“Pahala adalah untuk Pas sahaja, Umno tak dapat pahala”, Nik Abdul Aziz Nik Mat.


“Pahala adalah untuk Pas sahaja, Umno tak dapat pahala”, Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Demikian ungkapan MB Kelantan sebaik selesai berdoa ketika melancarkan aturcara tidak bertulis dalam muktamar Pas di Shah Alam hari ini. Aturcara tidak bertulis itu ialah pelancaran pungutan derma jihad sempena muktamar.

Ungkapan itu disambut dengan ketawa kecil oleh sebahagian perwakilan dan pemerhati.

Menurut Tuan Guru, kalau kita keluar negara, mata wang negara sendiri tidak laku lagi, semuanya hendaklah dengan mata wang negara berkenaan. Thai dengan Bhat, Indonesia dengan Rupiah, dan begitulah seterusnya. Itu matawang dunia.

Kalau berlainan negara sahaja, mata wang negara lain tidak laku lagi maka bagaimana jika berlainan alam, dunia dan akhirat. Matawang dunia tidak terpakai di akhirat tetapi yang terpakai ialah matawang akhirat. Mata wang akhirat menurut Tuan Guru ialah ‘pahala’.

Ini kelebihan Tuan Guru iaitu kemampuan mengungkap sesuatu yang realistik, ‘RM mata wang dunia. Pahala, mata wang akhirat’.

Bila Tuan Guru kata Umno tidak berpahala, Umno tentu marah. Beliau tentu dicemuh.

“Ingat dia seorang sahajakah nak masuk syurga? Ingat dia seorangkah Muslim? Umno tidak Islamkah sehingga tidak berpahala?”, mungkin ini getus hati orang Umno.

Untuk mereka yang tidak pernah menyertai muktamar Pas; kawasan-kawasan Pas, perwakilan dan pemerhati, berebut-rebut untuk menyumbang sepanjang muktamar. Ada yang menyumbang secara tunai, cek semasa, cek tertangguh bahkan ada yang membuat aku janji akan menunaikannya pada masa lain.

Hasilnya, ratusan ribu berjaya dikumpul dan tidak ketertalulan kalau dikatakan perbelanjaan penganjuran muktamar Pas tidak perlu mengusik wangnya daripada sumber lain. Cukup dengan kutipan semasa muktamar sahaja.

Adakah kawasan atau ahli Pas itu mendapat apa-apa anugerah hasil daripada sumbangan itu? Jawabnya, tidak. Habis, mengapa mereka berlumba-lumba berbuat demikian? Jawabnya, kerana mata wang akhirat, pahala.

Ini antara keistimewaan Pas.

Saya tidak pernah menghampiri Perhimpunan Agung Umno dan tidak bercadang untuk menghampirinya. Saya hanya mengikutinya melalui maya atau kaca TV. Tapi, saya yakin apa yang dibuat oleh Pas dalam muktamarnya tidak dibuat oleh Umno dalam perhimpunannya.

Mengapa Umno tak buat?

Mungkin mereka sudah banyak wang daripada pelbagai sumber. Mungkin juga kalau dibuat pun tidak akan ada yang menyumbang kecuali sedikit. Mungkin juga kalau ada yang menyumbang perlu buat majlis rasmi dengan replika cek besar untuk rakaman lensa kamera media. Itu sebahagian kemungkinannya.

Mungkin juga, ahli Umno merasa bukan mereka yang perlu menyumbang kepada Umno, tapi mereka sering bertanya apa yang Umno boleh beri kepada mereka?

Ada banyak lagi kemungkinan yang lain. Apa yang pasti, Umno tak buat macam Pas buat.

Maknanya, Umno tidak berpahala kerana dia tak buat. Kalau dia buat pun tidak berpahala juga kerana dia buat bukan kerana ‘pahala’.

http://bongkarsauh.blogspot.com/

No comments

Powered by Blogger.