Filem, drama seram dikhuatiri pesong akidah

Oleh Muhd Hilmi Ismail

PROMOSI pameran hantu secara besar-besaran di sebuah muzium tempatan pernah mendapat liputan luas media tahun lalu apabila ditegur secara lantang oleh tokoh agama, antaranya bekas Mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainul Abidin dan Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria.

Khuatir menjejaskan akidah, teguran itu tepat pada masanya supaya masyarakat Islam tidak keliru atau terpengaruh dengan kepercayaan khurafat, tahyul dan syirik. Penganjur akhirnya akur dengan tekanan, lalu menukar sebahagian program asal yang diatur


Namun, unsur khurafat, mistik dan tahyul masih berlanjutan sehingga kini. Doktrin tidak sihat itu masih giat dipertontonkan menerusi slot drama tempatan dan filem tanah air. Pelbagai watak dan jenis makhluk hantu diketengahkan dengan memiliki kuasa tertentu yang boleh memberi mudarat.

Genre sebegini tidak harus dibiarkan berleluasa tanpa pemantauan. Isu pencemaran akidah bukanlah perkara ringan dalam syarak. Ideologi bercampur aduk dengan mistik, boleh menyebabkan seseorang terpengaruh lalu mempercayai ada kuasa selain Allah.

Akidah ialah tunjang Islam yang membebaskan kepercayaan animisme karut kepada mempercayai kekuasaan mutlak milik Allah. Sebelum kedatangan Islam dengan perutusan Nabi Muhammad SAW, masyarakat jahiliah Musyrikin Arab dipenuhi pelbagai kepercayaan bertentangan akidah tauhid diasaskan Nabi Ibrahim.

Dikisahkan dalam Sirah Nabawiyah Sahihah: "Hajar dan anaknya ialah dua penduduk awal bumi Makkah, kemudian datang Jurhum lalu mendiami bersebelahan telaga zamzam, selepas itu, Nabi Ibrahim membina Kaabah yang menjadi rumah ibadat pertama untuk beribadat kepada Allah.

"Nabi Ibrahim pula ialah rasul yang menyeru kepada akidah tauhid, maka Jurhum menuruti akidah yang dibawa Nabi Ibrahim dan menyempurnakan akidah generasi terawal yang menyaksikan pembinaan Kaabah.

"Kemudian, bermula penyelewengan akidah manusia selepas itu hingga berlaku penyembahan patung dan berhala. Menurut kitab periwayatan dan sejarah, Amru Luhai ialah orang pertama yang membawa patung dari Syam ke Makkah lalu menyeru menyembahnya.

Akibat longgar pegangan akidah dan lemah penjelasan terhadap ajaran akidah Nabi Ibrahim yang kurang memberi pengaruh kepada manusia pada zaman Amru, lalu menzahirkan persediaan manusia menerima syirik dan apa yang berkaitannya daripada kepercayaan batil."

Kisah itu penting kerana penyeru kepercayaan batil akan terpahat namanya dalam catatan sejarah sebagai watak jahat serta diingati kerana usaha negatifnya itu. Imam Ibn Kathir menyebut perihal sejarah buruk Amru bin Luhai.

Katanya: "Golongan terawal yang menyembah berhala di bumi Hijaz diketuai pemimpin mereka, Amru Luhai yang dilaknat Allah kerana dia orang pertama yang menyeru perbuatan itu, seorang yang berharta banyak."

Sedang Imam Dzahabi pula mengulas mengenai Amru: "dan dia ialah orang yang menukar agama Nabi Ismail."

Kita harus sedaya upaya mengelak sejarah berulang sehingga tercatat nama orang sebagai pencemar akidah. Sejarah tidak dapat diubah apabila dibaca generasi akan datang. Kisah tragis seperti Amru tidak mustahil boleh menimpa semula jika tiada peringatan diberikan kepada golongan tertentu. Alangkah ruginya mereka nanti.

Peranan label halal haram wajar diperhalusi semula supaya tidak hanya membabitkan bidang tertentu, bahkan diperluaskan merangkumi muamalah seharian. Klasifikasi perfileman boleh diubah dan ditambah bukan setakat 18 SG atau sebagainya, bahkan boleh jadi seperti label mengancam akidah atau mudarat pada pemikiran Muslim.

Peranan jabatan kerajaan seperti Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Institut Kefahaman Islam Malaysia (Ikim), boleh diperluaskan dalam proses kelulusan kandungan cerita dalam drama atau filem seperti di Lembaga Penapisan Filem, penentuan dasar penyiaran serta lebih penting, tidak terhad dalam skop yang sudah digariskan sebelum ini.

Syarikat produksi dan penerbit drama Muslim harus sedar mengenai sensitiviti akidah. Proses semakan fakta agama dilihat mampu membendung penyebaran doktrin yang bercanggah dengan akidah dalam produk mereka.

Mungkin kita boleh tanya kepada produser seperti David Teo, bagaimana timbul idea beliau untuk menerbitkan filem Syukur 21 pada 2000. Filem bergenre Islam dengan elemen futuristik dihasilkan oleh beliau dan bukan diterbitkan produser Muslim.

Justeru, ini menjadi cabaran kepada produksi Muslim tempatan untuk berani menghasilkan lebih banyak karya Islam berkualiti

No comments

Powered by Blogger.