Kongres PKR Hebat Tetapi Ada Sedikit Kecacatan
Kongres PKR Hebat Tetapi Ada Sedikit Kecacatan!
Bagaimana pun apabila mengenang kepada kongres semalam ada dua subjek yang ingin disebut dan mungkin ia boleh melukakan hati banyak pihak. Namun pada saya wajar ianya diangkat di sini untuk dinilai dan diperhatikan.
Pertama ialah mengenai kerjasama atau semangat ukhwah pada saya tidak begitu menonjol dari kalangan Pas, khasnya Pas Selangor bersama Keadilan menerusi Pakatan Rakyat.
Pun begitu saya tidak tahu isi dalamnnya yang sebenar! Cuma apa yang saya dapati tidak ada tokoh tertinggi Pas Selangor menghadiri kongres berkenaan sebagai tetamu. Yang nampak tercokol dan wajahnya ini sudah biasa dalam majlis Anwar hanya bekas Timbalan Pesuruhjaya Pas Selangor, Abdul Khalid Samad. Ke manakah perginya Pesuruhjaya Pas Selangor, Dr Hassan Mohamad Ali. Disebabkan Selangor selaku tuan rumah kongres berkenaan, mustahil kalau Keadilan Selangor tidak mengundangnya disebabkan wujud perbalahan kecil sebelum ini.
Adalah tidak bijak bagi Hassan kalau beliau dijemput tetapi tidak menghadirinya kerana menjadikan alasan perselisihan kecil yang timbul waktu ini. Sebagai seorang ahli politik beliau harus mengenepikan itu dan sekaligus menyembunyikan perbalahan daripada umum. Apakah beliau tidak diundang?
Begitu juga dengan tetamu dari pucuk pimpinan tertinggi Pas. Umum sudah mengetahui bahawa Presiden Pas, Abdul Hadi Awang sedang mengerjakan haji di Makkah. Tempat beliau itu sepatutnya diganti oleh timbalannya Nasharudin Mat Isa dan bukannya oknum lain? Apakah Keadilan tidak menjemput Nasarudin Mat Isa?
Walaupun orang berbaju petak-petak merah (Husam Musa) hadir namun darjah dan segi hierarkinya tidak sama dengan Abdul Hadi atau Nasharudin. Kehadiran Husam lebih dilihat sebagai penghormatan seorang kawan kepada kawan, dari beliau kepada Anwar. Mungkin Husam mendapat jemputan dengan sampul perak bertulis dakwat emas dari Anwar sebagai mengenang jasa Husam di Permatang Pauh dulu!
Ketiadaan mereka itu makin terasa lagi apabila semua pemimpin tertinggi DAP hadir menjadi tetamu kongres berkenaan. Apakah hubungan Pas dengan Keadilan waktu ini dalam keadaan runcing? Keretakan yang sedikit ini tidak bolehkah dipadukan dengan sama-sama menghayati falsafah dan aspirasi Harapan Baru itu yang saya kira ia juga menjadi keazaman Pas?
Subjek kedua yang ingin saya sentuh ialah tentang backdrop… kongres berkenaan. Mungkin hal ini kecil dan tidak ternampak oleh banyak orang tetapi ia menyentuh perasaan saya. Tulisan yang digunakan pada backdrop kongres itu begitu bergaya dan simbolik sekali menunjukkan kesatuan dalam Keadilan. Semua tulisan dari kaum terbesar di negara ini digunapakai; tulisan bahasa Melayu, tulisan dalam bahasa Cina dan tulisan dalam bahasa Tamil.
Nampak ia menzahirkan kerjasama dan keikhlasan yang tulen. Sekali lagi di sinilah uniknya Keadilan. Bagaiamana pun pada pengamatan saya kalau ada sedikit pindaan kepada backdrop itu ia menjadi lebih cantik dan kemas lagi, iaini kalau bahasa Melayu itu dibuat dalam huruf Jawi. Kerana dengan wujudnya tulisan Jawi yang mendominasi dua tulisan Cina dan Tamil itu ia akan memberi erti dan simbol yang amat menyenangkan.
Sejajar itu juga secara tidak langsung menampakkan Keadilan memperjuangkan tulisan Jawi yang menjadi satu daripada kesenian bangsa Melayu yang sudah dianaktirikan oleh kerajaan BN hari ini. Kita tidak boleh dinafikan di dalam tulisan Jawi itulah tersemennya roh Melayu. Apakah Keadilan juga dalam soal ini bersekongkol dengan kerajaan BN/Umno!
No comments
Post a Comment