IBRAHIM ALI BAKAL TUBUH PARTI BARU ? - malaysiakini

Di saat Pakatan Rakyat berhadapan dengan tekanan demi tekanan yang maha hebat dari Umno khususnya, kesemua rakyat bersatu dan memekakkan telinga terhadap apa jua yang cuba disampaikan oleh `lidah-lidah Syaitan' melalui media-media munafik yang ada. MP-MP dari Pakatan Rakyat turut bersatu dan melupakan segala perselisihan pendapat demi menentukan Umno/BN terkubur secepat mungkin. Suasana politik sekarang benar-benar memberi kelebihan kepada PR dan benar-benar membuatkan Umno kecut perut sehingga melarikan diri dan menyorok di belakang tembok-tembok Istana.

Di dalam keadaan begitu, terdapat seorang manusia yang diangkat oleh rakyat atas dasar simpati dan kesihan agar manusia ini dapat menyuarakan kehendak rakyat sejajar dengan perjuangan PR. Insan dhaif yang telah diberikan ikhsan oleh PAS itu tidak lain tidak bukan adalah Ibrahim Ali dari Parlimen Pasir Mas, Kelantan. Beliau diberi kepercayaan oleh PAS untuk duduk di kerusi Parlimen Pasir Mas meskipun ketika pemilihannya ramai rakyat di Pasir Mas ragu-ragu akan prinsip perjuangannya. Selaku wakil Bebas, PAS berharap Ibrahim Ali dapat sepenuhnya menyuarakan apa jua pandangan demi kebaikan rakyat. Malang sekali, Ibrahim Ali tetap Ibrahim Ali dan beliau tidak mampu untuk mengubah dirinya dari dikenali sebagai `Raja Katak' untuk menjadi seorang manusia yang mulia. Nasi sudah menjadi bubur, rakyat Pasir Mas menjadi mangsa percaturan politik yang merugikan.

Setelah sekian lama PAS berdiam diri terhadap sebarang tindak tanduk Ibrahim Ali yang mula menikam PR khususnya PAS sendiri, maka tahap kesabaran pimpinan PAS sudah ke kemuncaknya. Kini, PAS Kelantan membuat satu keputusan agar Ibrahim Ali meletakkan jawatan beliau sebagai MP Pasir Mas. Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Hj Nik Abdul Aziz yang selama ini terlalu berat untuk memberi komen ke atas Ibrahim Ali yang beliau sendiri restui sebagai calon mewakili PAS di Pasir Mas, akhirnya Tuan Guru Nik Abdul Aziz terpaksa menerima hakikat bahawa Ibrahim Ali sebenarnya adalah musuh di dalam selimut. Setiap darah yang mengalir di dalam batang tubuh Ibrahim Ali sebenarnya masih berdarah UMNO iaitu musuh politik terbesar bagi PAS dewasa ini. Maka, tidak hairanlah Ibrahim Ali berlagak dan berlakon di pentas Parlimen semata-mata untuk menunjukkan beliau sebagai jaguh atau hero sedangkan semua isu yang beliau bangkitkan tidak lain tidak bukan adalah untuk memberikan imej yang buruk kepada PR.

Benar, ada ketikanya Ibrahim Ali mengkritik Umno/BN di Parlimen di dalam sesuatu perkara, tetapi semua kritikan yang beliau berikan itu tidak membantu langsung kerana isu yang beliau nyatakan terlebih awal disuarakan oleh kebanyakan pimpinan PR sendiri. Beliau gagal menyahut cabaran untuk bersama-sama rakyat bagi menyokong pengharaman Akta ISA tetapi beliau lebih senang dengan lagaknya menyindir, memperlekehkan pimpinan PR terutamanya DS Anwar. Apabila Ibrahim Ali gagal untuk memprovokasi DS Anwar yang licik di dalam mengenal budi pekerti beliau itu, Ibrahim Ali kini menumpukan kepada tuan yang memberikannya kerusi Parlimen Pasir Mas iaitu PAS. Bukankah ini kerja-kerja Umno dan tugas ini amat disenangi oleh Ibrahim Ali lakukan. Mungkin ada udang di sabalik batu memandangkan beliau diHARAMkan oleh Umno seumur hidup. Jika sudah Umno haramkan, dan kini PAS turut menganggap beliau adalah wakil rakyat yang diharamkan (tidak direstui) oleh PAS di Pasir Mas, maka ke mana arah perjuangan Ibrahim Ali ? Seekor katak tidak mungkin boleh hidup bersendirian untuk memanggil hujan.

