PERJUANGAN BUKANLAH HANYA MENDIRIKAN SOLAT SEMATA-MATA KEMUDIAN TIDUR


Segelintir manusia yang tersilap di dalam memahami erti perjuangan, kadangkala tersimpang daripada perjuangan yang sebenar. Mereka adalah orang yang sangat rugi. Ini kerana mereka mengatakan bahawa Islam itu ibadat, solat, zakat puasa dan sebagainya. Namun, dalam masa yang sama, mereka membiarkan Islam itu dirobek oleh musuh-musuh Allah. Adakah mereka tidak merasa sensitif dengan agenda merosakkan Islam ini?

Antara yang banyak terjadi, sepertimana artikel sebelum ini yang bertajuk "Yakin dengan Allah tidak bererti kita tidak perlu berjuang". Namun hari ini, mereka yang bersolat, berpuasa dan sebagainya kemudian tidur, tanpa mempedulikan nasib orang Islam yang lain. Mereka ini juga tidak layak bergelar pejuang. Bahkan merekalah yang banyak berdalih memberi alasan untuk tidak berjuang.

Sangat rugi. Mereka mempunyai kefahaman, dan ilmu. Mereka tahu bahawa itu salah dan ini salah, tetapi disebabkan kemalasan mereka, mereka lebih suka berdiam diri. Mereka lebih suka duduk di rumah sambil menonton TV. Apabila mereka melihat gejala kerosakan akhlak, mereka menyalahkan PAS, "Inilah PAS, asyik berpolitik sahaja, umat sendiri dibiarkannya!"

Mereka berkata demikian dalam keadaan mereka sedang bergoyang kaki, sambil memakan kuaci di hadapan TV. Sedangkan pejuang-pejuang di sana hampir separuh mati menyelamatkan Islam, sebaliknya inilah hadiah yang diberi sebagai ucapan pembunuh semangat. Bahkan, mereka juga lebih seronok bergaya dengan gaya seorang yang hebat dalam ilmu.

Mereka mendakwa bahawa mereka adalah golongan yang berilmu, faham dan banyak lagi, tetapi mereka membiarkan umat Islam ditindas. Mereka menyalahkan PAS lagi, kenapakah PAS tidak utamakan masjid sebagai institusi utama? Mengapakah PAS membiarkan orang-orang yang rosak akhlaknya? Mengapa dan mengapa...

Lebih parah lagi apabila mereka menyangka bahawa Islam itu hanyalah solat, zakat, puasa dan haji. Alhamdulillah, mereka mendirikan solat. Mereka juga berqiamullail. Tetapi, mereka sendiri yang membiarkan Islam itu dirobek. Perjuangan meninggikan Islam mereka labelkan sebagai politik kotor. Bahkan ia bercanggah dengan syariat, kata mereka dengan penuh bergaya sebagai seorang yang alim.

Mereka berkata perlahan "PAS tidak sepatutnya begitu... dulu memang betul PAS berjuang, tetapi hari ini sudah tersimpang..." Inilah gaya seorang yang hanya duduk dihadapan TV sambil memerhatikan masyarakat setempat rosak. Mereka hanya pandai bercakap. Apabila sudah puas mengutuk PAS, mereka masuk bilik dan tidur. Inilah zikir harian mereka. Hentikanlah tabiat ini.

Salam Perjuangan

Dr Fikrah

No comments

Powered by Blogger.