anwar...kenapa membisu?

Sahabat karib saya dari Jakarta menelefon menyesali sikap membisu saya berdepan dengan pendedahan kes penderaan terhadap pekerja Indonesia. Teguran ikhlas teman tersebut diterima baik.





Namun perlu dijelaskan bahawa secara konsisten saya lantang sekali membicara nasib Tenaga Kerja termasuk dari Indonesia (TKI) atau ungkapan pemerintah Malaysia Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) dan Pekerja Asing (PA).





Lantaran gesaan tegas saya, pimpinan UMNO menuduh saya “anti-nasional”.
Seandainya kita pertahankan prinsip keadilan, keluhuran Perlembagaan (UUD) dan negara hukum, maka setiap kes penderaan dan penindasan ditangani sebaiknya menurut jalur hukum.





Persepsi bahawa kita angkuh (arogan) malah mirip mendukung tindakan zalim dan ganas terhadap pekerja agak meluas di Indonesia. Mungkin saja anggapan sademikian keterlaluan.


Namun tidak dapat disangkal dari tindakan perundangan merotan PATI, kenyataan sombong para menteri, tuduhan pencerobohan di perairan Indonesia, layanan buruk malah kes-kes penderaan ke atas warga asing termasuk dari Indonesia, India, Myanmar dan Bangladesh akan memperkukuh gambaran negatif terhadap negara.


Pertama, hukuman rotan (cambok) ke atas pekerja daif tetap dianggap zalim dan tidak berperikemanusiaan. Bayangkan sekiranya pekerja Muslim Algeria di Perancis, atau pelajar Malaysia tanpa visa di England dihukum rotan, hiruk-pikuklah dunia Islam dan kempen boikot barangan Inggeris di Malaysia.


Kedua, kenyataan angkuh yang menyentuh sensitiviti jiran harus diwaspadai. Saya masih ingat peristiwa lagu ‘Rasa Sayang Eh’ dulu! Atau seolah-olah rasuah (korupsi) itu lumrah di Indonesia dan tidak di Malaysia. Pastinya lebih canggih di sini!


Ketiga, isu sempadan dan ketegangan lainnya harus dirunding segera di antara pimpinan kedua negara terlibat.


Dan akhirnya isu penderaan pekerja, kaedah kemasukan dan sindiket agen pekerja, penipuan dan cara mengaibkan mengusir pekerja pulang wajar ditangani dengan lebih telus dan adil. Kita harus akui kecuaian, rasuah malah kelecehan sebahagian agensi penguatkuasaan.


Rakyat Malaysia sendiri mencurigai kecekapan sebahagian pasukan polis manakala gerombolan penjenayah kongsi gelap, ah long, kumpulan samseng atasan terlibat!


Semoga Allah SWT memberikan kita kekuatan memperjuangkan keadilan.

ANWAR IBRAHIM

No comments

Powered by Blogger.