Mahkamah Diberitahu Razak Berniat Hapuskan Altantuya Selama-Lamanya

SHAH ALAM 9 Sept (Bernama) -- Mahkamah Tinggi di sini hari ini diberitahu bahawa Abdul Razak Abdullah Baginda mempunyai niat untuk menghapuskan Altantuya Shaariibuu selama-lamanya setelah wanita Mongolia itu berkali-kali mengugut beliau.

Timbalan Pendakwa Raya Tun Abdul Majid Tun Hamzah berkata tindakan Abdul Razak yang meminta pertolongan Cif Inspektor Azilah, tertuduh pertama, telah menjelaskan dakwaan itu kerana Azilah tidak mempunyai kuasa sebagai polis bantuan seperti yang didakwa sebelum ini.

Katanya sebelum ini Abdul Razak mendakwa beliau meminta pertolongan Azilah untuk memastikan keselamatan keluarga dan rumahnya sedangkan Azilah adalah anggota Unit Tindakan Khas (UTK) yang tidak menyediakan 'police box' dan meronda di kawasan rumah seseorang.

Menyambung hujahnya, Tun Abdul Majid berkata Abdul Razak juga sepatutnya tidak perlu khuatir dengan keselamatan keluarganya kerana beliau sudah mengupah penyiasat persendirian P. Balasubramaniam, dan beliau sepatutnya membuat laporan polis mengenai ugutan Altantuya dan bukannya meminta pertolongan Azilah.

Katanya setelah kematian Altantuya, Balasubramiam dipanggil ke balai polis pada 1 Nov 2006 untuk pengecaman dan apabila dilepaskan Balasubramaniam bertanyakan perkara itu (kematian Altantuya) kepada Abdul Razak, bagaimanapun Abdul Razak berkata beliau tidak tahu dan akan bertanya kepada pegawai kanan polis.

"Abdul Razak tidak sepatutnya berkata begitu kerana dia menghubungi Azilah pada malam kejadian dan ia adalah pembohongan yang disengajakan dan dia perlu menjelaskannya," katanya.

Tun Abdul Majid turut mempersoalkan apakah benar Abdul Razak tidak bersungguh-sungguh untuk mengetahui apa yang berlaku kepada Altantuya sedangkan wanita itu diambil dari depan rumahnya dan apakah jenis penyelesaian yang diharapkan dari Azilah.

Kes pembunuhan berprofil tinggi ini melibatkan Azilah, 32, dan Kopral Sirul Azhar Umar, 36, kedua-duanya anggota Unit Tindakan Khas, yang dituduh membunuh Altantuya di Mukim Bukit Raja, Selangor, antara pukul 10 malam 19 Okt dan 1 pagi hari berikutnya.

Abdul Razak, 47, seorang penganalisis politik pula dituduh bersubahat dengan mereka.

Pihak pendakwaan hari ini menamatkan hujahan balas mereka diakhir kes pendakwaan setelah berhujah selama lapan hari dan Tun Abdul Majid memohon mahkamah memanggil kesemua tertuduh membela diri berdasarkan bukti-bukti yang dikemukakan.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Mohd Zaki Md Yasin disambung esok.

-- BERNAMA

No comments

Powered by Blogger.