Perkara yang lebih melucukan kita apabila Ibrahim Ali menyatakan Tuan Guru Hj Nik Abdul Aziz jangan berlagak kerana beliau juga turut berjasa kepada PAS. Benarkah Ibrahim Ali berjasa pada PAS ? Adakah dengan berdirinya Ibrahim Ali suatu ketika di pentas PAS untuk berkempen, ini merupakan jasa yang boleh ungkit-ungkitkan ? Adakah ini bermaksud tanpa Raja Katak ini PAS tidak akan bertahan di Kelantan ? Ibrahim Ali patut meletakkan cermin di mukanya terlebih dahulu sebelum memberi kenyataan sedemikian. Di Kelantan amat sukar mana-mana tokoh-toloh politik yang bertanding di dalam Pilihanraya akan hilang deposit, melainkan apa yang dicipta oleh Ibrahim Ali suatu waktu dahulu ketika beliau tidak mendapat restu PAS. Beliau seorang bekas tokoh politik Umno bahkan seorang bekas Menteri hilang deposit di Kelantan. Imej beliau hancur ketika itu, dan PAS bersimpati dengan anak Kelantan ini dan membersihkan kembali imejnya setelah ditendang oleh Umno dan kini menjadi MP Parlimen Pasir Mas. Siapa yang berjasa sekarang dan siapa yang patut merasa malu sekarang ?

Memang benar, sesiapa yang melepaskan jawatan sebagai Wakil Rakyat tidak dibenarkan bertanding semula jika kerusi tersebut dikosongkan. Tetapi, jika saya menjadi Ibrahim Ali saya akan melindungi maruah saya daripada mempertahankan kerusi yang tidak lagi direstui kepada saya. Apalah ertinya saya menjadi Imam kepada Makmum yang jelas menolak saya ? Tetapi, Ibrahim Ali tidak sanggup berbuat demikian kerana baginya bukan mudah untuk berada di tempat itu kerana beliau telah sekian lama mengimpikan kerusi tersebut dan terpaksa hilang deposit kerananya. Jadi, rugi besar beliau jika mengosongkan kerusi yang di`sedekah'kan oleh PAS itu. Nampaknya maruah YB Eli Adun Bukit Lancan dan YB Arumugam Adun Bukit Selambau jauh lebih bermaruah daripada Raja Katak ini.

Suka saya nasihatkan kepada Ibrahim Ali agar membuat rayuan semula kepada Umno untuk kembali ke lubuk yang beliau impikan itu. Sekiranya Umno masih jijik dengan Ibrahim Ali, beliau boleh mencuba nasib ke parti-parti lain samada parti baru yang ditubuhkan oleh Dato' Nalla dan mungkin beliau boleh menjadi Timbalan atau Naib Presidennya. Paling kurang pun, Ibrahim Ali boleh tubuhkan parti baru yang beliau boleh menjadi Presidennya. Mungkin beberapa tiga Adun Bebas di Perak bersedia menimbang untuk bersama partinya nanti. Terpulanglah kepada Ibrahim Ali untuk menamakan parti barunya itu nanti, cuma lambang atau logo yang paling secucuk dengan partinya itu nanti adalah lambang `KATAK'..

MERDEKA RAKYAT NEGARA PERKASA

W.FAUZDIN NS

23.02.2009

No comments

Powered by Blogger.