Perbahasan Rang Undang-Undang Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia
VERSI HANSARD
PADA 16 JUN 2009
Tuan Yang di-Pertua: Terima kasih. Ahli Yang Berhormat, masalahnya di hadapan Majlis ialah rang undang-undang bernama satu akta untuk meminda satu Akta Lembaga Dalam Negeri 1995 dibacakan untuk kali yang kedua dan sekarang terbuka untuk dibahas. Sila, Yang Berhormat Permatang Pauh.
3.21 ptg.
Datuk Seri Anwar Ibrahim [Permatang Pauh]: Tuan Yang di-Pertua, saya mohon untuk mengatakan sokongan terhadap pindaan beberapa peruntukan, tetapi juga menjelaskan bahawa terdapat kekurangan yang harus diberikan perhatian. Ini kerana pindaan Akta Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia 1995, patut mengambil kesempatan, mengambil kira keadaan kegawatan ekonomi dan keperluan untuk meningkatkan usaha dan keberkesanan lembaga dalam mengutip cukai, terutama yang dianggap bocor.
Tuan Yang di-Pertua, saya akui bahawa Lembaga Hasil Dalam Negeri merupakan di antara lembaga yang menyempurnakan tanggungjawab dengan membanggakan. Status jabatan ini setelah menjadi lembaga, nyata lebih kemas dan kita lihat ada kemajuan dari sudut keupayaan mereka mendapatkan jumlah pendapatan negara yang bertambah.
Saya ingin juga menekankan di sini bahawa masalah yang di hadapi masih banyak iaitu tentang kegagalan kita menangani satu masalah yang besar, yang dikaitkan dengan ekonomi yang tidak formal. Sepatutnya, dalam pindaan ini, kementerian mengambil kira bagaimana hal ini boleh diselesaikan.
Saya ingin merujuk umpamanya, satu kajian yang terbaru dari Universiti New South Wales, bagaimana seorang pakar Jabatan Hasil Dalam Negeri, Najeeb Memon membangkitkan fokus tentang apa yang disebut beliau sebagai presumptive income tax, iaitu melaksana taksiran kutipan cukai dalam ekonomi yang tidak formal atau ekonomi bawah tanah yang berleluasa di negara berkembang. Sepatutnya Malaysia dapat atasi masalah ini dari semasa ke semasa walaupun hal ini sudah ada, dan menjangkau selama puluhan tahun.
Seperti mana yang kita faham, ada yang menganggap bahawa transaksi tunai di negara kita, yang di bawah kategori cukai tidak formal, kegiatan ekonomi tidak formal ini, menjangkau sehingga 40%, ini yang dianggap ekonomi bawah tanah. Ekonomi ini termasuklah kegiatan perjudian yang tidak berlesen. Istilah kerajaan perjudian tidak lesen dikata perjudian haram. Saya tidak tahu kalau ada perjudian halal.
Jadi sebab itu, saya cadangkan Timbalan Menteri ambil perhatian. Untuk memahami, bukan sahaja pemahaman Islam, tetapi juga pemahaman semua agama. Ada perjudian berlesen, ada perjudian tidak berlesen. Bukan perjudian halal dan perjudian haram. Akan tetapi, perjudian ini besar dan malangnya Lembaga Hasil Dalam Negeri sukar untuk mengambil tindakan. Apatah lagi, sekiranya kegiatan ini bersekongkol dengan beberapa kalangan bidang penguatkuasaan, termasuk polis.
Saya tidak mahu Timbalan Menteri, menjawab mengatakan ini tidak berlaku. Dari maklumat saya sendiri selaku Menteri ketika itu, perkara ini telah dibangkit dan berbangkit di sebuah negeri melibatkan peringkat atasan dan ada usaha untuk menyiasat dan mengambil tindakan walaupun tidak sepenuhnya berhasil.
