Mengapa Saya Ajak PERKASA Berdebat?

NURUL IZZAH ANWAR

Sejak tulisan saya menjemput Perkasa untuk berdebat tentang kedudukan istimewa orang Melayu pada 31 Ogos lalu diterbitkan, bermacam-macam tohmahan dikeluarkan terhadap saya.

Saya dipanggil pengkhianat, dituduh cuba mengelirukan rakyat, tidak matang, buta sejarah dan juga kini dilibatkan dalam siasatan polis kerana dituduh menghasut.

Hairan, kerana orang yang cadangkan supaya pemilikan tanah Kampung Baru dibuka 40 peratus kepada bukan Melayu tidak pula alami nasib sama seperti saya.

Saya sudah jelaskan, bukan niat untuk meminda peruntukan Perlembagaan Persekutuan tentang kedudukan orang Melayu, tetapi sekadar mencari penjelasan tentang apa yang dilaung-laungkan oleh Perkasa tentang perjuangan mereka untuk melindungi orang Melayu.

Apa saya hujahkan dalam tulisan sebelum ini, bukan mempersoal kedudukan istimewa orang Melayu, tetapi pelaksanaan dasar-dasar yang hanya menguntungkan segelintir orang Melayu dipersoalkan?

Sayangnya, jemputan saya itu ditolak mentah-mentah oleh pimpinan Perkasa dengan alasan soal kedudukan orang Melayu tidak boleh didebatkan, sedangkan yang saya mahu bincang hanyalah pelaksanaan dasar-dasar yang dikatakan dibuat atas peruntukan perlembagaan.

Kerana jemputan saya sudah ditolak, biarlah saya jelaskan sahaja di sini, apa sebenarnya menimbulkan kegusaran saya tentang perjuangan Perkasa dan soal kedudukan istimewa orang Melayu.

Pertama soal kuota dalam perkhidmatan awam. Mengikut statistik 2009, 78.2 peratus kakitangan awam adalah Melayu, dan Bumiputera lain membentuk 7.7 peratus. Selebihnya adalah bukan Melayu dan bukan Bumiputera.

Namun, kerajaan juga sedang berusaha merekrut lebih ramai bukan Melayu dalam perkhidmatan awam, kerana keperluan menyampaikan perkhidmatan kepada warga pelbagai kaum.

Bagaimanakah dasar kuota ini selaras dengan keperluan untuk menunjukkan kepelbagaian dalam sektor awam?

Kedua, soalan yang sama juga boleh ditanya dalam hal kuota biasiswa kepada orang Melayu dan Bumiputera Sabah dan Sarawak. Saya mahu melihat lebih banyak biasiswa diberikan sebagai usaha memastikan kesaksamaan yang boleh tercapai dengan pendidikan yang menyeluruh.

Oleh itu, bukankah lebih baik sekiranya semua pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) ditukarkan kepada biasiswa penuh sebagai memenuhi semangat Fasal 153 Perlembagaan Persekutuan? Saya juga percaya Perkasa tentu setuju dengan saya kalau dicadangkan sebahagian pendapatan Petronas (30 peratus keuntungan tahunan misalnya) disalurkan kepada satu dana pendidikan untuk biayai biasiswa anak-anak kita.

Perkara ini tidak mustahil kalau akaun Petronas didedahkan kepada umum melalui Parlimen. Usaha melaksanakan tadbir urus yang cekap ini semestinya selaras dengan perjuangan mempertahankan hak-hak orang Melayu.

Ini sebenarnya lebih bermanfaat daripada laungan meminta orang Melayu mendapat lebih banyak biasiswa daripada kaum lain. Dalam bahasa mudah, apa gunanya orang Melayu mendapat tujuh biasiswa, dan kumpulan lain mendapat tiga tempat sahaja. Apa yang saya perjuangkan ialah banyakkan biasiswa kepada 100 tempat (contohnya) sudah pasti ramai orang Melayu mendapat manfaat.

Kuota kemasukan ke universiti juga sebenarnya sudah diubah pada zaman pentadbiran Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad pada tahun 2003, supaya lebih bersemangat meritokrasi.

Bukankah ini mencabuli hak keistimewaan orang Melayu, kalau mengikut apa yang telah dilaung-laungkan Perkasa?

Saya juga tertarik dengan usaha Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak untuk meliberalisasikan 27 sub-sektor dalam sektor perkhidmatan.

Perkara 153 (1) Perlembagaan Persekutuan jelas menyatakan “Menjadi tanggungjawab Yang di-Pertuan Agong untuk melindungi kedudukan istimewa orang Melayu dan anak negeri mana-mana antara Negeri Sabah dan Sarawak dan kepentingan sah kaum-kaum lain mengikut peruntukan Perkara ini.”

