FOREX: Ringgit Ditutup Rendah Berbanding Dolar AS

KUALA LUMPUR, 9 Sept (Bernama) -- Ringgit ditutup lebih rendah berbanding dolar AS apabila mata wang tempatan itu menerima kesan tekanan jualan berterusan berikutan pengukuhan dolar AS, kata para peniaga.

Dolar AS mengukuh selepas mendapat semula keyakinan dalam pasaran kewangan AS selepas pengumuman pengambilalihan kerajaan negara itu ke atas firma kewangan gadai janji, Fannie Mae dan Freddie Mac, dalam cubaan menghadkan kerugian dalam pasaran kewangan subprima.

Ringgit dicatatkan lebih rendah berbanding dolar AS di paras 3.4470/4520 dari paras 3.4300/4350 semalam.

Ringgit turut menjadi lemah berbanding mata wang Asia, ditutup lebih rendah berbanding dolar Singapura di paras 2.4086/4140 dari 2.3998/4061 semalam dan lebih rendah berbanding yen di paras 3.1973/2034 dari 3.1575/1627.

Berbanding mata wang Eropah, ringgit dicatatkan lebih tinggi berbanding euro di paras 4.8754/8839 dari 4.8836/8911 dan di paras 6.0609/0710 berbanding pound British dari paras 6.0660/0762 sebelum ini.

-- BERNAMA

No comments

Powered by Blogger.