Umno Mencari Rentak Di Manek Urai

Oleh LanH

NAMPAKNYA gelombang Mac 2008 belum reda lagi. Arusnya terus membadai [http://www.flickr.com/photos/30006607@N07/2806980741/] bermula di Permatang Pauh kemudian melintasi Banjaran Titiwangsa ke Kuala Terengganu.

Kemudian berolak pula di Bukit Gantang. Menerjah pula Bukit Selambau sebelum berhenti seketika di Penanti. Kini arusnya melintasi kembali Banjaran Titiwangsa. Biar pun di sebelah Perak banjaran itu sudah agak ‘gondol’ kerana muslihat kudeta yang berlaku Febuari lalu.


Kemaraan gelombang Mac 2008 kini semakin menghampiri Kuala Krai. Tidak sampai 20 hari lagi arus itu pastinya akan tiba di Manek Urai. Mengambil kira ramalan fenomena itu Umno dan Barisan Nasional (BN) terpaksa bekerja keras.

Maka tidak hairanlah jentera kerajaan dikerah untuk membina ‘kubu pertahanan’ BN di Manek Urai. Jabatan Penerangan dengan segala kelengkapan sudah keluar masuk kampung.

Pasukan polis sudah membina markas taktikal. Kelihatan khemah besar sedang didirikan di beberapa lot kosong di Kampung Manek Urai Baru dan di belakang Balai Polis Laloh.

Khemah di Manek Urai besar saiznya seperti pasar raya Mydin. Khabarnya khemah tersebut akan dilengkapi dengan alat penghawa dingin. Sama fenomena yang disaksikan di Kuala Terengganu sebelum ini.

Begitu juga dengan kakitangan Kesedar sudah lama turun naik rumah penduduk.

Itu belum lagi diambil kira dengan peranan Jabatan Pelajaran Negeri atau Pejabat Pelajaran Daerah.

Di Manek Urai bangunan kerajaan dijadikan bilik gerakan pilihan raya Umno.

Persoalannya mengapa Umno terpaksa bergantung harap kepada jentera kerajaan ketika berdepan dengan sesiapa sahaja dalam pilihan raya. Tidak lain dan tidak bukan lagi kerana takut gelombang Mac membadai pula ke Manek Urai.

Rekod pilihan raya pasca 2008 memperlihatkan nasib tidak menyebelahi Umno dan BN. Berdasarkan kepada enam pilihan raya kecil setakat ini, hanya satu yang berpihak kepada BN. Itu pun di Sarawak.

Bermula di Permatang Pauh pada 26 Ogos 2008, Dato’ Seri Anwar Ibrahim mencatat majoriti 15,671 undi. Dato’ Arif Shah Omar Shah dari BN ditinggalkan dengan jarak undi yang begitu jauh di belakang.

Di Kuala Terengganu pada 16 Jan lalu, Mohd Abdul Wahid Endut mencatat rekod apabila merampas kerusi tersebut daripada tangan BN. Majoriti diraihnya sebanyak 2,631 berbanding kemenangan BN sebelum itu sekadar 628 undi.

Dato’ Wan Farid Wan Salleh yang diperlihatkan menang sebelum bertanding tenggelam dalam badai Pakatan Rakyat.

Begitu juga di Bukit Gantang, Dato’ Seri Nizar Jamaluddin yang ‘dimalukan’ Dato’ Seri Najib Razak melalui kudeta dijulang rakyat di situ. Kini suaranya kedengaran nyaring di Dewan Rakyat.

Majoriti diraih Nizar sebanyak 2,789 undi, meninggalkan Ismail Safian dari BN jauh di belakang. Begitu juga di Bukit Selambau biar pun 14 calon ditaja melawan S Manikumar dari KeADIlan. Majoriti diraihnya bertambah berbanding pilihan raya sebelum itu.

S Manikumar mendapat 12,632 undi, manakala calon BN, Dato’ S Ganesan memperolehi 10,229 undi. Begitu juga di Penanti memperlihatkan jumlah majoriti dicapai calon Pakatan meningkat.

Dr Mansor Othman mendapat 6,052 undi berbanding Aminah Abdullah – 392 undi dan Khan Ari – 484 undi.

BN hanya diselamatkan rakyat Sarawak apabila berjaya mengekalkan kerusi Batang Air.

Adakah gelombang yang sedang menerjah deras tersebut mampu disekat BN dengan bantuan segala alat pertahanan. Apa yang pasti badai sedang mara ke Manek Urai.

Bagi menyekat gelombang tersebut dari awal lagi kerajaan BN menghantar ribuan anggota keselamatan. Kali ini bukan sekadar bertugas menjaga keamanan sebaliknya dipikul tugas baru. Polis turun naik rumah penduduk membuat bancian. Tidakkah pelik namanya.

