Mohamad Sabu sedia tanding lagi

PETALING JAYA: Bekas calon PAS, Mohamad Sabu menyatakan kesediaannya untuk bertanding buat kali kedua pada pilihanraya kecil Kuala Terengganu selepas tewas di kerusi Parlimen yang sama dalam Pilihanraya Umum ke-12 yang lalu.

"Saya sentiasa bersedia kalau dipilih oleh parti untuk bertanding, tapi keputusan untuk tentukan itu (calon), terletak pada parti," katanya kepada mStar Online ketika dihubungi hari ini.

Walaubagaimanapun Beliau berkata hingga kini PAS masih belum menentukan calon yang akan bertanding menentang calon Barisan Nasional (BN) dalam pilihanraya berkenaan.

Kerusi Parlimen Kuala Terengganu itu kosong ekoran kematian mengejut penyandangnya sebelum ini yang juga bekas Timbalan Menteri Pelajaran, Allahyarham Datuk Razali Ismail.

Dalam pilihanraya umum Mac lalu, Allahyarham mengalahkan Mohamad Sabu dan calon Bebas, Maimun Yusof dengan majoriti 628 undi.

Mohamad Sabu berkata beliau gembira kerana Pakatan Rakyat yang dianggotai PAS, PKR dan DAP bersetuju memberi laluan kepada PAS untuk meletakkan calonnya bertanding di kerusi Parlimen berkenaan.

"Yang penting ialah calon PAS, walau siapa pun yang menjadi calon nanti, kita akan beri sokongan padu untuk pastikan kemenangan," katanya.

Beliau yang juga Naib Presiden PAS menjelaskan buat masa ini pengurusan parti menunggu signal yang akan diberikan oleh Presidennya, Datuk Seri Abdul hadi Awang untuk tindakan lanjut.

"Kita tunggu Presiden balik menunaikan haji dulu, lepas itu baru kita tau apa tindakan lanjut yang diambil," katanya.

Ditanya sejauhmana keyakinan PAS untuk menang dalam pilihanraya berkenaan, beliau berkata PAS bersama anggota Pakatan Rakyat yang lain akan berusaha bersungguh-sungguh untuk memastikan kejayaan dalam pilihanraya berkenaan.

No comments

Powered by Blogger.