TG Nik Abdul Aziz Serang Nasharuddin: Siapa Untung?

Oleh Zolkharnain Abidin

Nasharuddin diserang lagi oleh TG Nik Abdul Aziz. Serangan kali ini lebih tepat dan keras berbanding sebelumnya.

Nasharuddin bukan sekadar di desak meletakkan jawatan sebagai Timbalan Presiden Pas bahkan turut didesak keluar Pas dan masuk Umno dan kosongkan kerusi parlimen yang disandangnya sekarang. (Baca sini).



Tiada lain, setelah Nasharuddin dan beberapa orang lagi disifatkan boneka Umno, punca utamanya ialah kerana Nasharuddin menyambut baik kenyataan Najib berhubung kerajaan perpaduan. (Baca sini)

Nampaknya isu kerajaan perpaduan benar-benar menjadikan TG Nik Abdul Aziz panas. TG yang dilihat umum seorang yang lembut dan berhemah kini benar-benar tercabar dengan isu ini.

Apa kata kalau Nasharuddin benar-benar melakukannya? Maksudnya, dia benar-benar meletakkan jawatannya sebagai Tim Presiden dan ahli parlimen. Apa untungnya Pas? Dan tentunya Umno tidak rugi apa-apa.

Apatah lagi kalau Nasharuddin benar-benar masuk Umno, sudah tentu Pas rugi. Umno pula rasa-rasanya tidak rugi apa-apa dan mungkin dapat untung besar.

Itu cuma andaian. Tiada hati kecil manusia waras akan terdetik termasuk hati kecil Nasharuddin untuk masuk Umno. TG Nik Aziz pun percaya Nasharuddin tidak akan melakukan begitu. Justeru, mengapa TG Nik Aziz bercakap sedemikian keras?

Ada ulama tafsir berkata, jarak antara arasy dan bumi ialah 50 ribu tahun berjalan kaki. Dimana ulama ini tahu? Adakah dia atau sesiapa pernah melakukan perjalanan sejauh dan sepanjang itu? Tentu tiada. Tetapi tempoh itu disebut untuk menggambarkan jarak yang sangat jauh yang tidak mampu digambarkan dan dicapai oleh manusia.

Demikian halnya TG Nik Aziz. Nampaknya dia sangat tidak senang hati dengan agenda kerajaan perpaduan ini. Rasa tidak senang hati itu dilahirkan dengan desakan-desakan itu. Yakni, TG tidak pernah merasa tidak senang hati melebihi tidak senang hatinya dengan isu ini.

Itu dari satu sudut.

Dari sudut yang lain, tentunya kenyataan ini akan dimanipulasi oleh Umno. Pasti parti yang semua orang tahu tidak jujur dan tidak pernah jujur itu akan memanaskan isu ini. Sudut-sudut untuk melaga-lagakan pemimpin Pas pasti akan diruncingkan.

Umno akan berusaha membekalkan ‘semambu runcing’ kepada TG Nik Aziz dan Nasharuddin supaya mereka terus saling menghalakan semambu itu ke arah satu sama lain walau pun mereka tidak melontarnya. Bagi Umno saling menghalakan pun sudah memadai.

Kalau Umno mampu ‘membekalkan semambu runcing’ kepada kedua-dua belah pihak sahaja pun, itu dikira sudah menguntungkan Umno. Pas pula tidak dapat untung apa-apa. Apatah lagi kalau mereka saling melontarnya lebih-lebih lagi kalau mengenai sasaran.

Semua orang yang sayangkan Pas tidak mahu kerajaan perpaduan kerana itu pasti akan menguntungkan Umno. Idea itu dilihat seperti melempar pelampung kepada orang yang sedang lemas. Kebimbangan itu ada asasnya.

Ini bukan era Abdullah. Ini bukan ketika yang kondusif untuk kerajaan perpaduan.

Namun sesuatu yang pasti, serang-menyerang antara pemimpin Pas juga turut menguntungkan Umno. Siapa kata Umno akan rugi dengan serangan TG Nik Aziz ke atas Nasharuddin ini?

Siapa berani kata Najib akan mengarahkan media supaya jangan melaporkan sebarang serangan daripada mana-mana pemimpin di dalam Pas sesama mereka?

Hah, kami yang jadi orang bawah ini sudah semakin letih. Kami digesa keras supaya jangan melakukan sesuatu yang menguntungkan Umno, tetapi pemimpin kami acap kali dan saban hari melakukannya.

Belum terlaksana kerajaan perpaduan pun nampaknya Umno sudah untung?

No comments

Powered by Blogger.