PAS Parti Anti Perubahan?




1. Saya tidak membuat dakwaan. Hanya persoalan untuk kita fikirkan.

2. Sebelum membuat penilaian tentang PAS, kita perlu melihat signifikan peri pentingnya suatu perubahan.

3. Sehingga 1940-an, 80 peratus daripada semua jam di dunia dibuat di Switzerland. Pada penghujung 1960-an, seorang pencipta jam membawa idea sejenis jam ciptaannya ke syarikat jam Swiss yang terbesar pada ketika itu. Ideanya ditolak oleh syarikat itu dan syarikat-syarikat Swiss lain yang didekatinya. Berkat kepercayaan yang tinggi pada ciptaannya, pencipta itu membawa ideanya ke sebuah syarikat di Jepun. Syarikat itu adalah Seiko dan idea reka bentuknya adalah jam digital. Pada hari ini, 80 peratus jam menggunakan reka bentuk digital. Satu pilihan bijak yang dibuat dengan bijak dapat mengubah nasib seluruh hidup kita malah dapat mengubah sejarah dunia. (John C. Maxwell, 2004)

4. PAS adalah parti yang sangat berpotensi kerana dasarnya adalah Islam. Namun, mempunyai semata-mata dasar Islam tidak menjamin parti ini menang pilihanraya seterusnya memerintah negara. Perubahan adalah catalyst yang sangat penting jika parti ini mahu memimpin Malaysia.

5. Kes pertama – sewaktu era pimpinan Allahyarham Ustaz Fadzil Nor, istilah Yang DiPertua Agung baru diubah kepada Presiden. Sewaktu ia hendak diubah, kedengaran suara-suara segolongan ahli agar perubahan tidak perlu dilakukan. Bagi golongan itu, istilah Yang DiPertua Agung adalah tradisi umat Melayu di Malaysia yang wajar dijaga. Kalau di Indonesia, mereka bangga menggunakan istilah Ketua Umum maka golongan-golongan ini juga mahu berbangga jika PAS masih terus menggunakan istilah Yang DiPertua Agung. Mereka tidak kisah jika parti mereka dianggap kolot dan konservatif. Mereka juga tidak kisah walaupun istilah itu mengelirukan antara seorang ketua parti PAS serta seorang ketua negara Malaysia – Yang DiPertuan Agung. Bagi mereka tradisi adalah sangat penting untuk dipertahankan. (Subky Latif, 2003)

6. Mujurlah perubahan itu akhirnya direalisasikan walaupun setelah puluhan tahun UMNO membuat perubahan sedemikian.

7. Rakyat sebenarnya mentertawakan PAS. Kalaulah untuk berubah dalam perkara yang remeh dan enteng seperti itupun memerlukan masa dan pertembungan pendapat yang kuat, maka apatah lagi untuk membuat perubahan dalam perkara-perkara yang lebih besar. Soal ekonomi, soal pentadbiran kerajaan, soal pendidikan anak-anak bangsa? Jangan marah jika masih ramai rakyat sedang meragui PAS.

8. Kes kedua – dalam pemilihan Muktamar Tahunan Dewan Muslimat PAS sejak 30 tahun kebelakangan ini, tempat Ketua Muslimat tidak pernah diisi oleh ahli dari kalangan non-Ustazah. Dalam PAS tidak sedikit pimpinan-pimpinan Muslimat dari kalangan Profesional yang kompeten. Antaranya Dr Lo’ Lo Ghazali, Dr. Mariah Mahmud, Dr Halimah Ali dan Mumtaz Mad Nawi. Saya tidak pasti apakah kriteria utama yang digunakan oleh ahli-ahli Dewan Muslimat dan membuat pemilihan. Atau apakah calon-calon yang saya sebutkan tadi hanya punyai nilai Al Qowwi (competency) dan tiada sifat Al Amin (integrity).

9. Walau apapun kriteria yang ahli DMPP gunakan untuk memilih ketua mereka, satu hakikat yang tidak boleh dinafikan adalah Dewan Muslimat PAS masih jauh terkebelakang jika dibandingkan dengan rakan-rakan mereka dalam Pergerakan Wanita UMNO ataupun Sayap Wanita Parti Keadilan Rakyat.

