Dr. Osman muncul semula, pertahan akuan bersumpah periksa Saiful

KUALA LUMPUR: Dr. Mohamed Osman Abdul Hamid, doktor perubatan pertama yang memeriksa Mohd Saiful Bukhari Azlan yang mendakwa diliwat Datuk Seri Anwar Ibrahim, muncul semula hari ini selepas menghilangkan diri lebih sebulan dengan mempertahankan kandungan akuan bersumpahnya bahawa tiada kesan dia diliwat.

Sambil mempertahankan kandungan laporan bersumpah itu, Dr. Mohamed Osman berkata, beliau mahu menyatakan keadaan sebenar berhubung dengan akuan bersumpah tersebut.

Pada sidang media di Majlis Peguam hari ini, beliau berkata, pemeriksaan yang dijalankan olehnya menunjukkan tiada kesan Saiful dilihwat.

Akuan bersumpah beliau telah dihebahkan secara meluas pada 28 Julai lali dalam laman web Malaysia Today, yang telah disambung perkhidmatannya semalam selepas dikenakan halangan kira-kira seminggu.

Kata Dr. Mohamaed Osman, akuan bersumpah tersebut adalah dibuat oleh beliau sebelum meninggalkan Malaysia.

Dr. Mohamed Osman merupakan rakyat Myanmar telah berkhidmat di beberapa hospital di negara ini lebih satu dekad.

Beliau bagaimanapun menegaskan, penyebaran akuan bersumpah tersebut adalah di luar pengetahuannya.

Dalam akuan bersumpahnya itu, Dr. Mohamed Osman tetap berpegang kepada laporan perubatan berhubung pemeriksaan yang dilakukan ke atas Saiful.

Dr. Mohamed Osman berkata, beliau telah mengambil cuti ekoran tekanan yang dialaminya selepas disoal siasat oleh polis.

Beliau menolak bimbang dengan keselamatannya.

Dalam pada itu, Pengurus Besar Pusrawi, Wan Mahmood Wan Yaacob ketika dihubungi mStar Online sebentar tadi berkata Dr. Mohamed Osman belum kembali bertugas.

"Belum, dia belum kembali bertugas," katanya.

Ketika ditanya sama ada doktor berkenaan masih berkhidmat di hospital itu beliau bagaimanapun enggan mengulas lanjut.

"Maaf, saya tidak boleh komen," kata beliau sambil menambah, tindakan susulan bergantung sama ada Dr. Mohamed Osman melaporkan diri ataupun sebaliknya.

No comments

Powered by Blogger.