Semoga jemaah kita terus berjaya

Bezanya PAS dengan parti-parti siyasah lain dalam negara adalah bahawa ia adalah juga sebuah gerakan Islam. Mereka yang bernaung di dalamnya mempunyai cita-cita dan matlamat perjuangan yang sama iaitu ke arah memartabat dan mendaulatkan Islam. Menguruskan suatu gerakan Islam sebesar PAS bukanlah satu kerja yang mudah, tetapi kerana ia sebuah gerakan Islam maka seluruh ahli ikhlas meletakkan dirinya bernaung di bawah adab dan disiplin berjemaah sebagaimana dikehendaki Islam.

Sikap bermuhasabah dan nasihat-menasihati adalah suatu yang diterima dalam PAS dan kekuatan inilah yang mengakibatkan parti ini mampu bertahan sejak awal penubuhannya hingga kini.

Kerana itu kita tidak pernah melihat ancaman untuk keluar parti atau memnbawa ahli keluar parti dan seumpamanya dalam PAS. Kalaupun ada ianya melibatkan individu dan golongan yang telah sebenarnya tersisih dari adab dan disiplin berjemaah, lazimnya mereka ini akan gugur begitu sahaja. PAS adalah sebuah qiyadah jamaiyah iaitu kepimpinan melalui jemaah, lalu kepentingan individu atau kelompok tidak dapat mengatasi kemahuan dan kehendak jemaah yang diputuskan melalui syura.

Besar mana pun pangkat seseorang, tinggi mana pun ilmunya, lama mana pun ia menjadi ahli parti tetapi yang diukur oleh gerakan Islam adalah tahap ketaqwaannya. Seorang yang setinggi kedudukan Presiden sekalipun tetapi jika ia lari dari prinsip perjuangan, seorang buruh atau penganggur mungkin lebih mulia di sisi Allah dari beliau. Allah swt berfirman:

Sesungguhnya orang yang paling mulia di antara kamu di sisi Allah ialah orang yang paling bertakwa di antara kamu. (al Hujuraat:13)

Berbekallah, dan sesungguhnya sebaik-baik bekal adalah takwa dan bertakwalah kepada-Ku hai orang-orang yang berakal. (al Baqarah: 197)

Di pagi Jumaat ini saya senang membaca nasihat dan tunjuk-ajar dari Ustaz Idris Ahmad, AJK PAS Pusat, yang dimuatkan di dalam laman tranungkite

http://www.tranungkite.net/v8/modules.php?name=News&file=article&sid=289

Inilah kelainan dalam PAS, kecintaan dalam jemaah dibentuk dari sama-sama berusaha kea rah mendekatkan diri kepada Allah. Ustaz Idris menyebut darihal betapa pentingnya kerahsiaan dalam parti dipelihara dan dijaga oleh semua pihak dan peringkat, malah ia merupakan adab dalam jamaah yang perlu dipatuhi. Jika ia mudah sahaja bocor dan dibocor pula untuk tontonan dan ratahan pihak musuh, maka sudah pastilah yang tergugat dan terancam adalah jemaah yang kita sayangi ini.

Janganlah kita menjadi individu yang begitu terpesona dengan diri kita sendiri sehingga menganggap pihak lain rendah dan tidak sehebat kita. Sampai ke peringkat sebagaimana digariskan oleh Dr Syed Muhammad Noh di dalam kitabnya “Wabak sepanjang jalan”, : ia akan berusaha sedaya upaya untuk mengatasi orang lain tanpa mengambil kira ianya benar atau tidak. Dalam suasana yang demikian syaitan akan membisik kepadanya bahawa cara paling baik untuk ia mencapai hasratnya ialah dengan mengambil pendekatan bertegang leher, semoga dijauhkan Allah dari kita memiliki sifat sedemikian.

Kita akan menghadapi peperangan besar (pilihan raya) di Kuala Terengganu. Ini bukan masanya kita melayan puak-puak yangs edemikian. Ini masanya untuk kita menzahirkan kekuatan dan perpaduan kita. Kekuatan dan perpaduan inilah yang telah melonglaikan mush dan lawan sebelum ini, dengan keyakinan kepada pertolongan Allah swt, marilah dibawah bimbingan dan kepimpinan ulamak, kita semua menongkah arus sehingga berkibarnya panji-panji Islam di parlimen Kuala Terengganu.

No comments

Powered by Blogger.