Muhyiddin: Dr Mahathir Bersetuju Sertai Semula Umno

KUALA LUMPUR, 9 Sept (Bernama) -- Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad telah bersetuju untuk menyertai semula Umno, menurut Naib Presiden parti Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau berkata Dr Mahathir telah menyatakan hasratnya untuk kembali menyertai Umno pada satu mesyuarat Sabtu lepas ekoran kebimbangan beliau dengan perkembangan yang berlaku dalam parti tetapi tidak menyatakan bila beliau akan menghantar permohonannya.

"Anda patut tanya kepada Tun (Dr Mahathir) bila beliau bersedia untuk menyerahkan borang permohonan," kata Muhyiddin hari ini semasa ditanya mengenai bila permohonan itu akan diserahkan.

Bagaimanapun, Muhyiddin yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri berkata Dr Mahathir ada menyatakan yang beliau (Dr Mahathir) tidak pasti sama ada permohonannya untuk menyertai semula Umno akan diterima oleh Majlis Tertinggi.

"Saya telah berjumpa dengan Timbalan Presiden Umno Datuk Seri Najib Tun Razak mengenai perkara ini, tetapi masih belum berjumpa dengan Presiden Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi. Tetapi, apa juga keputusannya, terserahlah kepada Majlis Tertinggi," katanya kepada pemberita selepas mengadakan perjumpaan dengan Majlis Pembangunan Perkhidmatan Malaysia (MSDC).

Bagaimanapun, Muhyiddin berpendapat bekas perdana menteri itu tidak mempunyai sebarang masalah untuk menyertai semula Umno kerana Majlis Tertinggi pernah berkata yang Dr Mahathir dialu-alukan untuk kembali menyertai Umno pada bila-bila masa walaupun tindakan beliau keluar parti diterima.

Ditanya kenapa Dr Mahathir bersetuju kembali menyertai Umno, Muhyiddin berkata Dr Mahathir bimbang dengan perkembangan yang sedang berlaku dalam Barisan Nasional (BN) dan Umno.

"Beliau amat bimbang mengenai perkembangan yang berlaku akhir-akhir ini, bukan sahaja dalam Umno tetapi juga dalam BN. Beliau juga bimbang dengan perasaan rakyat dan beliau fikir dengan menyertai semula Umno, beliau boleh turut serta dalam proses membina semula keyakinan parti," katanya.

Muhyiddin berkata beberapa veteran Umno termasuk Tengku Razaleigh Hamzah, Tan Sri Sabbaruddin Chik dan Tan Sri Sanusi Junid telah berjumpa dengan Dr Mahathir dalam pertemuan di Cyberjaya Sabtu lepas.

Dr Mahathir bagaimanapun tidak dapat dihubungi untuk mendapatkan komen beliau mengenai perkara itu.

Mengenai pertemuan Ketua Umno Bahagian Bukit Bendera Datuk Ahmad Ismail dengan Abdullah hari ini, Muhyiddin berkata: "Biar beliau berjumpa dengan perdana menteri untuk mendapatkan pandangan. Kami mahu melihat perkara ini diselesaikan dengan cara yang dapat memberi kebaikan kepada semua orang."

-- BERNAMA

bukan setakat ludah....ni tahap kahak tun hahaha

No comments

Powered by Blogger.