Kerajaan Perpaduan: Pemimpin Umno sambut baik cadangan Presiden PAS

Idea pembentukan kerajaan perpaduan oleh Presiden Pas Datuk Seri Abdul Hadi Awang bukan satu agenda untuk mewujudkan kerajaan campuran tetapi sebaliknya agenda di luar parti bagi membincangkan soal agama, orang Melayu dan ummah secara keseluruhan, kata Naib Presiden UMNO Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.

Katanya, idealisme yang dibawakan oleh Pas itu adalah demi kesejahteraan ummah serta agama dan tidak mahu Barisan Nasional (BN) sebagai parti pemerintah diperlekehkan kerana melakukan tindakan yang akan merugikan orang Islam.

Pergerakan Pemuda UMNO Terengganu menyifatkan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang sebagai pemimpin berpandangan jauh kerana tidak menutup pintu rundingan ke arah pembentukan kerajaan perpaduan antara UMNO-Pas.

Ketuanya, Saiful Bahri Baharuddin berkata, sikap Abdul Hadi itu menunjukkan beliau mengutamakan kestabilan politik negara serta pengukuhan orang Melayu di negara ini.

Menurutnya, Timbalan Presiden Pas, Nasharudin Mat Isa yang mempunyai pandangan sama dengan Abdul Hadi mempunyai semangat toleransi dalam mewujudkan kestabilan politik dengan menarik anggota parti itu ke arah pengukuhan ummah.

”Pemuda UMNO Terengganu mengalu-alukan sebarang perbincangan di antara pucuk pimpinan kedua-dua parti,” katanya dalam kenyataan yang dikirimkan melalui khidmat pesanan ringkas di sini hari ini.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, cadangan itu tidak perlu dipolitikkan kerana yang lebih penting untuk dibincangkan adalah keperluan bagi merealisasikan cadangan tersebut.

Beliau yang juga Menteri Dalam Negeri bimbang jika semua cadangan baik dipolitikkan, usaha yang lebih membawa kebaikan dan keutuhan perpaduan antara rakyat akan disia-siakan.

“Kadang-kadang saya bimbang apabila kita terlalu sangat berpolitik, kelebihan dan keunikan yang ada pada kita secara tidak sedar akan terhakis dan apabila terhakis susah untuk kita bina semula.

“Apabila terhakis, susah untuk satukan semula kerana perpaduan melibatkan emosi, hubungan antara manusia dan bertambah susah jika bercampur aduk dengan isu kaum dan agama,” katanya pada sidang akhbar.

Sambil dua kali menegaskan agar PAS “never say never”, Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin mengajak PAS menghidupkan semula muzakarah dengan Umno khususnya susulan perkembangan muktamar tahunan parti Islam itu yang berakhir semalam.

Mengambil kira persekitaran semasa dalam PAS yang memperlihatkan ada kumpulan yang menyokong muzakarah dengan Umno-BN, beliau berkata, kini adalah “masa untuk memulakan proses tersebut.”

“… yang saya berharap dan saya yakin dengan memulakan usaha muzakarah tersebut, suasana yang disebutkan oleh (Ahli Jawatankuasa PAS Pusat yang baru) (Dr. Mujahid (Yusof Rawa) tadi akan jadi lebih kondusif,” kata beliau ketika muncul dalam program Astro Awani malam tadi.

Apa kata Pemimpin Pakatan Rakyat:
Semua parti pembangkang diminta duduk semeja bagi membincangkan idea pembentukan kerajaan perpaduan sebelum ia diterima sebagai salah satu usaha untuk menyelesaikan masalah negara.

Timbalan Pengerusi DAP, Dr. Tan Seng Giaw berkata, perbincangan itu penting untuk memperincikan ciri-ciri kerajaan perpaduan yang dicadangkan tersebut.

“Konsep kerajaan perpaduan harus diteliti dari sudut hubungan antara parti politik di negara ini selain manfaat daripadanya,” katanya.

Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng berkata, kepimpinan PAS tidak pernah menjelaskan kepada kepimpinan Pakatan berhubung dakwaan ia mengadakan rundingan Umno tahun lalu.

Beliau menolak dakwaan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang bahawa pemimpin Pakatan menerima baik perkara itu apabila PAS menjelaskannya kepada mereka.

“Kepimpinan Pakatan tidak pernah berbincang mengenainya, ataupun PAS telah memaklumkannya kepada kita.

“Kita tidak tahu apa yang sedang berlaku,” katanya selepas majlis angkat sumpah Presiden Majlis Perbandaran Pulau Pinang, Tan Cheng Chui.

Sehubungan itu, Lim mengingatkan Abdul Hadi supaya sentiasa bercakap benar.

“Sebagai seorang alim, seseorang itu bukan sahaja perlu menjawab kepada DAP, tetapi juga kepada Tuhan,” katanya.

Sementara itu, Ketua Penerangan PKR, Tian Chua enggan mengulas lanjut berhubung pembentukan kerajaan perpaduan yang dicadang Pas.

Apa kata Pemimpin PAS:
Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menolak cadangan kerajaan perpaduan seperti yang disyorkan oleh Presiden parti, Datuk Seri Abdul Hadi Awang sebelum ini.

Beliau berkata, cadangan untuk membentuk kerajaan perpaduan bersama Umno merupakan idea karut yang boleh merugikan PAS.

“Idea itu mengarut, orang lain tak tahu macam mana kami berhadapan dengan Umno di Kelantan,” kata beliau semalam.

No comments

Powered by Blogger.