RM6 Juta Untuk Perkasakan Sekolah Agama Rakyat

SHAH ALAM,30 SEPT – Dalam usaha memperkasakan institusi pendidikan agama di Selangor,Kerajaan Negeri di bawah pentadbiran Pakatan Rakyat (PR) memperuntukkan sebanyak RM6 juta kepada sekolah agama rakyat seluruh negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Modal Insan, Dr Halimah Ali berkata, peruntukkan tersebut sebagai galakkan selain membantu memperkasakan institusi berkenaan.

Sebelum itu, Dr Halimah menyerahkan peruntukan berjumlah RM50,000 kepada pengurusan Maahad Tahzibwa Al-Taalim yang diwakili Mohd Nazmi Abd Karim.

Katanya lagi, untuk fasa pertama sebanyak 100 sekolah telah menerima sumbangan berjumlah RM2.7 juta manakala fasa kedua akan disalurkan November ini.

“Kerajaan Negeri tidak pernah meminggirkan sekolah agama rakyat malah institusi ini sentiasa mendapat keutamaan dan diberikan perhatian sepenuhnya.

“Ini kerana kita menyedari sekolah agama rakyat mampu melahirkan modal insan yang bertanggungjawab serta berguna kepada agama dan masyarakat,” katanya.

Dalam pada itu, Halimah berkata, Kerajaan Negeri mahu menjadikan negeri ini sebagai hab ilmu dan pendidikan.

“Kerajaan Negeri mahu jadikan bidang pendidikan sebagai agenda utama kerana kita mahu melihat rakyat negeri ini berilmu pengetahuan dan mampu bersaing di peringkat global.

“Kita juga berharap peruntukan pendidikan daripada Kerajaan Negeri mampu menyuntik semangat sekolah agama rakyat seterusnya melahirkan ilmuwan Islam tersohor,” katanya.

Katanya, pihaknya berharap dengan pengagihan peruntukan itu, ia akan memberi perangsang kepada semua pelajar dan guru yang terlibat untuk berusaha dengan lebih gigih bagi mencapai kejayaan.

No comments

Powered by Blogger.