Muktamar: Amanat Presiden PAS Di Tunggu - Tunggu


Oleh ZULKIFLEE BAKAR



SEMEMANGNYA Muktamar Tahunan Pas Kali ke-55 yang berlangsung di Stadium Malawati, Shah Alam bermula hari ini hingga Ahad, diaprev7.jpgnggap muktamar penuh warna-warni. Pelbagai peristiwa yang berlaku terutamanya berkaitan dengan pemilihan parti menyebabkan ia muktamar yang paling mendapat tumpuan.

Selain bakal menyaksikan pertarungan merebut jawatan Timbalan Presiden dan Naib Presiden, ahli-ahli Pas juga menanti apakah intipati ucapan Presiden, Datuk Seri Abdul Hadi Awang. Bagi mereka, ucapan dasar Presiden kali ini amat penting bagi memantapkan lagi hala tuju perjuangan parti itu dalam arena politik tanah air.


Ini termasuklah soal barisan kepimpinan, kerjasama Pas dalam pakatan pembangkang, isu kerajaan campuran, hubungan parti tersebut dengan UMNO dan beberapa isu negara yang lain. Mereka ingin mendengar secara langsung daripada Abdul Hadi berhubung isu-isu tersebut berbanding mengetahuinya melalui media sebelum ini.

Dalam soal pemilihan, sudah pasti Abdul Hadi akan terus mengamalkan pendirian berkecuali. Beliau menyerahkan bulat-bulat kepada perwakilan untuk menentukan siapakah barisan kepimpinan yang mereka mahukan. Sama ada memberi lebih banyak jawatan kepada ulama atau profesional.

Bagi Abdul Hadi, sebagai Presiden beliau harus bersikap berkecuali biarpun ada cakapcakap yang mengatakan bekas Menteri Besar Terengganu itu menyokong Nasharudin Mat Isa untuk terus kekal sebagai timbalan beliau. Nasharudin akan ditentang oleh Exco Kerajaan Negeri Kelantan, Datuk Husam Musa dan Mohamad Sabu.

Langkah berkecuali itu merupakan tindakan terbaik oleh Abdul Hadi demi mengelakkan kontroversi kerana beliau harus menghormati siapa sahaja yang dipilih oleh perwakilan disebabkan mereka juga membawa suara akar umbi.

Namun begitu, Abdul Hadi dijangka kembali menekankan kepada soal pentingnya usaha "mengulamakan profesional dan memprofesionalkan ulama".

Penegasan Abdul Hadi dalam soal kepimpinan Pas sudah pasti tidak akan lari daripada memastikan gabungan antara ulama dan profesional berterusan. Selama ini biarpun kepimpinan ulama menjadi teras kepimpinan Pas namun peranan profesional tidak dipinggirkan.

Bagaimanapun, Abdul Hadi sudah pasti sama sekali tidak akan memberi isyarat bahawa golongan profesional perlu mengambil alih tampuk kepimpinan parti itu.

Seperti tahun-tahun sebelumnya, Abdul Hadi juga sudah tentu akan menyentuh soal kerjasama Pas dengan pakatan pembangkang yang turut disertai oleh PKR dan DAP. Pendirian Abdul Hadi dalam mengukuhkan kerjasama tersebut tidak pernah luntur sejak pakatan berkenaan berjaya menggugat kekuatan BN pada pilihan raya umum.

Abdul Hadi dijangka memperjelaskan dengan lebih terperinci bagaimana hendak memperkuatkan kedudukan Pas dalam pakatan berkenaan untuk berdepan dengan BN pada Pilihan Raya Umum Ke-13 nanti.

Bagi Abdul Hadi, penekanan dalam isu kerjasama tersebut amat penting berikutan dakwaan ada ahli-ahli Pas semakin tidak selesa dengan tindak tanduk PKR dan DAP yang dikatakan tidak begitu mendengar suara Pas yang menjadikan Islam sebagai teras perjuangannya.

