lagi menteri komen pasal ISA

ISA Masih Relevan Untuk Diamal, Kata Shahrir

JOHOR BAHARU, 14 Sept (Bernama) -- Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Shahrir Abdul Samad berkata Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) masih relevan untuk diamalkan di negara ini.

Shahrir yang juga anggota Majlis Tertinggi Umno berkata walaupun beliau pernah keluar dari kerajaan dan menjadi anggota Bebas pada satu masa dahulu, namun beliau tidak pernah meminta ISA dikaji ataupun dimansuhkan kerana sedar akta itu diperlukan kerajaan dalam mentadbir rakyat berbilang kaum dan pelbagai agama.

"Ianya masih perlu. Dalam pelbagai fahaman, budaya dan kaum adalah sukar untuk kita mentadbir negara" katanya kepada pemberita selepas merasmikan Bazar Ramadan 2008 di Terminal Pengangkutan dan Pasar Awam Larkin, di sini hari ini.

Shahrir mengulas penahanan Exco kerajaan negeri Selangor Teresa Kok, pengendali laman web Malaysia Today, Raja Petra Kamaruddin dan wartawan Sin Chew Daily Tan Hoon Cheng mengikut ISA pada Jumaat lepas. Tan dibebaskan semalam.

Beliau berkata ISA tidak boleh digunakan sewenang-wenang sebaliknya perlu digunakan secara bijaksana dan penuh tanggungjawab.

"Kalau mahu pakai (ISA), kena betul-betul berdasarkan kepentingan awam, bukannya oleh pihak yang berkepentingan," katanya. -- BERNAMA

No comments

Powered by Blogger.