Cadangan Gaji Menteri Dan Majikan Swasta Dipotong


PULAU PINANG, 13 Feb (Bernama) -- Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) hari ini mencadangkan supaya gaji menteri kabinet dan majikan swasta dipotong jika keadaan ekonomi di negara ini semakin gawat.

Presidennya, Syed Shahir Syed Mohamud berkata, adalah tidak adil jika pihak majikan hanya mengambil tindakan meminta pekerja mengambil cuti tanpa gaji untuk menyelamatkan syarikat sedangkan pihak pengurusan tertinggi tidak pula melakukan tindakan yang sama.

Katanya, bagi setiap tindakan sedemikian, ia harus dimulakan daripada peringkat atasan atau pegawai tertinggi, termasuk menteri kabinet untuk merasai beban yang ditanggung oleh pekerja terlibat.

Bercakap kepada pemberita selepas mengunjungi Timbalan Ketua Menteri II, P.Ramasamy di sini, beliau berkata, Malaysia seharusnya mencontohi Singapura yang memotong gaji menteri kabinetnya dalam menghadapi kesan kegawatan ekonomi global.

"MTUC tidak bersetuju dengan kenyataan seorang bekas timbalan menteri baru-baru ini yang meminta pekerja berkorban dengan mengambil cuti tahunan dan juga cuti tanpa gaji bagi menyelamatkan syarikat. Mengapa pekerja sahaja kena berkorban? Majikan dan menteri juga perlu berbuat demikian," katanya.

Dalam perkembangan itu, Ramasamy juga berkata, kerajaan Pulau Pinang bersedia menimbang pemotongan gaji exconya dan beberapa langkah lain jika situasi ekonomi menjadi semakin buruk.

Syed Shahir juga berkata, sudah tiba masanya kerajaan pusat mempercepatkan pelaksanaan tabung pemberhentian pekerja (retrenchment fund) seperti yang pernah dicadangkan MTUC 10 tahun lalu bagi membantu golongan pekerja yang terlibat.

"Kalau Kerajaan Persekutuan boleh beri RM5 bilion untuk menyelamatkan Value Cap mengapa ia tidak boleh berbuat perkara yang sama untuk menubuhkan dana bagi menyelamatkan pekerja," tegasnya.

Syed Shahir berkata, sehingga kini kira-kira 13,000 pekerja terutamanya di sektor perkilangan atau pembuatan telah diberhentikan kerja di seluruh negara antara Oktober 2008 hingga bulan lepas (Januari 2009).

Terdahulu, dalam pertemuan kira-kira 45 minit antara MTUC dengan kerajaan Pulau Pinang, kedua-dua pihak bersetuju untuk mewujudkan satu struktur formal bagi menjalin kerjasama, membincangkan pelbagai perkara termasuk isu pemberhentian pekerja, latihan pekerja yang diberhentikan serta keperluan bagi MTUC mendirikan sebuah kompleks pekerja di sini untuk menjalankan pelbagai aktiviti pekerja.

Syed Shahir berkata, untuk itu pihaknya akan memohon sebidang tanah daripada kerajaan negeri dalam masa terdekat.

-- BERNAMA

No comments

Powered by Blogger.