Nik Aziz tetap mahu bukan Islam sertai PAS


KOTA BAHARU: Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat sekali lagi melontarkan cadangan membuka keanggotaan parti itu kepada bukan Islam walaupun ia tidak dipersetujui presidennya Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Katanya PAS perlu memberi peluang kepada masyarakat bukan Islam yang mulai menerima baik parti itu sehingga ada yang telah menubuhkan Kelab Penyokong PAS serta turut berkempen untuk calon parti itu pada pilihan raya umum lalu.

"Bukan Islam pun dah mula undi PAS, kenapa kita tak boleh beri peluang kepada mereka. Politik ini untuk semua," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat exco kerajaan Nngeri di sini hari ini.

Pada muktamar PAS yang lepas, Abdul Hadi menolak cadangan berkenaan dan berkata penerimaan golongan bukan Islam untuk menyertai PAS mungkin mengambil masa yang lama kerana ia melibatkan perlembagaan parti yang antaranya menetapkan syarat keanggotaan seperti beragama Islam, berakal dan akil baligh.

Mengenai pilihan raya kecil bagi kerusi Parlimen Kuala Terengganu nanti, Nik Aziz berharap Naib Presiden PAS, Mohamad Sabu, dipilih semula menjadi calon parti itu.

"Saya nak benar dia. Dulu dia bertanding pilihan raya umum di situ, tak ada sebab kita tak boleh letak dia. Di parlimen ni kita nak orang macam Mat Sabu kerana dia lantang," katanya.

Kerusi itu kosong berikutan kematian penyandangnya, Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Razali Ismail akibat serangan jantung pada Jumaat lepas.

Pada pilihan raya umum Mac lepas, Mohamad Sabu tewas kepada Razali dengan majoriti 628 undi. BERNAMA

No comments

Powered by Blogger.