. Zaid tetap dengan pendiriannya, dan beliau kini berhadapan penentangan yang wajar malah wajib ada pada peribadi wira. Beliau merasakan bahawa PKR tidak begitu demokratik kerana perjalanannya banyak ditentukan Ketua Umum, bukan oleh Presiden. Itulah musuh utama Zaid dalam konteks pertentangan ini.

Fikiran Zaid Ibrahim amat jelas, iaitu jika Datin Seri Dr Wan Azizah menjadi Presiden, Datuk Seri Anwar Ibrahim hanya menjadi ketua umum (yang tidak dipilih melalui undi ramai), maka PKR ialah parti yang ‘terkeluar’ dari landasan demokrasi. Apabila saya katakan watak-watak melanggar prinsip demokrasi ini dimusuhi Zaid, tidaklah saya bermaksud Zaid anti mereka, sebaliknya Zaid hanya mahu membaiki perjalanan demokrasi dalam PKR.

Saya mendapati pemikiran Zaid cukup jelas, sehingga beliau tidak sesuai berada dalam parti-parti politik Malaysia. Ahli-ahli parti politik di Malaysia, biarpun apa partinya, secara keseluruhannya berfikiran pro-feudal. Mereka menerima seseorang sebagai ketua, berasaskan mitos kelebihan, bukan kelebihan yang nyata, iaitu bukan berasaskan bakti sebenar, dan sikap tegas dalam membela rakyat. Di sisi lain, ahli-ahli parti politik Malaysia amat kagum dengan pidato. Jika ketua umum yang karismatik berpidato di atas busut, maka busut itu akan dikelilingi pengikut.

Adakah itu tidak baik? Saya kira tidak demikian. Biarlah politik berjalan dengan segala sifatnya, asalkan janganlah kita berkonflik berlebih-lebihan. Pada masa lepas, kita telah melihat Tun Mahathir disenangi ahli-ahli UMNO, hingga mereka tidak bosan mendengar pidatonya yang berjam-jam. Dalam andaian di atas, saya sebenarnya mahu mengatakan, bahawa pada satu ketika dulu, jika Mahahir berada di atas busut, itu jugalah yang terjadi. Demikian juga dengan Abu Bakar Hamzah, dan kemudiannya Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Zaid berusaha mendidik ahli-ahli parti agar memahami demokrasi dengan jelas. Beliau sentiasa baik dari ukuran tertentu, dan tidak disenangi jika segi lain diambil sebagai tali ukur. Politik ialah lapangan banyak segi.

Zaid kini teringatkan UMNO zaman Tun Abdul Ghafar Baba yang ditentang Anwar. Katanya, beliau bukanlah penyokong Ghafar, tetapi beliau berasa kasihan kepada Ghafar yang dibuat begitu rupa, padahal Ghafar ialah Timbalan Perdana Menteri ketika itu. (Mingguan Malaysia, 26 September 2010). Dapat dikatakan, dalam hal sebegini, Zaid betul-betul bersikap demokratik. Beliau tidak takut menghadapi kekalahan, asalkan dalam pertandingan yang diadakan, demokrasi berjalan dengan baik.

Namun, kita masih terfikir akan sesuatu: Jika demikian sikap Zaid, belum ada parti politik di Malaysia yang sesuai baginya.

28.9.2010
Sinar Harian.
http://alkundangi.blogspot.com/

No comments

Powered by Blogger.