Di peringkat akar umbi, sudah ada suarasuara di kalangan ahli Pas sendiri yang mahu sesuatu dilakukan bagi meletakkan Pas di tempat sewajarnya dalam pakatan itu. Malah dalam ucapan terakhir Ahli Parlimen Kubang Kerian, Salahuddin Ayub sebagai Ketua Pemuda Pas kelmarin, beliau menegaskan, Pas perlu mengukuhkan kedudukannya dalam pakatan pembangkang dan "bukan sekadar menjadi pelengkap sahaja".

Ertinya dalam soal pakatan pembangkang, Pas yang ditubuhkan pada 1951 perlu menjadi tulang belakang kerjasama tersebut bukannya dibelakangkan.

Abdul Hadi juga dijangka mengambil kesempatan bagi memperjelaskan mengenai isu cadangannya berhubung kerajaan campuran atau kerajaan perpaduan yang sebelum ini dikatakan menimbulkan keresahan di kalangan ahli-ahli Pas.

Keresahan itu wujud kerana ada ahli-ahli Pas yang terpedaya dengan dakyah kononnya idea kerajaan campuran tersebut melibatkan gabungan antara UMNO dan Pas.

Sudah tentulah dalam keadaan Pas kini dilihat kuat manakala UMNO pula didakwa semakin lemah, cadangan itu menimbulkan perasaan tidak puas hati biarpun hakikatnya seperti mana kata Nasharuddin: "Pucuk pimpinan Pas tidak pernah mempunyai niat atau perancangan untuk membawa Pas menyertai UMNO dan Barisan Nasional (BN)."

Muktamar kali ini juga dianggap pemerhati politik sebagai medan bagi Pas menyusun strategi untuk memperkukuhkan parti berikutan kedudukannya kini yang dikatakan berada pada tahap terbaik sepanjang 58 tahun perjuangan dalam arena politik negara. Pas tidak mahu leka dengan kejayaan yang dicapai kerana bimbang apa yang berlaku pada tahun 2004 berulang.

Justeru muktamar yang bakal berlangsung akan dijadikan platform bagi barisan kepimpinan mendengar segala pandangan daripada ahli-ahli parti itu terutamanya dalam usaha mencapai cita-cita mereka menggantikan UMNO sebagai parti induk utama orang Melayu.

Apa pun yang akan diperkatakan oleh perwakilan, ia akan bergantung kepada ucapan dasar Abdul Hadi yang disifatkan oleh sesetengah pihak dalam parti itu paling penting berbanding muktamar sebelum ini.

Abdul Hadi diharapkan oleh ahli-ahli Pas memberikan isyarat yang jelas dalam usaha mereka menyusun strategi bagi mencapai kejayaan pada pilihan raya ini.

Selain ucapan dasar Presiden parti, tumpuan perwakilan juga akan terarah kepada perebutan jawatan Timbalan Presiden dan Naib Presiden. Pemilihan dalam Pas kali ini dikatakan paling sengit malah beberapa budaya yang sebelum ini asing bagi parti tersebut dan lebih dikaitkan dengan UMNO, mula menular ke dalamnya.

Ada calon dikatakan menggunakan apa juga cara bagi menyampaikan mesej kepada perwakilan untuk menyokong mereka. Malah beberapa blog pula secara terang-terangan berkempen bagi sesetengah calon. Lebih buruk lagi dalam keghairahan berkempen itu, budaya 'pembunuhan karektor' turut berlaku. Persoalannya, kenapakah budaya itu boleh menular ke dalam Pas?

Bagaimanapun, calon-calon yang bertanding sebenarnya hanya mampu berkempen, keputusan siapa yang akan terpilih akan ditentukan perwakilan hari ini. Mereka bakal menjadi penentu kepada corak kepimpinan Pas seterusnya terutama dalam menghadapi PRU13.

Tidak kisahlah apa pun keputusannya, yang pasti segala yang dicapai dalam muktamar ini akan turut mendapat perhatian parti-parti politik lain terutamanya BN dan UMNO.

Melalui pengukuhan perjuangan yang dilakukan oleh Pas melalui muktamar tersebut, ia juga akan turut boleh dijadikan panduan kepada parti-parti lain untuk membuat persiapan bagi 'bertempur' pada pilihan raya umum itu nanti.

No comments

Powered by Blogger.