Perdana Menteri jangan lepaskan jawatan- Ustaz Hadi

Presiden PAS mencadangkan agar Perdana Menteri, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi terus menjalankan tugas-tugasnya sebagai Perdana Menteri walaupun melampaui tarikh penyerahan kuasa yang disepakati dalam Umno iaitu pada bulan Mac 2009 nanti. Iklan



Ini kerana menurut Dato' Seri Tuan Guru Hj. Abd. Hadi Awang, beberapa perkara besar yang melibatkan pentadbiran negara termasuklah sebahagiannya yang merupakan janji Abdullah kepada rakyat Malaysia amnya masih belum tertunai.

"Penubuhan Suruhanjaya Anti Rasuah Malaysia, umpamanya masih di peringkat rang undang-undang dan berkemungkinan akan mengambil masa dan belum dapat dilaksanakan sepenuhnya.

"Begitu juga dengan Suruhanjaya Kehakiman yang sepatutnya mengembalikan kewibawaan badan kehakiman, masih belum terlaksana," katanya yang dipetik daripada satu kenyataan media kepada Harakahdaily semalam.

Ustaz Hadi turut merasakan Abdullah wajar menyelesaikan beberapa tuntutuan ke arah penambahbaikan urusan Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) yang masih diragui oleh rakyat Malaysia sehingga kini.

"Biarlah segala ketempangan dan kepincangan badan yang sepatutnya menguruskan proses pilihan raya dalam negara ini secara telus, dirawat dan diperbaiki sebelum beliau melepaskan jawatannya,"katanya yang juga Ahli Parlimen Marang.

Oleh itu katanya, demi memberi peluang kepada Abdullah bersara dalam keadaan yang baik, maka PAS menyeru agar beliau diberikan masa untuk menyelesaikan tugas-tugas besar ini dan tidak harus melepaskan jawatannya pada bulan Mac 2009 nanti selagi tugas-tugas berkenaan tidak selesai sepenuhnya.

Ustaz Hadi kini berada di Tanah Suci Mekah kerana menunaikan ibadat Haji dan merakamkan ucapan Hari Raya Eidul Adha kepada umat Islam Di Malaysia.

"Saya mengambil kesempatan mengucapkan Selamat Hari Raya Eidul Adha kepada semua umat Islam khasnya di Malaysia dan menyeru agar mereka menghayati falsafah Hari Raya Korban agar dapat dilaksanakan dalam kehidupan seharian," katanya.-

No comments

Powered by Blogger.