Ranking Bola Sepak Malaysia Jatuh Tiga Kedudukan Ke-161


KUALA LUMPUR, 13 Feb (Bernama) -- Ranking Malaysia jatuh tiga tangga kepada kedudukan ke-161, yang kedua paling rendah pernah diduduki skuad kebangsaan, dalam ranking terkini yang dikeluarkan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) semalam.

Menurut laman web FIFA, Malaysia mengumpulkan 104 mata pada Februari, kurang 10 mata daripada senarai bulan lepas, dan hanya sembilan kedudukan lebih baik daripada kedudukan terendah iaitu tempat ke-170 pada April tahun lepas.

Hanya 16 negara yang kedudukan mereka jatuh dalam ranking FIFA yang melibatkan 201 negara.

Sejak dua tahun lepas, pada 2007 dan 2008, kedudukan terbaik Malaysia adalah ranking ke-151 pada Oktober 2008 selepas muncul naib juara pada kejohanan Pestabola Merdeka.

Kedudukan terbaik Malaysia dalam ranking FIFA adalah kedudukan ke-75, tetapi itu adalah pada 1993.

Di kalangan negara Asia Tenggara, Malaysia kekal di tempat keenam di belakang Thailand (117), Singapura (131), Vietnam (135), Indonesia (137) dan Myanmar (158).

Filipina pada kedudukan ke-164, Laos (171), Kemboja (179) dan Brunei (183).

Dalam ranking Asia, Malaysia jatuh satu kedudukan dalam ranking Februari selepas berada pada kedudukan ke-29 bulan lepas.

-- BERNAMA

No comments

Powered by Blogger.