Ketuanan Melayu: Umno sangat terasa, rakyat terus bertenang….


" Bila sahaja Timbalan Presiden MCA, Chua Soi Lek yang menolak konsep ketuanan Melayu yang disifatkan beliau sebagai tidak lagi relevan, maka bertempiklah hulupolong-hulupolong Umno untuk menongkat keangkuhan mereka.

Hishamuddin, Hamid Albar, Shafie Apdal dan Khaled Nordin, tampil menjadi juara Umno. Soi Lek cuba memasang perangkap dan akhirnya pemimpin Umno melatah. Tidak cukup dengan itu Presiden MCA, Ong Tee Keat enggan mengaku bahawa itulah suara MCA. Maka kian gamatlah pentas politik bersukukan bangsa ini.

Soi Lek memancing dengan cuba mengangkat label Ketuanan Rakyat yang sewajarnya dinobatkan sebagai model politik negara kini bagi mengantikan ideologi Ketuanan Melayu.

Sememangnya, isu ketuanan Melayu amat sensitif buat Umno yang selama ini telah menganggap bahawa merekalah sebenarnya pemimpin Melayu yang telah mewarisi perjuangan Hang Tuah. Namun disebalik kegawatan pemikiran mereka itu, pemimpin-pemimpin ini hanyalah bermain wayang dan enggan mengiktiraf bahawa Pas yang selama ini memposisikan diri dalam perjuangan Jebat juga orang Melayu.

Anehnya, Jebat versi Pas tidak melawan Sultan tetapi mengangkat peribadi Islam sebagai amal perjuangan. Umat Melayu dipimpin ke jalan yang satu iaitu untuk mengenal ‘tuan’ yang sebenar iaitu Allah.

Beza antara perjuangan bangsa Umno dan Aqidah Islam melalui Pas sangat besar. Maka, bila sebut sahaja tentang isu ketuanan Melayu, Pas tidak begitu terasa. Malah bila Soi Lek sebut tentang ketuanan Rakyat, maka ramai pula rakyat yang bergembira.

Hal ini berlaku kerana konsep Ketuanan Melayu yang diperjuangkan Umno kita sudah tidak sama dengan perjuangan Tuah. Ketuanan Melayu kini hanya berlegar sekitar kantung pemimpin BN yang gelojoh merampok khazanah rakyat atas nama sebuah amanah dan kepercayaan yang sudah sekian lama dilacurkan.

Pemimpin Umno menjadi tuan, rakyat diperhambakan. Kenaikan harga barang, cukai dan juga pelbagai dasar yang merugikan rakyat adalah lambang sebenar ketuanan Umno yang dipatrikan atas nama umat Melayu.

Kerana kemunafikan Umno inilah bangsa Melayu semakin terpinggir dalam aspek ekonomi dan politik. Islam pada Umno hanyalah sebagai alat bukannya penyelamat umat Melayu. Maka bila umat Melayu sedar akan kegagalan Umno ini mengangkat bangsa mereka maka, ruang yang ada di isikan dengan iman kepada ‘tuan’ yang sebenarnya iaitulah Allah.
Maka konsep ketuanan itu dijulang lebih tinggi hinggalah lahirnya ideologi ketuhanan yang menuntut redha Allah bagi segenap tindakan. Dari situ maka bebaslah mereka dari belenggu perhambaan yang diwarisi atas nama Ketuanan Melayu.

Setelah itu umat Melayu yang sedar ini bangkit menuntut hak mereka atas perjuangan yang bernama Rakyat. Dari situlah Soi Lek melihat kisah Ketuanan Rakyat dimana Umat Melayu bergabung dan bersatu dengan bangsa lain untuk mencabar Ketuanan Melayu@Ketuanan Umno yang bertopengkan Melayu.

Oleh itu, umat Melayu yang belum sedar lagi haruslah bangkit untuk bersama-sama mengembalikan kedudukkan bangsa Melayu agar lebih bermaruah dan mampu duduk sama tinggi dengan bangsa lain. Tidak guna duduk berpayung pada Umno kerana mereka akan memperhambakan bangsa sendiri.

Bila tersepit, maka mulalah mereka memainkan isu ketuanan dan hak keistimewaan Melayu, walhal kita semua ini adalah makhluk Allah, manusia…..insan yang istimewa.

Allah jadikan kita bersuku-suku untuk saling kenal mengenalkan dan bersatu dalam satu dunia, bertolak ansur, hormat menghormati dan menghargai apa yang ada. Perebutan kuasa berasaskan suku bangsa hanya akan mewujudkan perpecahan.

Memang selayaknya pemimpin Melayu memimpin negara bagi menghargai semangat dan pewarisan tanah Allah yang mulia ini. Malah anak bangsa Melayu juga boleh mengimbangi suara kaum-kaum lain agar dapat duduk sama rendah berdiri sama tinggi.

Anak melayu mampu melakukan itu semua tetapi dengan syarat. Aqidahnya Islam, perjuangannya atas nama kecintaannya pada Allah, kerana makhluk yang cinta pada Allah pasti tidak akan menzalimi makhluk lain yang dipimpinanya.

Oleh itu, untuk memastikan umat Melayu dapat terus survive maka mereka haruslah kembali mengenal Allah. Kenal Allah maka seluruh dunia akan kenal anda sebagai makhluk yang paling bermaruah!"

No comments

Powered by Blogger.