Tok Guru Akan Pergi
Isu peralihan dan transformasi menjadi isu negara selepas parti yang memerintah, Barisan Nasional menerima keputusan paling buruk dalam sejarah parti mereka lewat pilihanraya lalu. Kerajaan bayangan Pakatan Rakyat mengambil peluang sepenuhnya mendesak dan terus mendesak kerajaan Barisan Nasional berundur. Percubaan demi percubaan telah dan berterusan dilakukan untuk menumbangkan kerajaan lemah yang diterajui oleh BN.
Rentetan daripada itu tranformasi juga menjadi agenda parti-parti kompenan BN sendiri. Boleh dikatakan semua peringkat dalam Umno, MCA dan MIC menuntut supaya tranformasi secara besar-besaran berlaku dalam parti mereka. Kemuncaknya Pak Lah terpaksa akur kepada desakan memendekkan tempoh kuasa, walaupun perancangannya untuk berada di takhta PM sehingga 2010. Kasihan Dollah. Tugasnya sekarang sekadar mengunting reben dan memalu gong gimik pelancaran. Sesekali perlahan memberi komen “Yee.. yoga bolehhhh… asalkan tiada unsur jampi mentera.”
Sejarah perebutan jawatan tertinggi Umno menyaksikan semua jawatan menjadi perebutan paling sengit dalam sejarah parti keris itu. Alasannya untuk reform, transisi dan peralihan.
Saya bukan peramal politik, jauh sekali untuk mengatur susun kepimpinan. Isu Tok Guru akan melepaskan jawatan sebagai Menteri Besar Kelantan juga menjadi isu yang berterusan. Sememangnya apabila ditanya rata-rata mengharapkan Tok Guru kekal menerajui negeri Serambi Mekah, sehingga ke hujung nyawa beliau. Terbaru televisyen memanipulasi kononnya ada desakan daripada ADUN PAS di Kelantan supaya Tok Guru mengundur diri. Alasannya agak relevan. Faktor usia dan kesihatan. Setiap kali Tok Guru ke hospital untuk memeriksa kesihatannya setiap kali itu juga timbul spekulasi beliau akan berundur.
Sepanjang menerajui perubahan Kelantan, Tok Guru memang tak terlepas berdepan dengan kritikan daripada luar dan dalam. Memang pada awal Tok Guru menjadi Menteri Besar Kelantan ada juga yang agak pesimis, orang tua berserban ini mampukah mentadbir sebuah kerajaan. Senang sahaja jawapan Tok Guru.
“Saya yang menentukan dasar, pelaksanaannya pegawai sayalah.”
Tok Guru juga semacam dipersalahkan apabila mengeluarkan isu barua, samseng dan orang utan.
“Cari payoh nok jawab belako tuh,” ada yang sinis berkata begitu.
Akhirnya isu itu memakan semula musuh Tok Guru, musuh kita. Umno.
Sampai kepada suatu tahap ada suara yang berani Tok Guru sudah masuk ke peringkat lupa apabila bertindak mengeluarkan sekolah Darul Anuar daripada Yayasan Islam Kelantan (YIK)
Hampir 8 tahun saya di Darul Anuar. Hampir 4 tahun pula sebagai Penolong Kanan. Apabila berdepan dengan isu transisi sekolah kerajaan negeri kepada penswastaan saya tidak berani komen lebih-lebih dengan keputusan Tuan Guru. Terkilan tetap ada tetapi barang tentu ada hikmahnya.
Apabila dianjurkan satu-satu program semua mengharapkan dihadiri Tok Guru. Orang lain tidak mahu. Mesti Tok Guru. Kerana teruja dan terlalu sayangkan Tok Guru, biarlah Tok Guru lelah letih sikit, janji rakyat nak tengok Tok Guru, nak dengar dari mulut Tok Guru sendiri, Tok Guru yang rasmi program. Tok Guru yang tekan suis gimik pelancaran. Tok Guru yang hulurkan hadiah.
Bak kata isteri sayangkan suami. Dijamunya makanan serba manis kerana manis itu menyelera. Serba masin kerana masin itu lemak. Akhirnya isterinya itulah yang membunuh suaminya dengan penyakit kecing manis dan darah tinggi!
Hakikat yang perlu diterima setiap kepimpinan akan menuju ke penghujungnya. Berkali-kali Tok Guru sendiri sebut ketika Dato’ Asri menjadi MB Kelantan, sudah ada suara-suara yang menyebut siapakah yang bakal menggantikan kehebatan Asri. Kepimpinan dan pidatonya. Kepimpinan Tok Guru juga begitu. Walaupun yang tumbuh tak akan sama dengan yang patah, setiap pemimpin mesti ada lebih dan kurangnya sebagaimana Tok Guru ada kehebatan dan kekurangannya.
Kepimpinan Sahabat-sahabat Nabi sendiri silih berganti. Bahkan ketika kewafatan Rasulullah sendiri sahabat bagai kebingungan bagaimanakah mereka tanpa kepimpinan Rasulullah.
Ya. Kepimpinan Tok Guru akan sampai ke penghunjungnya. Anak-anaknya sendiri berkali bagaikan merayu agar ayahanda mereka berundur. Anak-anak bukan butuh dan dahagakan belaian kasih sayang sepenuh masa. Bukan mengharap tunjuk ajar didikan semata. Mereka telah tepu dengan asuhan dan tarbiah ayahanda Tok Guru mereka. Mereka hanya belas atas batang tubuh ayahanda mereka.
Saya tidak berminat untuk membincang dan menelah siapa bakal pengganti ikon terhebat itu kerana selama 18 tahun Tok Guru sudah berjaya melahirkan klon Nik Aziz Nik Mat. Walaupun tidak 100% watak Nik Aziz, tetapi tarbiah dan didikan Tok Guru melekat pada barisan exconya. Ini diakui sendiri oleh Dato Wan Rahim semasa memberi taklimat isu dalam usrah kawasan Kota Bharu tidak berapa lama dahulu.
Sekali lagi, saya bukan penganalisis politik, tetapi yang pasti saya rasakan Tok Guru akan meninggalkan kerusi MB sebelum berlangsungnya Pilihanraya Umum ke 13
Hujjahnya :
1. Pembangkang yang bersatu di bawah Pakatan Rakyat berada dalam situasi dan posisi selesa selaepas kemenangan besar PRU 12.
2. Tok Guru telah berjaya melahirkan pelapis kepimpinan yang boleh meneruskan Dasar Membangun Islam yang menjadi slogan kerajaan Negeri Kelantan.
3. Usia dan kesihatan Tok Guru.
Kita yakin dan pasti bahawa budaya politik Islam berbeza daripada budaya politik sekular. Politik sekular akan meminggirkan mana-mana pemimpin mereka yang tidak ada lagi jawatan. Lihat sahaja apa yang berlaku kepada Ghafar Baba, Khalil Yaacob dan terbaru Tun Mahatir. Sesungguhnya Itu tidak berlaku dalam politik Islam.
No comments
Post a Comment