Tragedi Jaya Supermarket: Senaraihitam Pihak Terbabit

SHAH ALAM, 5 Jun - Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Negeri Selangor (MTES) hari ini membuat keputusan untuk menyenaraihitamkan semua pemilik, kontraktor dan syarikat perunding yang terlibat dalam kerja pembangunan semula bangunan Jaya Supermarket yang runtuh mengakibatkan tujuh nyawa terkorban pada 28 Mei lepas.

Mesyuarat MTES yang dipengerusikan oleh Dato’ Menteri Besar Tan Abdul Khalid Ibrahim pagi tadi, membuat keputusan demikian setelah mendapat taklimat lanjut daripada Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) dan laporan siasatan awal oleh Institut Kerja Raya Malaysia (IKRAM) berkenaan tragedi itu.

Mereka yang disenaraihitamkan adalah:

i.Jaya Section Fourteen Sdn Bhd (Pemilik tanah dan pemaju)
ii.DP Architects Sdn Bhd (Pihak mengemukakan permohonan pelan projek)
iii.Meinhardht (M) Sdn Bhd (Jurutera)
iv.Pembinaan CW Yap Sdn Bhd (Kontraktor)
v.Jurutera Perunding Sdn Bhd (Jurutera Kontraktor)
vi.DLS Management (Pengurus Projek)

Keputusan ini dibuat atas sebab MBPJ masih belum menerima sebarang laporan atau penjelasan daripada pemilik atau pakar runding yang sepatutnya bertanggungjawab ke atas pembinaan dan pemantauan projek sepertimana dikehendaki oleh Sijil Perakuan Siap dan Pematuhan yang dikeluarkan oleh MBPJ. Pihak MBPJ juga belum menerima apa-apa permohonan dari mereka untuk membuat kerja-kerja merobohkan saki-baki dinding bangunan yang tertinggal.

Dalam taklimatnya, IKRAM telah memaklumkan bahawa dinding yang setinggi 19 meter itu membahayakan keselamatan penduduk yang berdekatan.

Kerajaan negeri juga akan mengarahkan semua pihak berkuasa tempatan (PBT) seluruh negeri untuk menyemak jika mereka yang telah disenaraihitamkan terlibat dalam projek pembangunan dan pembinaan lain.

“Jika ada, pihak PBT perlulah memantau dengan lebih ketat bagi memastikan keselamatan projek-projek berkenaan terjamin,” kata Tan Sri Abdul Khalid.

Mesyuarat MTES juga memutuskan arahan pemberhentian kerja dilanjutkan bagi membolehkan IKRAM membuat siasatan lanjut. Dato Menteri Besar juga mengarahkan MBPJ membuat pemeriksaaan harian sehingga masalah diselesaikan.

Kerajaan negeri Selangor juga mengarahkan IKRAM mengemukakan satu garis panduan kerja perobohan untuk digunapakai oleh semua PBT di Selangor. - SEKRETARIAT AKHBAR PEJABAT MENTERI BESAR

No comments

Powered by Blogger.