Ini juga termasuk selain daripada perjudian haram, pelacuran, tempat hiburan haram, pengedaran dadah, penyeludupan, kecurian hasil negara seperti balak, pasir dan sebagainya. Jumlah ini ditaksirkan, menelan, menjangkau lebih dari puluhan bilion ringgit. Apakah cara dan saya kita tangani masalah ini. Saya percaya dengan kepakaran dan komitmen yang ada, di kalangan sebahagian pegawai-pegawai kanan Lembaga Hasil Dalam Negeri, mereka harus diberikan tugas untuk mengenal pasti berdasarkan pengalaman beberapa negara lain menangani masalah ini kerana jika tidak perkara ini akan menjadi satu besar kerana kebocoran dalam sistem yang berlaku sekarang ini.
Menteri Kewangan baru-baru ini, pertama kalinya menyebut bahawa ekonomi Negara mengucup lebih dari enam peratus negatif, lima, enam peratus. Ini satu pengakuan, yang berani, tetapi tentunya agak terlambat kerana ini, setelah dinyatakan oleh pakar-pakar ekonomi beberapa bulan yang lalu, tetapi kita dalam keadaan denial.
Sebab itu, kita lihat ada beberapa kenyataan, sebab saya mencadangkan tugas ini dikendali oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri ialah kerana kenyataan pimpinan negara termasuk Menteri berkenaan mengutip pandangan pakar ekonomi dunia Edward Prescott yang mengatakan dengan izin, sudah sampai waktunya negara-negara berkembang termasuk Malaysia to move its economy from a middle income to ahigh income model.
Mengangkat kekuatan ekonomi dari kedudukan sederhana ke peringkat lebih tinggi juga melibatkan kecekapan dan ketelusan Lembaga Hasil Dalam Negeri. Ini kerana pendapatan negara tentunya akan terjejas dengan banyak tanpa beberapa langkah yang lebih inovatif dalam mengambil, dalam menghadapi masalah tersebut.
Ini berkaitan tentunya dan saya tidak bermaksud mengulang panjang kerana mengikut transparensi indeks, masalah kita masih lagi berat. Kita masih lagi di tangga yang ke 58 dari sudut ketelusan, dan kebebasan menyalurkan maklumat. Transparensi indeks di tangga 58, lebih tercorot dari Indonesia, Vietnam, Filipina dan Thailand dengan markah 35%.
Satu perkara yang lain berdasarkan maklumat yang saya peroleh dari dulu ialah kesukaran Lembaga Hasil Dalam Negeri mengutip cukai dari tokoh-tokoh dan korporat besar. Oleh sebab itu, Lembaga Hasil Dalam Negeri ditubuhkan sejak dulu itu untuk memberikan mereka mandat dan kekuatan supaya lebih bebas dan tidak terikat dengan pengawasan politik yang berlebihan.
Ini adalah kerana didapati mereka agak lebih sederhana sikapnya dalam menghadapi tokoh-tokoh besar yang cukup berpengaruh, yang untung tercatat berbilion ringgit tetapi kadang-kadang ada tindakan yang di anggap yang ditafsirkan sebagai kurang sihat bila mereka mengambil kesempatan menekan kalangan bawahan termasuk rakan-rakan dari parti politik yang berbeza.
Saya harap perkara ini tidak berlaku kerana saya mewakili pandangan walaupun selaku Ketua Pembangkang memberikan pengiktirafan dan penghormatan atas khidmat Lembaga Hasil Dalam Negeri yang cemerlang selama ini. Saya harap dalam keadaan ekonomi yang gawat ini, semata-mata untuk menambahkan dana daripada untuk kerajaan untuk kepentingan negara, janganlah kita terlalu menekan sehingga di anggap membebankan rakyat di peringkat rendah dan peniaga-peniaga kecil kita berikan sedikit kelonggaran.
Yang di-Pertua, undang-undang lembaga setakat ingatan saya itu memberikan ruang, skop dan keluwesan fleksibiliti yang cukup baik untuk pegawai-pegawai kanan lembaga memberi pertimbangan kerana maksud kita ialah mengutip cukai, bukan mendera orang yang lambat atau minta menangguhkan pembayaran.
Jadi harus adil, tetapi juga harus telus dan berikan ruang yang cukup supaya hasil boleh dikumpulkan, tetapi tidak dengan maksud merosakkan atau mendera sehingga terjejas ekonomi mereka. Jadi dengan itu.
Tuan Yang di-Pertua, saya ucapkan terima kasih.
No comments
Post a Comment