Idea Husam akan berkembang walaupun Husam kalah..
Asalamualaikum,
Diucapkan tahniah kepada semua perwakilan PAS yang telah bersidang dan telah membuat pemilihan pada Muktamar 55 yang sedang berlangsung. Semuanya berjalan dengan penuh semangat ukhwah.
Walaupun sebelun daripada ini media, terutama yang ditunggangi oleh BN cuba menusukkan agenda dan idea mereka agar pemilihan kali ini berjalan seperti yang mereka mahu. Alhamdulillah, itu tidak berlaku.
Saya mengucapkan tahniah kepada Ustaz Nasharudin Mat Isa yang telah berjaya meraih 480 undi untuk mengekalkan kedudukan sebagai Timbalan Presiden PAS. Media sebelum daripada ini cuba melagakan calon calon yang bertanding dalam pemilihan kali ini, terutamanya Datuk Husam Musa, yang kononnya mewakili kumpulan yang mereka namakan erdogan. Mereka cuba mencipta pertembungan antara golongan profesional dengan golongan ulama dalam PAS.
Membaca tulisan MSO yang seolah berasa lazat dengan kalahnya Husam menyebabkan saya rasa ramai penganalisis merasakan tren yang sedang berlaku dalam PAS ini akan berahkir dengan kalahnya Husam. Husam itu sendiri tidak penting dalam PAS, tetapi pemikiran yang sedang mengalir dalam PAS itulah yang penting.
Yang wujud dalam PAS sekarang ini ialah keinginan adanya golongan yang boleh jadi ingredient kepada berubahnya persepsi pengundi kepada PAS; selama ini ramai pengundi melihat PAS sebagai satu parti yang menggerunkan, konservatif dan ekstrimis. Pimpinan ulama semata mata gagal menanggalkan persepsi ini terhadap PAS, malah dengan pendekatan yang keras, ada pemimpin PAS yang semakin menjauhkan pengundi daripada menerima PAS, bukan mendekatkan mereka.
Pimpinan ulama sendiri yang membawa masuk para profesional dalam PAS, mereka bukan sahaja dipelawa, malah dialu alukan. Saya masih teringat bagaimana cerita almarhum Ustaz Fadzil Nor mengajak seorang pensyarah engineering menyertai PAS dengan tujuan untuk menguat dan memantapkan PAS. Apabila sekarang PAS secara ramai ramai disertai oleh para profesional, parti tersebut bukan sahaja telah keluar daripada kepomponglebai kampung, tetapi telah melakar imej bagus yang diterima dn dialu alukan bukan sahaja oleh orang Melayu dan orang Islam, tetapi juga oleh non Melayu dan non Muslim.
Hadhirnya para profesional dalam PAS tidak pernah menjadi ancaman kepada PAS, tetapi menjadi bahan penguat yang menambahkan kekentalan PAS. Hanya mereka yang bertaraf ulama yang tidak berdaya maju akan merasa tergugat dengan begitu ramai para profesional menganggotai PAS, kerana ini akan menjejaskan peluang mereka untuk memegang jawatan, kerana sekarang sudah ada saingan. Kerana, secara tradisi, para ustaz ini didahulukan, seperti dalam mempelawa untuk makan nasi, ustaz didahulukan, lepas itu barulah yang non ustaz. Maka, dalam konteks memegang jawatan, kaedah ini jugalah sepatutnya digunakan. Tetapi, dalam memegang jawatan, yang dinilai ialahprestasi, atau KPI, tidak kira ustaz atau non ustaz.
Di sinilah amalan tradisi ini runtuh dengan kemasukan para profesional, dan ada juga yang merasa terancam.
Oleh itu, ada keinginan dalam PAS sekarang ini untuk melihat prestasi mengatasi tradisi. Ada juga fraksi yang ingin menghalang perkara ini berlaku dalam PAS. Timbullah pertentangan. Walau bagaimana hendak disembunyikan pun, ahli PAS akan tetap bertanya bagaimana pimpinan PAS begitu leka sehingga Terengganu dirampas oleh BN? Sebaik sahaja selesai PRU 12, ada usaha untuk mewujudkan kerajaan kerjasama antara PAS dengan UMNO di beberapa negeri secara sembunyi sembunyi. Ini tidak disenangi oleh ahli di peringkat akar umbi. Harakah pernah siarkan berita mengenai idea unity governmentditarik semula. Tetapi sekarang dinyalakan semula. Bukankah itu menggamit kesangsian ahli parti?
Kalahnya Husam dalam pertandingan kali ini bukan bermakna hasrat tersebut berkubur bersama Husam. Husam lain akan datang, dan landaan tersebut akan terus mara.
Kerana ia adalah air dari empang pecah.
Sumber : http://hamirdin.blogspot.com/
No comments
Post a Comment