Najib dianggap 'gila meroyan' jatuhkan kerajaan Pakatan Rakyat

(Hrkh) - Tindakan Timbalan Presiden Umno, Dato' Seri Najib Razak berusaha keras untuk menjatuhkan kerajaan Pakatan Rakyat Perak dianggap sebagai 'gila meroyan' untuk mengisi kepentingan pemilihan Umno Mac depan.
Iklan




Perkara ini ditegaskan Pensyarah Sains Politik Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Madya Dr Ghazali Mahyudin ketika dihubungi Harakah.

"Pergolakan yang berlaku di Perak sekarang, bukanlah tindak balas dendam Umno ke atas Pakatan Rakyat, tetapi hakikatnya mereka masih tidak dapat menerima realiti kekalahan dalam pilihan raya umum ke-12 Mac lalu menyebabkan mereka masih berharap agar dapat menebus malu," katanya.

Tegasnya lagi, pergolakan politik yang melanda Perak sekarang ini adalah berpunca daripada sikap pihak tertentu yang ingin mengambil kesempatan menonjolkan diri menjelang pemilihan kepimpinan baru Umno Mac depan.

"Ada pihak tertentu yang ingin mengambil kesempatan menangguk di air keruh apatah lagi menjelang pemilihan kepimpinan Umno Mac akan datang dalam keadaan situasi yang kelam kabut sekarang ini.

"Mereka yang berbuat demikian sekarang ini berusaha untuk menjadi hero kononnya bagi menyelamatkan situasi, kemudian menonjolkan diri untuk kepentingan karier politik mereka," ujarnya.

Ditanya mengenai pergolakan politik tanah air yang kian rancak berkembang, Ghazali berpendapat ianya dipengaruhi laporan media massa.

"Keadaan politik kita nampak berubah dengan cepat disebabkan oleh permainan media yang mensensasikan suatu peristiwa," tegasnya. Akibat memegang kuasa terlalu lama, Umno kini terkena kesan yang menyebabkan parti tersebut sukar menerima hakikat zaman kemerosotan mereka.

"Inilah kesan daripada terlalu lama memegang kuasa, mereka tidak dapat terima realiti bahawa zaman kemerosotan mereka telah pun tiba," katanya lagi.

Mengulas mengani isu pergolakan politik di Perak, Ghazali juga menyatakan penyelesaian terbaik terhadap kemelut tersebut adalah mengembalikan semula mandat yang diberikan pada pilihan raya umum ke-12 itu kepada rakyat.

"Jalan yang terbaik bagi menyelesaikan masalah ini, kembalikan kepada rakyat untuk menentukan siapakah yang layak menjadi wakil rakyat dan dengan ini pilihan raya bagi seluruh Dun di perak perlu diadakan," ujarnya lagi. Malah beliau turut menempelak tindakan wakil rakyat yang melompat parti sebagai jalan pintas bagi mengelakkan prosedur yang telah ditetapkan.

"Selain ianya menyalahi undang-undang, ia turut bertentangan dari segi moral kerana mereka yang terlibat seolah-olah mengkhianati serta tidak menghormati mandat yang telah diberikan oleh rakyat. Hal ini disebabkan mereka ini dipilih bukan atas kapasiti individu bahkan ianya berdasarkan parti yang mereka wakili," jelasnya.

Profesor tersebut juga menyifatkan tindakan sesetengah pihak yang menggubal undang-undang bagi membolehkan proses pemecatan Menteri sebagai langkah ke belakang.

"Kita kena mara ke hadapan, bukan dengan melaksanakan tindakan yang bersifat ke belakang dalam urusan pentadbiran dan pengurusan. Justeru, langkah yang paling efektif adalah menyerahkan hak penentuan kepimpinan kerajaan negeri tersebut kepada rakyat," katanya lagi.

Mengulas tindakan Adun Bukit Selambau yang meletakkan jawatan, beliau menyifatkan keputusan yang diambil wakil rakyat KeADILan itu sebagai bertanggungjawab.

"Ia adalah satu tindakan yang bertanggungjawab selepas merasakan beliau tidak dapat memikul tanggungjawab yang diberikan rakyat kepadanya. Tindakan tersebut wajar diambil bagi mengembalikan semula hak rakyat untuk memilih wakil wakyat seterusnya, dan bukan dengan melompat parti," katanya lagi.

No comments

Powered by Blogger.