Dua Adun PKR Nafi Letak Jawatan

IPOH, 1 Feb (Bernama) -- Dua Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Perak daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) menafikan kenyataan Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri Perak bahawa mereka telah meletak jawatan berkuatkuasa serta-merta hari ini.

Adun Behrang Jamaluddin Mat Radzi dan Adun Changkat Jering Mohd Osman Jailu berkata surat peletakan jawatan itu yang dimaksudkan V.Sivakumar itu telah ditandatangani pada 8 Mac tahun lepas.

"Surat tanpa tarikh itu ditandatangani oleh tujuh Adun PKR kerana kerajaan negeri bimbang kami akan menyertai Barisan Nasional (BN).

"Nampaknya surat ini telah digunapakai untuk mengumumkan kononnya kami meletak jawatan.

"Ini satu pembohongan dan saya akan berbincang dengan peguam untuk tindakan selanjutnya," Jamaluddin berkata demikian ketika dihubungi Bernama beberapa jam selepas Speaker Dewan Undangan Negeri Perak Sivakumar mengumumkan mereka meletakkan jawatan.

"Saya dan Mohd Osman sehingga kini masih Adun PKR dan belum pernah mengisytiharkan untuk keluar daripada parti, calon bebas pun tidak, ataupun mengumumkan menyertai Umno," kata Jamaluddin.

Mengenai dakwaan Menteri Besar Perak Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin bahawa dua Adun tersebut hilang sejak Isnin lepas, Jamaluddin berkata beliau sebenarnya mengambil cuti sakit (MC) sejak hari Rabu.

"Surat MC ada di pejabat saya, jadi saya bukan hilang," katanya.






Bagaimanapun, ketika ditanya di mana beliau berada semasa dikatakan "hilang", Jamaluddin enggan mengulasnya.

Sivakumar dalam kenyataannya kepada media berkata Jamaluddin dan Mohd Osman menyerahkan surat peletakan jawatan mereka di rumahnya pada 5.45 petang tadi.

Berikutan peletakan jawatan itu, Sivakumar berkata beliau akan memaklumkan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk mengadakan pilihan raya kecil dalam tempoh 60 hari.

-- BERNAMA

No comments

Powered by Blogger.