Kepentingan ini termasuklah dalam keutamaan lesen-lesen perniagaan. Adakah ini bermakna liberalisasi ini bertentangan dengan perlembagaan? Tidakkah ia memberi kesan kepada “hak Melayu”?

Oleh kerana kedudukan bahasa Melayu juga dijamin perlembagaan, bagaimana pula dengan usaha Dr Mahathir pada tahun 2003 memperkenalkan Dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Ingggeris (PPSMI), yang kini sudah dihapuskan? Soal Perlembagaan tidak dibangkitkan ketika itu. Jelas, peruntukan perlembagaan itu bukanlah kaku, sebaliknya ia fleksibel dan boleh disesuaikan dengan tuntutan zaman.

Mahkamah Tinggi pada Mei lalu juga isytihar PPSMI tidak bertentangan dengan perlembagaan kerana sekolah-sekolah masih mengekalkan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar.

Perkara paling besar dalam soal kedudukan orang Melayu ini tentulah pegangan ekuiti Bumiputera yang ditetapkan kadar minimum 30 peratus.Inilah dasar yang kuat dipertahankan Perkasa dan sekutunya UMNO.

Dasar ini pada saya cukup kabur kerana tidak jelas apa yang dipertahankan. Adakah memperuntukkan minimum 30 peratus itu akan mengayakan seluruh orang Melayu dan nenaikkan taraf hidup orang Melayu? Adakah ia dapat menyelesaikan masalah kemiskinan bandar, yang mangsanya kebanyakannya ialah orang Melayu?

Data-data berkenaan polisi ini juga sebenarnya terlalu kabur. Kajian terbitan Universiti Malaya (2002) mengatakan pegangan orang Melayu sudah mencapai 33.7 peratus, Institut Kepimpinan Strategik Asia pada 2006 pula meletakkan angka 45 peratus. Sementara pihak kerajaan pada 2006 mengatakan pegangan ekuiti Bumiputera hanya 18.9 peratus.

Perbezaan angka dikatakan berpunca daripada masalah metodologi. Namun, walau apa angkanya, orang Melayu tidak mendapat faedah daripada dasar ini.

Jika Perkasa bersungguh dan ikhlas, saya menjemput Perkasa untuk sama-sama mencadangkan satu dasar ‘Pengagihan Semula secara Adil Kekayaan Ekuiti Bumiputera’ sedia ada di dalam syarikat-syarikat tersenarai dan bukan tersenarai yang memperolehi projek kerajaan dan penswastaan dari kerajaan, konsesi lebuh raya dan penjanaan elektrik, dan syarikat berkait dengan kerajaan (GLC) untuk dijualkan 30 peratus daripada saham milik individu atau syarikat Bumiputera dengan menggunakan nilai saham par-value yang menjadi metodologi penilaian saham rasmi kerajaan kepada seramai mana orang Melayu, di mana 25 peratus saham tadi dimasukkan ke dalam Tabung Biasiswa Pendidikan dan selebih 5 peratus kepada koperasi pekerja syarikat penyumbang tadi. Baki 70 peratus masih dalam tangan pemilik dan syarikat bumiputera tadi.

Untuk uji keberkesanan dasar ini, saya cadangkan kita mula dengan Kenchana Petroleum, Scomi, CIMB, Perimekar, APCO dan sebuah syarikat pembinaan yang menerima kontrak bina sebuah jambatan di Pasir Mas satu ketika dahulu.

Apa yang dibangkitkan ini bukan perkara baru, kerana itu saya terkejut apabila pelbagai tohmahan ke atas saya.Debat yang saya cadangkan ini sebenarnya adalah sesuatu yang telah dijangka oleh sesetengah pengasas negara kita.

Bekas Timbalan Perdana Menteri, Tun Dr Ismail sendiri pernah kata kedudukan istimewa adalah satu penghinaan kepada kemampuan orang Melayu. Jangan lupa Allahyarham juga anggota Kabinet pertama Tunku Abdul Rahman.

Beliau mengatakan kedudukan orang Melayu akan ditentukan oleh orang Melayu sendiri. Beliau ramal dengan semakin ramai Melayu berpendidikan dan dapat keyakinan diri, mereka sendiri akan menghapuskan kedudukan istimewa itu.

Tujuan saya bukan untuk hapuskan peruntukan perlembagaan itu, tetapi yang dipersoalkan ialah dasar dan pelaksanaan seperti diramalkan Tun Dr Ismail, bahawa proses perubahan hanya boleh bermula dengan muhasabah melalui perdebatan.

[Sumber]

No comments

Powered by Blogger.