Umno Bahagian Berhak Pilih Pemimpin Tanpa Terikat Dengan Pelan Peralihan Kuasa
Mubarak: Umno bahagian berhak pilih pemimpin tanpa terikat pelan peralihan kuasa
14-09-2008 05:57:31 PM
PETALING JAYA: Kesemua Umno bahagian berhak untuk memilih pemimpin bagi menjawat jawatan tertinggi dalam parti itu termasuk Presiden dan Timbalan Presiden pada pemilihan Umno Disember depan tanpa perlu terikat kepada pelan peralihan kuasa Jun 2010.
Presiden Majlis Bekas Wakil Rakyat Malaysia (Mubarak), Tan Sri Abu Zahar Ujang berkata, pelan peralihan kuasa yang diumumkan oleh Presiden Umno, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi kepada timbalannya, Datuk Seri Najib Tun Razak pada 10 Julai lalu hanyalah satu persefahaman antara mereka sedangkan akar umbi yang sebenarnya berhak menentukan siapa yang diinginkan untuk memimpin mereka.
“Mengikut Fasa 9 (3) Perlembagaan Umno, (jawatan) Presiden, Timbalan Presiden, tiga Naib Presiden dan 25 anggota Majlis Tertinggi (MT) hendaklah dipilih oleh perhimpungan agung (Umno) tiap-tiap tahun.
“Justeru, itu adalah hak perwakilan untuk memilih. Sungguhpun sudah ada kompromi (antara Abdullah dan Najib) yang dipersetujui pula oleh MT tetapi kita tidak boleh lari daripada mematuhi perlembagaan.
“(Peralihan kuasa) itu adalah persefahaman yang telah dicapai tapi tidak semestinya disokong oleh semua perwakilan yang akan hadir dalam perhimpunan akan datang,” katanya semasa sidang media di sini, hari ini.
Beliau berkata, Perhimpunan Agung Umno pada hujung tahun ini amat penting kerana ia melibatkan pemilihan pucuk pimpinan yang hanya diadakan tiga tahun sekali.
“Memandangkan kepada keadaan semasa, keputusan pilihan raya umum yang lalu dan pilihan raya kecil Permatang Pauh, ahli Umno mesti tahu hak mereka dan perlu mengorak langkah membuat pembaharuan tanpa wujud lagi sindrom membisu, pak turut dan hanya mahu pentingkan diri mengikut jawatan,” katanya.
Katanya, anggota MT yang menyokong pelan peralihan kuasa juga perlu akur dengan perlembagaan parti dan turut menyarankan semua ahli menyayangi parti supaya kembali ke pangkal jalan.
Dalam pada itu, Abu Zahar turut meminta semua pihak tidak lagi memperbesar-besarkan kenyataan Naib Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin sebelum ini yang meminta pelan peralihan kuasa tersebut dikaji semula.
“Muhyiddin hanya menyuarakan pandangannya iaitu peralihan tersebut wajar dipercepat mengikut keadaan semasa dan beliau tidak meminta pun supaya Pak Lah berhenti.
“Saya amati kenyataan beliau sejak selepas pilihan raya umum lalu konsisten, telus dan ikhlas demi kebaikan parti.
“Beliau hanya merayu pucuk pimpinan… jangan kata beliau menentang. Beliau tidak perlu letak jawatan seperti yang disarankan seorang menteri sebelum ini tetapi jika pucuk pimpinan yang diketuai Perdana Menteri merasakan yang beliau menentang, terpulang kepada Perdana Menteri jika difikirkan wajar (letak jawatan),” katanya.
Beliau turut membidas sikap Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Zaid Ibrahim yang mencadangkan perletakan jawatan Muhyiddin kerana katanya, ketika isu yang membabitkan perundangan termasuk isu agama Islam dibangkitkan Majlis Peguam, Zaid sebagai menteri yang bertanggungjawab hanya berdiam diri.
Ketika ditanya mengenai hasrat Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk bertemu Abdullah bagi membincangkan soal politik dan keselamatan negara, beliau berkata Anwar hanya ‘menangguk di air yang keruh’.
“Saya melihat Anwar sebagai seorang pemimpin yang berminat untuk memimpin negara namun carilah jalan yang betul.,” katanya.
Berhubung kewajaran Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dilaksanakan di negara ini, Abu Zahar berkata, ia perlu untuk menjamin keselamatan negara dan ketenteraman awam.
“Saya orang lama dan tahu apa akibatnya jika kita menyentuh isu-isu sensitif yang akhirnya membawa kepada peristiwa 13 Mei.
“Dalam membuat laporan berita, jangan terlalu emosional dan kita mesti bertanggungjawab dan adil (dalam penulisan) serta peka dengan isu-isu sensitif,” katanya.
No comments
Post a Comment