PAS tidak sempit pemikiran kerana mahukan PM seorang Melayu atau Islam atau bagaimana?
“Hadi’s thinking narrow and outdated” atau “Pemikiran Hadi sempit dan ketinggalan zaman”, demikianlah bunyi tajuk kecil muka 11 akhbar The Sun hari ini. Ia melaporkan darihal kenyataan Presiden Hua Zong yakni Persekutuan Persatuan-persatuan Cina se Malaysia, Tan Sri Lim Gait Tong di dalam akhbar Cina ,The Oriental Daily News.
Lim marah dan tidak dapat menerima kenyataan Presiden PAS Dato’ Seri Tuan Guru Hj Abd Hadi Awang, di dalam temuramahnya bersama Harakah, yang menyebut bahawa Perdana Menteri Malaysia mestilah seorang Melayu atau Muslim.Tambah Lim pandangan Tuan Guru itu menunjukkan yang beliau seorang yang berfikiran sempit dan ketinggalan zaman serta tidak layak memimpin PAS.
Kata Lim lagi menurut perlembagaan Malaysia, mana-mana ahli parlimen yang menerima sokongan majoriti ahli-ahli dewan rakyat dan diperkenankan oleh Agung, layak menjadi PM tanpa mengira kaum atau agama. (dan rasa saya kenyataan Tuan Guru itu tidak pun bertentangan dengan peruntukkan perlembagaan ini kalau mahu dilihat dari realiti semasa yang ada).
Apa pandangan anda?
Bagi saya sebagaimana Lim layak untuk memberikan pandangan dan ulasan darihal satu-satu isu, maka demikianlah juga Tuan Guru, berhak memberikan pandangan dan ulasan berkenaan satu-satu isu. Tak perlulah kita melabel seseorang itu sempit pemikiran atau ketinggalan zaman, semata-mata kerana pandangan dan pendiriannya berlainan atau tidak dapat kita terima. Apakah pada sangkaan Lim pandangan beliau itu hebat dan dapat diterima semua?
Sebagai Presiden Parti Islam Se Malaysia, saya percaya apa yang dinyatakan oleh Tuan Guru itu adalah selari dan berkait rapat dengan dasar dan prinsip perjuangan partinya. PAS berjuang untuk memartabatkan Islam di Malaysia, itulah PAS apabila ditubuhkan pada tahun 1951 dahulu dan itulah PAS pada hari ini.
Kalau Lim tidak tahu, PAS yang sudah berkecimpung dalam kancah politik tanahair lebih setengah abad ini, menjunjung Islam sebagai dasar perjuangannya. Tujuan PAS sebagaimana terkandung dalam perlembagaannya adalah:
Memperjuangkan wujudnya di dalam negara ini sebuah masyarakat dan pemerintahan yang terlaksana di dalasmnya nilai-nilai hidup Islam dan hukum-hukumnya menuju keredhaan Allah
Lalu sempit dan ketinggalan zamankah Tuan Guru jika beliau menyatakan bahawa PM Malaysia mestilah seorang Melayu atau Islam? Jika bagi Lim kenyataan itu sempit dan ketinggalan zaman, maka sempit dan ketinggalan zamanlah seluruh pemimpin dan ahli PAS kerana semua kami berpegang pada perlembagaan yang sama.
Kalau dilihat sejarah PAS, pandangan Tuan Guru itu sesungguhnya adalah pegangan dan pendirian parti sejak penubuhannya.
Pada pilihan raya umum 1990 umpamanya, ketika itu menyaksikan PAS bersama membentuk Angkatan Perpaduan Ummah. Persefahaman yang dipegang ketika itu, jika gagasan ini ditakdirkan menang maka PM yang disepakati adalah Tengku Razaleigh Hamzah (ketika itu Presiden Parti Melayu Semangat 46). Dalam PRU 1999, semasa membentuk Barisan Alternatif (pakatan bersama PKN (kini PKR), DAP dan PRM) PAS bersedia menerima Dato’ Seri Anwar Ibrahim sebagai PM jika pakatan ini menang. Dan demikianlah juga seterusnya sehingga kini melalui Pakatan Rakyat.
Adakah persefahaman itu membuktikan yang semua kita sempit pemikiran dan ketinggalan zaman? Tanyalah Lim Kit Siang atau Karpal sekalipun, jika Pakatan Rakyat menang siapakah yang layak jadi PM? Maka jawapannya: Dato Seri Anwar iaitu seorang Melayu (atau) dan Islam.
PAS berpendirian demikian bukanlah bermakna PAS menolak kehadiran kaum dan penganut lain. Pengalaman yang lalu membuktikan yang PAS boleh bekerjasama dan menerima kehadiran mereka ini, samada sebagai rakan politik mahupun sebagai Menteri (ketika dalam BN dahulu), EXCO (di Perak, Selangor, Kedah dan Pulau Pinang) atau pegawai-pegawai lantikkan kerajaan. Malah di Pulau Pinang sebagai parti penyokong kerajaan PAS menerima Lim Guan Eng sebagai Ketua Menteri.
Cuma kerana menjunjung dasar perjuangan yang jelas termaktub dalam perlembagaannya, maka PAS sejak dari dahulu dan insyallah sampai bila-bila akan terus menuntut agar PM Malaysia jika ditakdirkan ia berkuasa bersama rakan-rakan lain, wajarlah seorang Melayu atau Islam. Diharapkan sesiapa sahaja yang berkawan dengan PAS dapat menerima dan menghormati hakikat ini.roslan sms
No comments
Post a Comment