khairy vs adnan...khairy berani hina TGNA

Hasrat Menteri Besar Pahang, Dato' Seri Adnan Yaakob menawarkan diri bertanding jawatan Ketua Pemuda Umno dalam pemilihan parti itu Disember ini wajar dialu-alukan semua pihak, terutama oleh parti-parti pembangkang.
Iklan




Keperibadian dimilikinya dirasakan amat sesuai bagi menggalas tanggungjawab mengetuai sayap pemuda parti pemerintah itu, terutama di era Umno dan Barisan Nasional (BN) semakin tercabar oleh kebangkitan parti-parti pembangkang dewasa ini.

Akhbar hari ini (Khamis) melaporkan Adnan sedang menimbang secara serius kemungkinan untuk menawarkan diri bertanding jawatan tersebut.

Sepertimana kelaziman mana-mana pemimpin Umno yang ada hasrat bertanding, Adnan juga mendakwa menerima banyak permintaan daripada pelbagai pihak di seluruh negara agar bertanding jawatan tersebut.

Dalam keadaan BN diasak bertubi-tubi dan ada ketikanya bagaikan dihinjak parti-parti pembangkang kebelakangan ini, Umno sangat memerlukan kepemimpinan pemudanya yang tangkas, berani dan ada ketikanya bengis dan 'berkepala masam'. Kriteria itu tidak dimiliki sebahagian besar pemimpin Pemuda Umno sekarang, lebih-lebih lagi ketuanya, Datuk Seri Hishammuddin Hussein.

Satu-satunya pemimpin muda yang mampu menyaingi Adnan dalam sifat-sifat tersebut ialah Timbalan Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin Abu Bakar. Bagaimana pun budak muda itu sedikit mumbang dalam sepak terajang politik.

Cakapnya pun banyak main lepas seolah-olah tidak pakai otak. Taktik dan strateginya juga ada kalanya terbabas sehingga ada yang menjadi senjata makan tuan buat BN.

Ingat lagi apa jadi kepada BN Kelantan dalam pilihan raya lalu. Parti itu yang beriya-iya merampas negeri daripada kekuasaan PAS akhirnya kalah teruk. Ia bukan sahaja tidak berjaya menobatkan Menteri Besar baru yang telah diisytiharkannya, bahkan BN kehilangan sebahagian besar kerusi dimenanginya pada 2004.

Apa puncanya? Menurut pengakuan dua pemimpin utama Kelantan, iaitu Dato' Seri Annuar Musa dan Dato' Mustapha Mohamad, puncanya ialah seorang budak muda dari luar Kelantan yang datang 'kacau daun' di Kelantan.

Kononnya dia datang untuk membantu kempen BN merampas Kelantan. Lalu dilancarkanlah gerakan khas menerusi sayap pemuda parti. Malangnya, beberapa tindakan dan ucapannya terbabas sakan. Beliau didakwa melontarkan kutukan dan serangan yang terlalu peribadi terhadap Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Sejahat-jahat BN Kelantan pun, mereka tidak sanggup buat benda sebegitu. Mereka tahu pantang-larang orang Kelantan dalam bab itu. Akhirnya sokongan diberikan budak muda itu membawa rebah kepada BN Kelantan. Siapakah budak mumbang itu? Siapa lagi kalau bukan Khairy!

Jika Umno Kelantan mahu mengambil pengajaran daripada episod itu, maka tentulah pemudanya tidak akan memberikan undi kepada Khairy dalam pemilihan parti hujung tahun nanti. Adnan ada peluang meraih undi mereka.

Adnan ada hampir segala sifat diperlukan seorang Ketua Pemuda Umno. Selain pengalaman luas dalam mentadbir parti dan kerajaan, beliau juga ada kebolehan istimewa yang tidak dimiliki lain-lain pemimpin Umno, sama ada muda atau tua.

Mana ada seorang pemimpin bertaraf Menteri Besar dan Pengerusi Perhubungan Umno negeri yang berani membuat isyarat lucah di hadapan ribuan orang? Adnan telah buktikan dia mampu menjelir lidah dan menempik-sorak ke arah para penyokong pembangkang, mengalahkan gelagat tidak senonoh budak-budak Puteri Umno di Permatang Pauh tempohari.

Jika itu belum cukup kuat membuktikan kemampuan Adnan, bagaimana pula dengan aksinya menungging punggung ke arah penyokong parti lawan, juga di hadapan ribuan manusia? Itulah yang telah dibuatnya pada hari penamaan calon Pilihan Raya Kecil DUN Sanggang, awal 2000 lalu.

Aada lagi kebolehan istimewa menteri besar ini. Dia tidak memilih tempat untuk meluahkan perasaan marahnya, termasuk menseranah orang. Ini terbukti apabila dalam persidangan DUN pun beliau boleh menuturkan perkataan 'can go to hell' atau pun 'pergi jahanamlah' kepada pihak yang tidak disukainya. Kes itu boleh dirujuk dalam catatan Sidang DUN Pahang pada 24 April 2006 lalu.

Bagi menghadapi kekuatan parti-parti Pakatan Rakyat (PR) yang didakwa para pemimpin BN semakin 'ganas dan lucah' dalam tindakan mereka, maka Umno wajar secara serius mempertimbangkan Adnan sebagai ketua pemudanya.

Tidak syak lagi Umno memerlukan seorang pemimpin yang kepalanya mudah masuk angin bagi memberikan reaksi spontan yang keras dan kasar terhadap parti lawan. Ada kemungkinan besar Adnan mampu mengangkat keberanian dan kemampuan Pemuda Umno untuk menyaingi apa yang didakwa sebagai �keganasan dan kelucahan� parti lawan itu.

Di pihak PR pula, tidak ada salahnya mereka turut berharap agar Adnan benar-benar menjadi Ketua Pemuda Umno. Nescaya pertarungan di pentas politik antara kedua-dua pihak akan bertambah panas dan sengit. Aksi dan tindakan �tak makan saman� oleh bakal ketua pemuda itu nanti akan lebih �memeriahkan� suasana. Mudah-mudahan dengan keceluparannya nanti akan mudahlah juga Umno dijahanamkan!

No comments

Powered by Blogger.