Dua pilihan raya kecil: Tekanan baru untuk BN
Demikian kata Naib Presiden PAS, Datuk Husam Musa ketika mengulas perletakan jawatan kedua-dua mereka. Pandangan itu disiarkan dalam blognya hari ini.
Speaker Dewan Undangan Negeri Perak, V Sivakumar hari ini mengumumkan, beliau telah menerima surat peletakan jawatan dari Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Behrang, Jamaluddin Mat Radzi dan Adun Changkat Jering, Osman Jailu.
Beliau menerima surat peletakan jawatan mereka melalui faks pada kira-kira jam 5.45 petang di kediamannya, kata beliau.
Jamaluddin dan Osman juga merupakan ahli exco kerajaan negeri Perak.
"Mereka telah meletak jawatan sebagai Adun, berkuatkuasa serta-merta," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Dengan itu, Sivakumar mengisytiharkan kerusi Dun Behrang dan Changkat Jering telah kosong dan dua pilihan raya kecil akan diadakan tidak lama lagi.
Bagaimanapun, menurut laman web Malaysianinsider, Jamaludin menafikan dia mahu meletakkan jawatan dengan berkata surat itu adalah surat tidak bertarikh yang beliau berikan kepada PKR selepas pilihan raya Mac 2008 lalu.
Bagi Husam, pengosongan kerusi oleh dua Adun PKR di Perak tidak perlu menimbulkan panik bagi penyokong PR.
Menurut Husam, pertarungan akan berlaku dalam tempoh enam puluh hari. Lebih kurang sama tempoh dengan Perhimpunan Agung Umno pada 24 hingga 28 Mac depan.
Mungkin tarikh pilihanraya datang lebih awal ketika Umno sedang sibuk dengan urusan rumahtangganya, kata beliau.
Katanya, jika PR memenangi kedua-dua kerusi ini, tentunya kedudukan Kerajaan Perak tidak lagi dapat dipertikaikan oleh Umno/BN. Cubaan menggugat dan menggigit Kerajaan PR pilihan rakyat tidak lagi timbul.
"Segala onar diskriminasi jahat yang berlangsung kini, termasuk pengumuman oleh Zahid Hamidi tentang pegawai Persekutuan tidak boleh 'berhubung' dengan Kerajaan Negeri akan dengan sendirinya terpukul," tegas beliau.
Isu dan propaganda yang dihadapkan ke atas Kerajaan Perak juga berpeluang dijelaskan sewaktu pilihanraya kecil nanti berlangsung.
Bagi Husam, jika PR menang satu dan tewas satu, kelebihan masih lagi berpihak kepada PR.
"Terpulang kepada penyokong PR untuk bekerja keras mengekalkan kedua kerusi ini. Saya yakin, dengan situasi semasa, Insya Allah, segala agenda kotor BN boleh dipatahkan.
"Anda mungkin bertanya apa perbezaan antara langkah yang diambil oleh ADUN Bota dengan pengurungan dua Adun PKR oleh pihak atasan yang terdesak? Jawabnya ialah kerelaan," katanya.
Selepas Adun Bota mengumumkan menyertai PKR, beliau bebas bergerak ke sana ke mari tanpa perlu dikurung. Ini kerana keputusan itu dibuat atas kerelaan sendiri tanpa paksaan, katanya.
"Dua Adun PKR pula hilang, tak dapaat dihubungi, mungkin diugut, mungkin dipaksa dan di blackmailkan. Unsur kerelaan tidak nampak wujud. Ia dengan itu tidak terhormat. Penuh putar belit cara biasa BN," tulisnya.
Di Behrang, kata Husam, calon BN dari MIC, Datuk M Ramasamy, dulunya kalah dengan 1,027 undi dan calon BN kalah 1,102 undi di Cangkat Jering.
"Adakah BN akan mengisi calon mereka dengan dua bekas Adun yang mereka sendiri pernah katakan terlibat dengan rasuah? Jika ya, bagaimana dengan pertuduhan yang dihadapi oleh mereka? Adakah Kerajaan BN akan gugurkan?" tulisnya lagi.
Moralnya, bagi beliau, PR sudah berada di hadapan. BN lebih defensif. Najib lebih terpukul jika benar ini adalah pelan beliau dan BN tewas. Sekali lagi, adakah unsur dalaman UMNO sendiri sedang cuba mengepung Najib tanpa disedari?
Menurut Husam, pilihan raya ini mungkin sengit.
Namun, tegasnya, ketabahan dan semangat jitu Pakatan Rakyat mampu memenangkan Pakatan, Insya Allah!.
siasah
No comments
Post a Comment