Penduduk di sembilan peti undi di Manek Urai mendedahkan taktik tersebut. Walaupun bukan berpakaian seragam polis atau membawa senjata, penduduk mudah cam kelibat mereka.

Anggota polis ditugas menjalankan bancian. Soalan akhir yang popular ditanya kepada penduduk, ‘mak cik atau pakcik hendak undi parti mana?’.

Adakah polis yang sudah bosan membendung jenayah sehingga dilonggok pula tugas baru. Ada orang kata BN tidak lagi mengharapkan Kemas untuk melakukan bancian sehingga terpaksa menggunakan pula anggota pasukan keselamatan.

“Kalau Umno terus ditolak rakyat, mungkin pada pilihan raya akan datang BN akan menggunakan anggota tentera pula mengambil tugas polis membanci rumah penduduk,” kata seorang pakcik di Manek Urai Lama.

Seorang penduduk di Chuchuh Puteri A pula mendedahkan beliau didatangi seorang pegawai polis berpangkat ASP. Katanya, anggota polis itu cuba memerangkapnya dengan soalan PAS akan merosakkan agenda perjuangan orang Melayu kerana berbaik dengan DAP. DAP dilabelnya ekstrem keterlaluan.

Pada awalnya penduduk terbabit agak tergoda dengan ‘perang psikologi’ yang digunakan pegawai polis itu. Sedangkan sejak DAP berkawan dengan PAS, sudah ada pemimpin keturunan Cina dan India mampu menghafal ayat-ayat al Quran.

Wakil rakyat Caning yang juga Setiausaha Kelab Penyokong Kerajaan Perak membaca ayat al-Quran semasa membahaskan Bajet 2009 Negeri Perak.

Wong Kar Who menyebut ayat ke-12 Surah Al-Hujurat bermaksud bahawa kita semua adalah adik beradik. Beliau menyudahkan ucapan dengan kalimah ‘Takmuru nabil maaruf watan hau anil mungkar’ dari surah Ali Imran ayat 110.

Begitu juga Setiausaha DAP Perak, Nga Kor Ming membaca ayat suci al-Quran semasa kempen pilihan raya kecil Bukit Gantang.

Sedangkan MCA sudah lama berkawan dengan Umno, namun tidak pernah kedengaran ada pemimpin MCA mampu menghafal ayat-ayat al Quran.

Bagi membantu penduduk di Chuchuh Puteri A tadi, eloklah difahami skrip perbandingan tersebut. Ini bermakna pemimpin bukan Melayu sudah tahu keindahan Islam, biar pun ASP tadi membawa fatwa lain bagi pihak Umno.

Maka bagi membendung gelombang Mac 2008, Umno dan BN kelihatan sudah habis ikhtiar. Ada pemimpin Umno mencuba pula taktik baru. Lalu dicubanya menoreh bersama penduduk di Bukit Budu. Pemimpin Umno juga tidur di rumah penduduk.

Mereka turun naik rumah menemui penduduk yang terlantar sakit. Tidak kurang juga disiar media dakwaan seorang penduduk yang kononnya tidak menikmati pembangunan sejak berada di bawah kerajaan PAS.

Dilaporkan seorang pakcik di Lata Rek mendakwa kira-kira 2,000 penduduk di kampung itu memerlukan jambatan konkrit menggantikan jambatan gantung. Sedangkan di kawasan tempat tinggalnya ada dua buah rumah sahaja.

Rentak kempen Umno benar-benar terencat apabila penduduk di Kampung Chatel menolak bantuan segera berjumlah RM20,000 bagi membaiki sebuah madrasah.

Umno biar pun ghairah dalam media massa, namun di lokasi nampak masih gementar. Ini dapat dilihat apabila pos bulan purnama lebih ghairah dengan kehadiran ramai anak muda.

Di hampir kesemua sembilan peti undi, Umno hanya nampak lebih berseri di Kampung Manek Urai Lama dan peti undi Manjor. Peti undi itu meliputi Kampung Karangan, Pemberian dan Manjor.

Manakala tujuh lagi peti undi, Umno masih lagi mencari rentak. Taktik menoreh dan tidur di rumah penduduk juga sudah tidak kedengaran lagi. Kehadiran mereka bukan menyenangkan penduduk sebaliknya menyusahkan dengan lakonan yang tidak menjadi.

Pemimpin Umno yang datang dari Kota Baru atau Kuala Lumpur hanya melancong ke rumah kalangan penyokong setia Umno di Manek Urai.

Sekiranya trend itu berterusan bermakna situasi Mac 2008 akan terus kekal. Paling tidak disukai Umno apabila majoriti pihak lawan makin meningkat.

No comments

Powered by Blogger.