Umno minta Pakatan tidak tanding jika pertikai SPR -malaysiakini


PULAU PINANG: Naib Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata pembangkang tidak perlu mempertikaikan tarikh dua pilihan raya kecil yang akan diadakan April ini kerana Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkannya mengikut peruntukan undang-undang.

Beliau yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri berkata, keputusan itu tidak salah kerana pilihan raya tersebut diadakan dalam tempoh 60 hari selepas kerusi Parlimen Bukit Gantang dan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Selambau dikosongkan.

"Itu hak SPR untuk tentukan tarikh pilihan raya. Kalau ikut undang-undang SPR ada 60 hari untuk adakan pilihan raya bagi setiap kawasan yang dikosongkan," kata beliau kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Memperkenalkan Calon Majlis Tertinggi (MT) Umno kepada perwakilan Umno Pulau Pinang di sini, hari ini.

Pelbagai pihak mempertikaikan penetapan tarikh pilihan raya kecil bagi kerusi Bukit Gantang dan Bukit Selambau yang diumumkan oleh SPR kelmarin.

Semalam, Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat Salahuddin Ayub berkata, keputusan SPR mengadakan pilihan raya kecil bagi dua kawasan itu secara serentak pada 7 April ini dilihat sebagai meragukan kerana mengambil masa yang lama.

Beliau turut mendakwa cadangan mengenai tarikh berkenaan adalah atas desakan pimpinan Barisan Nasional (BN) khususnya Umno yang akan mengadakan pemilihan parti pada akhir Mac ini.

Muhyiddin berkata, jika tidak berpuas hati dengan keputusan SPR itu, pembangkang boleh mengambil sebarang tindakan termasuk tidak bertanding pada kedua-dua pilihan raya itu.

"Kalau pembangkang pertikai terpulang kepada mereka. Kalau tak nak bertanding pun terpulang kepada mereka. Kalau mereka tidak bertanding BN boleh menang tanpa bertanding," katanya.

Beliau berkata, BN tidak pernah mempertikai sebarang keputusan yang ditetapkan oleh SPR termasuk tarikh pilihan raya.

SPR menetapkan hari penamaan calon pada pilihan raya kecil kerusi Parlimen Bukit Gantang di Perak dan kerusi Dewan Undangan Negeri Kedah kawasan Bukit Selambau pada 29 Mac dan jika ada pertandingan di kedua-dua kerusi itu, pengundian pada 7 April.

Kerusi Bukit Gantang kosong ekoran kematian penyandangnya, Roslan Shaharum, daripada PAS pada 9 April akibat diserang sakit jantung manakala kerusi Bukit Selambau dikosongkan oleh V. Arumugam daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang meletak jawatan.Mengulas mengenai tarikh penamaan calon yang diadakan sehari selepas Perhimpunan Agung Umno, Muhyiddin berkata, pembangkang tidak perlu buruk sangka terhadap Umno kerana perkara yang berlaku itu hanya kebetulan.

No comments

Powered by Blogger.