UG: Dengarkanlah Suara Ahli Di Bawah Ini

Oleh: BayangDiAir

"

Merujuk kembali kepada artikel yang tersiar di dalam Harakah keluaran 22 – 24 Mei 2009, dan artikel susulan yang tak disiarkan oleh Harakah tetapi mengisi ruang dalam TKO dan dppkk atas tajuk, “Kerajaan Perpaduan: Hentikan Dengan Segera, Secara Kolektif dan Rasmi”.


Mungkin agaknya nasihat penulis tidak pragmatik dan relevan atau mungkin suara kecil ahli biasa ini sukar diterjah oleh para pemimpin di atas sana, maka isu Kerajaan Perpaduan tidak selesai malah semakin menjadi kaca dan racun dalam arus perjuangan ini.


Kita sering diuar-uarkan bahawa perbezaan pendapat adalah rahmat dalam perjuangan. Penulis telah pernah menyentuh tentang batasan dan ciri perbezaan pendapat yang dikatakan menjadi rahmat dan perbezaan pendapat yang macam mana pula menjadi petaka.

Penulis nampak bahawa perbezaan pendapat tentang Kerajaan Perpaduan ini hampir menjadi petaka. Petaka bagi ahli dan penyokong yang menjadi bingung melihat gelagat pemimpin di atas sana. Petaka bagi pemimpin di atas sana yang nampaknya berkonflik dan berkonfrantasi. Petaka bagi parti yang nampak retak dan rekah dalam konteks perpaduan dalaman dan perpaduan dalam Pakatan Rakyat.

Tulisan kecil dari ahli di bawah ini, untuk sekian kalinya ( masuk kali ketiga) menegaskan nasihat dan harapan agar tindakan berikut perlu dilakukan dengan segera:-

1) Idea Kerajaan Perpaduan mesti dinokhtahkan secara rasmi dan kolektif.

Dewan Harian dan Majlis Syura Ulama mesti bermesyuarat segera untuk menutup isu ini dari dieksploit oleh musuh parti. Dengan melalui mesyuarat, kenyataan media dapat diadakan dengan keputusan bahawa idea Kerajaan Perpaduan dibatalkan secara kolektif dan rasmi oleh Dewan Harian dan Majlis Syura PAS.

2) Larangan mengeluarkan kenyataan oleh pemimpin di semua peringkat termasuk Mursyidul Am.

Selepas keputusan rasmi dan kolektif dibuat, maka semua pemimpin di semua peringkat termasuk Mursyidul Am hendaklah dilarang mengeluarkan kenyataan dan pendapat lagi. Tindakan tatatertib hendaklah diambil selaras dengan peruntukan yang ada.

Penulis memohon maaf jika nasihat dan harapan ini dangkal dan menggambarkan kecetekan ilmu penulis sendiri.
"

No comments

Powered by Blogger.