ADUAN PILIHAN-APAKAH AGENDA TERSEMBUNYI DI SEBALIK LAMBANG SALIB DI SETIAP MUKA DEPAN HALAL JOURNAL?
klik untuk besarkan gambar1
Lambang salib dalam halal jurnal
Halal jurnal adalah salah satu bahan rujukan kepada umat Islam yang ingin menambah dan mengumpul ilmu. Tidak dapat dinafikan banyak perkara yang boleh dipelajari dalam halal jurnal ini. Keadaan penerbitan masa kini yang kurang menghasilkan karya-karya berbentuk panduan halal menyebabkan halal jurnal menjadi pilihan utama pembaca yang peka dengan situasi semasa yang menuntut pemahaman tinggi terhadap perkara-perkara berkaitan hukum.
Namun, yang menjadi persoalannya kini adalah kewujudan simbol yang menyerupai lambang salib yang berada di muka hadapan jurnal terbabit menimbulkan persoalan dan kekeliruan di kalangan pembaca dan orang yang melihatnya. Walhal perkara sedemikian tidak wajar berlaku malah ianya menyentuh sensitiviti umat Islam amnya dan para penghasil karya terbabit khasnya. Ironinya, adakah mereka ini langsung tidak menyedari kewujudan lambang tersebut atau adakah perkara ini disengajakan oleh mereka.
Walau apapun alasan yang diberikan, ianya melambangkan mereka yang terlibat dalam penghasilan jurnal ini langsung tidak peka akan pemasalahan seperti ini. Sekiranya penerbit buku terbabit hanya menganggap ia hanya simbol dalam mencorakkan majalah tersebut atau sekadar hasil karya seni mahupun hanya sekadar kebetulan sahaja, namun perkara tersebut langsung tidak boleh diterima akal yang waras dan ia tidak boleh dijadikan alasan kerana simbol terbabit berbentuk lambang sebuah ideologi lain yang bertentangan dengan ajaran Islam.
Perkara ini haruslah diambil serius kerana ia menyentuh soal sensitiviti kita sebagai umat Islam.Malah, apa yang lebih menyedihkan adalah kedudukan lambang salib tersebut betul-betul terletak di bahagian muka hadapan jurnal iaitu di bahagian bawah majalah tersebut. Walaupun perkara ini dipandang enteng kerana kedudukan lambang tersebut yang kurang diberi perhatian, namun kewujudannya amat menyakitkan hati mereka yang melihatnya kerana ia seolah-olah mempermain-mainkan agama Islam itu sendiri. Jika difikirkan semula adalah tidak wajar perkara ini berlaku kerana jurnal tersebut adalah sebuah jurnal yang membincangkan perkara-perkara yang berkaitan agama Islam terutamanya dalam aspek hukum halal sesuatu barangan dan perkhidmatan.
Secara logiknya kebanyakan pembaca adalah daripada kalangan mereka yang ingin mengetahui tentang hukum sesuatu perkara itu menurut pandangan Islam termasuklah pembaca yang bukan beragama Islam.Masalah sebegini tidak wajar berlaku bukan sahaja pada majalah yang berunsur Islam malahan majalah yang menjadi rujukan atau ilmu kepada umat Islam. Ini disebabkan corak hadapan sesebuah majalah mampu mempengaruhi pembeli serta menafsirkan kandungan majalah tersebut. Seharusnya setiap penerbit tidak mencorakkan tanda salib mahupun lambang yang berkaitan dengan ideologi sesebuah agama lain yang ternyata bertentangan dengan agama Islam di dalam penghasilan karya mereka kerana ini dapat menyentuh sensitiviti umat Islam.
Saya amat berharap perkara ini diambil perhatian oleh pihak yang berkenaan serta masyarakat sendiri haruslah lebih peka dan sensitif dalam perkara seperti ini.
-Nur Islam-
No comments
Post a Comment