Suara Masjid Februari 2009 : Ekonomi Yahudi Menjerat Umat Islam

suaramasjidfeb2009


Serangan Israel ke Tebing Gaza kini sedang memasuki minggu keempat. Sewaktu artikel ini ditulis, korban di Palestin sudah hampir mencecah 1000 orang dengan Israel terus menerus memperhebatkan serangan termasuk menggunakan bom fosforus putih yang diharamkan di seluruh dunia. Ia tarmasuklah dengan menjadikan penempatan awam di Gaza sebagai sasaran di atas alasan untuk mencari aktivis-aktivis Hamas.

Tentangan masyarakat antarabangsa yang meledak di seluruh dunia adalah merupakan sesuatu yang langsung tidak dipedulikan oleh Israel. Dr Hussein Ashour, pengarah hospital Al Shifa berkata yang sejumlah mayat telah tiba di hospital itu dengan kesan terbakar dan terputus yang tidak pernah mereka lihat sebelum ini. Ditambah pula dengan bukti kekejaman tentera Yahudi yang dirakamkan dan disebarkan di seluruh dunia. Namun, hari ini mereka yang merampas bumi Palestin secara haram itu seolah-olah menjadi raja yang tidak mampu disentuh oleh sesiapapun di seluruh dunia.

Walaupun senario ini berlaku di Asia Barat yang begitu jauh dari negara kita, namun di atas dasar akidah yang sama menjadi satu kewajipan kepada seluruh umat Islam untuk turut sama bertanggungjawab melindungi saudara seagama di Palestin. Bahkan jika tidak beragama Islam sekalipun, pembelaan untuk rakyat Palestin sepatutnya turut sama diperjuangkan di atas nama keadilan sejagat.


Di Malaysia, umat Islam kesemuanya sepatutnya turut memainkan peranan. Jika tidak dengan kekuatan ketenteraan, maka senjata yang paling ampuh pada hari ini ialah dengan jihad ekonomi. Hari ini bergema tuntutan boikot barangan yang mempunyai kaitan dengan Amerika dan Israel. Sekalipun ada beberapa pihak yang memandang sinis terhadap usaha ini tetapi ia tetap merupakan satu usaha sekalipun dalam bentuk yang kecil di dalam menunjukkan tentangan kepada Israel. Rasulullah SAW telah bersabda yang bermaksud : Janganlah sekali-kali kamu memandang remeh sesuatu perkara kebaikan, walaupun sekadar kamu bertemu dengan saudaramu dengan wajah yang ceria. (Hadis riwayat Muslim)

Kefardhuan jihad ekonomi ini tidak kurang tuntutannya dari jihad dengan senjata. Dalam senario yang berlaku pada hari ini, jihad ekonomi sama sekali tidak dapat dinafikan lagi keperluannya. Sanggupkah kita terus menerus memberikan sumbang kepada Yahudi Zionis untuk melepaskan tembakan kepada saudara seislam di bumi Gaza? Bahkan Rasulullah SAW telah memberikan ancaman yang hebat kepada golongan yang tidak pernah terlintas di hatinya untuk memberikan sumbangan untuk usaha jihad. Sabda baginda yang bermaksud : “Sesiapa yang tidak pernah berperang, dan tidak pernah mempersiapkan seorang pejuang, atau tidak pernah menggantikan pejuang untuk menguruskan keperluan keluarganya, Allah akan menimpakan musibah kepadanya sebelum hari kiamat.” (Muttafaq ‘alaih)

Sayangnya, di tengah-tengah semangat umat Islam di Malaysia khususnya sedang bergerak untuk memboikot produk-produk yang mempunyai kaitan dengan Amerika dan Israel, terdapat suara-suara yang mempertikaikan niat ini dengan alasan bahawa ia akan mengakibatkan ribuan umat Islam akan kehilangan pekerjaan di syarikat-syarikat besar. Alasan seperti ini sekalipun kelihatan logik tetapi ia merupakan satu alasan yang dangkal dan tertolak. Umat Islam hanya diseru untuk memboikot bukannya terus berhenti menjadi pengguna. Tidakkah dengan memboikot produk-produk ini akan membawa umat Islam menjadi pengguna kepada produk-produk lain khsusunya produk keluaran umat Islam sendiri? Bukanlah dengan memboikot, umat Islam berhenti makan dan minum! Jika difikirkan dengan jangka masa pannjang, tindakan boikot akan melahirkan usahawan-usahawan muslim yang mempunyai pasaran yang besar, produk-produk tempatan akan menggantikan produk-produk yang mempunyai kaitan dengan Amerika dan Israel, dan seterusnya akan turut menghasilkan peluang pekerjaan yang tidak sedikit kepada masyarakat.

Perlulah diingatkan, sudah berapa banyak pertolongan yang kita sumbangkan kepada ekonomi Amerika dengan perbelanjaan kita sehari-hari? Kita berbangga menggunakan jenama Amerika bermula dari sekecil-kecil perkara seperti pakaian sehinggalah kepada sebesar-besar perkara termasuklah penggunaan mata wang dollar di dalam urusan pertukaran seharian. Sedangkan telah jelas perintah daripada Allah SWT agar orang-orang Islam menjadi pelindung di antara satu sama lain. Firman Allah SWT yang bermaksud : “Sesungguhnya orang-orang yang beriman dan berhijrah serta berjihad dengan harta benda dan jiwa mereka pada jalan Allah, dan orang-orang (Ansar) yang memberi tempat kediaman dan pertolongan (kepada orang-orang Islam yang berhijrah itu), mereka semuanya menjadi penyokong dan pembela antara satu dengan yang lain.” (al-Anfal: 72)

Hendaklah sentiasa direnungi bahawa jika kita melakukan boikot, kita sekali-kali tidak akan mati, tetapi jika kita tidak melakukan boikot, ada orang lain yang akan mati.

Ahmad Fadhli bin Shaari

*penulis ialah Ketua Jabatan al-Dakwah wal Qiadah, Kolej Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra (KIAS), Nilam Puri, Kota Bharu, Kelantan.

Februari 2009

No comments

Powered by Blogger.