Lantik Husam dan Mat Sabu dalam Dewan Harian Pas


Apakah riaksi Presiden kita terhadap cadangan daripada salah seorang perwakilan yang mengesyorkan perkara berikut:

Sebagai seorang perwakilan dalam Muktamar yang baru berakhir semalam, saya secara terbuka ingin mencadangkan kepada Presiden Pas Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang supaya melantik dua orang pemimpin parti yang kalah dalam pemilihan jawatan Timbalan Presiden ke jawatan-jawatan dalam Dewan Harian Pas Pusat.

Jumlah undi yang diperolehi oleh Haji Husam Musa dan Haji Mohamad Sabu iaitu sebanyak 542 undi itu melambangkan sokongan lebih daripada 100 Kawasan Pas (satu Kawasan menghantar 5 orang perwakilan).

Dengan itu kita wajar tidak meninggalkan mereka berdua daripada menjawat jawatan dalam Dewan Harian Pas Pusat. Saya merasakan kerugian yang amat sangat sekiranya kita tidak memanfaatkan mereka berdua kerana mereka sebelum ini adalah dua orang Naib Presiden Pas.

Saya percaya contohnya jika Presiden melantik Abang Mat sebagai Ketua Penerangan yang baru, beliau boleh menambah baik kempen dan penerangan parti sehingga ke akar umbi terutamanya di kawasan Parlimen yang menjadi target kita untuk dimenangi pada Pilihanraya Umum yang akan datang. Sesuai dengan kedudukan beliau yang tidak menjadi wakil rakyat, beliau mampu memberikan tumpuan sepenuhnya terhadap kerja penerangan parti.

Manakala Haji Husam pula saya cadangkan supaya dilantik sebagai Pengarah Pilihanraya Pas yang baru. Beliau boleh mengolah dan mengemukakan pelan tindakan baru yang ingin dicapai oleh Pas bagi menjadi parti utama dalam negara pada PRU yang akan datang.

Dengan perlantikan itu, kita tidak membuang Haji Mustafa Ali kerana beliau adalah Pesuruhjaya Pas Terengganu yang turut berada dalam jawatankuasa Pas Pusat. Saya berharap agar Haji Mustafa dapat memberikan tumpuan dan fokus untuk Pas menawan semula Terengganu pada PRU yang akan datang.

Diharap agar kepimpinan tertinggi parti terutamanya Tuan Guru Presiden dapat mengambil kira cadangan saya ini demi menjulang martabat dan kedudukan parti lagi di masa mendatang.


Ikhlas,

Perwakilan Pas Kawasan

No comments

Powered by Blogger.