Siri Satu: BLOGGERS DAN REALITI POLITIK MALAYSIA


Ruhanie Ahmad

Saya sentiasa menganalisis reaksi, tabii, aspirasi dan kekecewaan para pengundi Melayu terhadap BN yang meluahkan isi hati mereka ke blog ini mulai petengahan 2006 hingga sekarang.

Sebab itulah saya tulis di blog ini pada awal 2007 bahawa kepimpinan tertinggi BN wajar berwaspada akan kemungkinan belakunya tsunami politik menerusi PRU12.

Sebab itulah bila saya diwawancara oleh sebuah saluran TV tempatan menjelang PRK Permatang Pauh, saya katakan bahawa kemenangan BN sukar untuk diramalkan – segala-galanya bergantung kepada perilaku, strategi dan kemuafakatan BN dalam PRK berkenaan.

Sebab itulah juga saya tegaskan di ambang PRK Kuala Terengganu bahawa perasaan serta sentimen warga pendidik di kawasan Parlimen itu jangan sekali-kali diketepikan.

Ingatan-ingatan di atas adalah berdasarkan rasa marah dan kecewa rakyat jelata, majoritinya pengundi, terhadap pembesar negara dan pemimpin siasah pemerintah yang disifatkan sebagai dijangkiti sindrom penafian, berdolak-dalik, out-of-control, out-of-date dan wujud di awang-awangan.

Kemarahan dan kekecewaan itu juga berdasarkan pesepsi negatif rakyat terhadap segelintir pesonaliti muda UMNO dan BN yang seolah-olah bermaharajalela, terlalu mementingkan kroni, ego-centric, angkuh dan celupar.

Bagaimanapun, suara ikhlas yang saya curahkan ke blog ini menjelang PRU12 dirangkumkan sebagai suara penghasut dan pemfitnah. Lantaran itulah di ambang PRU12, bloggers politik seperti saya dilabelkan sebagai pembangkang dan perosak negara.

Alhamdulillah, prejudis terhadap peranan bloggers politik berubah 360 darjah sesudah PRU12. Sebab itulah banyak orang besar-besar UMNO dan BN kini membuka blogs dan portal berita masing-masing. Tetapi, kredibiliti blogs mereka sukar untuk dipastikan. Yang pokoknya, blog milik Tun Dr Mahathir Mohamad menerima ratusan ribu pengunjung seminggu, sementara blogs pembesar BN ketinggalan dan tercorot di belakang.

Kesimpulannya, blogs dan bloggers politik memang berperanan dalam memantau sentimen rakyat dan pengundi Malaysia. Feed-backs yang diluahkan oleh rakyat jelata menerusi blogs politik tidak wajar dibakul-sampahkan.

Oleh itu, adakah pembesar negara dan pembesar UMNO serta BN akan terus menganggap blogs dan bloggers politik yang menyuarakan realiti politik tanah air sebagai peramal kehancuran? Atau, tidak perlukah indikator mengenai kehancuran BN dan UMNO pada hari ini ditapis, disaring dan dijadikan pemangkin ke arah perubahan radikal dan strategik kepada BN dan UMNO demi survivalnya sendiri?

No comments

Powered by Blogger.