10. Rakyat tetap akan mentertawakan PAS jika Dewan Muslimatnya hanya menjadi penggerak di belakang tabir dan hanya tahu menguruskan tarbiyah dan dakwah semata-mata. Rakyat juga akan terus mentertawakan PAS jika pimpinan Dewan Muslimatnya hanya mampu bercakap dengan arif tentang hal-hal kekeluargaan, hal-hal akhlak Islamiayah dan soal bagaimana untuk menjaga suami. Jangan marah jika pihak media pun tidak pernah terfikir untuk mencari pimpinan DMPP apabila timbul apa-apa isu besar negara.

11. Banyak lagi kes yang menunjukkan bahawa sifat Anti-Perubahan seakan-akan wujud dalam PAS. Namun cukuplah dengan contoh di atas. Memaparkan banyak sangat kritikan pun boleh membawa mudharat kepada parti dan saya sendiri – sang penulis. Tidak seronok juga jika dibenci oleh para Ustaz dan Ustazah yang siang dan malam mereka sentiasa taqarrub pada Allah. Saya juga harus memikirkan tentang ini.

12. Memang membuat perubahan itu pahit dan sukar. Namun ia tetap perlu dilakukan jika kita mahu sesuatu pencapaian yang lebih tinggi. Satu perkara paling penting dalam menguruskan perubahan adalah elemen Penyelidikan dan Pembangunan (R&D). Melalui R&D lah, dapat dibezakan pencapaian kedai runcit Mek Putih yang hanya wujud di kampung saya dengan kedai runcit Wal-Mart yang kini wujud di serata dunia. Cuba kita lihat pada parti UMNO, hampir semua ahli politiknya yang progresif memiliki satu team pemikir ataupun institut penyelidikan yang membantunya. Datuk Norza Zakaria dengan INSKAnya dan Dr Khir Toyo dengan INMINDnya dan lain-lain lagi. Dalam PAS memang telah wujud namun ia masih asing dan terpencil.

13. Kecerdikan dan kebijaksanaan tidak semestinya wujud dalam diri Muslim beriman yang taat pada tuhannya, ia mungkin wujud dalam di si Fasik, Munafik apatah lagi si Kuffar yang memusuhi kita. Sebab itu tidak hairanlah apabila Mustafa Kamal mampu meruntuhkan Khalifah Islam Turki Uthmaniyyah pada tahun 1924 yang lalu.

14. Bersedialah untuk berubah, atau kita mahu menerima hakikat bahawa telah sampai suatu masa yang mana kita tidak mampu lagi untuk bangun dari rebah.


respon pengunjung


Nakhaei

1. Majoriti ahli PAS menganggap PAS adalah madrasah,tempat mereka mengajar & belajar agama, bersedekah, berkomuniti mengikut kaedah islam. Tidak
lebih dari itu

2. Ahli PAS ini walaupun gigih memperkasakan PAS, mereka bukanlah reformis islam.

3. Madrasah dipimpin oleh Ustaz. Para Profesional adalah pembantu Ustaz. Ini adalah lumrah sebuah madrasah. Tiada yang salah.

4. Muktamar PAS sejak tahun 2005 yang lalu adalah pemilihan pimpinan sebuah madrasah. Jangan disalahkan pejuang melayu Mustapha Ali, Harun Taib, Hassan Ali, Nasharuddin Mat Isa & Nasaruddin Tantawi.

5. Perwakilan muktamar mahukan PAS kekal sebagai sebuah madrasah. Tak perlu R&D. Tak perlu Think Tank.

6. Tuan Guru Nik Aziz sebagai peneraju reformis Islam perlu mewujudkan wadah baru bagi masa depan islam di Malaysia. Satukan semua reformis islam merentasi kelompok, termasuk sdr Hasbie.

7. Namun begitu Tuan Guru Nik Aziz perlu kekal bersama PAS bagi memperkasakan PAS sebagai sebuah madrasah. Tidak lebih dari itu.

http://hasbiemuda.wordpress.com/2009/06/14/pas-parti-anti-perubahan/

No comments

Powered by Blogger.